Jemput Baca..

Thursday, October 20, 2011

Antologi Cerpen "Tentang Cinta"


Dapatkan Antologi Cerpen "Tentang Cinta " karya saya dan 8 orang lagi rakan penulis saya, terbitan ACE. Sedikit kandungan cerpen saya disiarkan di bawah. Hubungi saya melalui email untuk tempahan dengan harga RM15 untuk 300 naskah pertama.





Rasa Hati

“S
ELAMAT malam, Julia. Esok jumpa lagi!” satu suara yang biasa didengari oleh Julia menegurnya sebaik-baik sahaja dia melalui pintu utama bangunan Lombard Lab untuk keluar dan pulang ke rumah.
“Selamat malam, David!” Julia membalas dengan senyuman sambil melambaikan tangan kepada rakan sekerjanya itu.
Julia mengerling ke arah jam tangannya untuk melihat waktu. Hari sudah agak lewat, sudah melepasi pukul 11.00 malam.  Julia tidak sedar hari sudah agak lewat kerana dia betul-betul mahu menghabiskan kajiannya malam itu. Julia memerhati sekeliling dan terus berjalan kaki untuk pulang ke rumah.
Buk! Sebiji bola tenis mengenai bahagian kiri badannya secara tiba-tiba. Julia hampir menjerit kerana terkejut. Dari arah kiri, Julia dapat melihat dengan jelas beberapa orang remaja berkulit sawo matang sedang mengacah seorang lelaki yang sedang memegang sebatang raket tenis. Tiga orang remaja seolah-olah mahu membelasah lelaki tersebut dan membaling semua bola tenis yang ada bersamanya ke arah jalan raya.
Tanpa berfikir panjang, Julia terus berlari ke arah selekoh jalan di hadapannya. Dia tidak mahu terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang mungkin akan membahayakan dirinya. Jarak rumah yang didudukinya sekarang hanya 10 minit berjalan kaki ke tempat kerjanya tetapi hampir setiap malam dia akan terserempak dengan kutu rayau atau samseng jalanan yang seolah-olah sudah mendiami kawasan itu.
Entah kenapa hatinya tiba-tiba terasa berdebar-debar malam ini. Julia berlari-lari anak sedikit. Sesekali memandang ke arah belakang. Jam sudah hampir pukul 11.30 malam. Hatinya berasa tidak selesa, bagaikan ada seseorang yang mengekori setiap langkahnya. Julia mula meraba-raba ke dalam tas tangannya, mencari pepper spray yang selalu dibawanya.
Tiba-tiba lengannya ditarik ke sebuah lorong gelap. Julia menjerit ketakutan tetapi mulutnya tiba-tiba ditekup dengan sebelah tangan sambil badannya disandarkan ke dinding.
“Diam!” satu suara kasar memberi arahan sambil menekan mulutnya dengan lebih kuat. Lelaki itu dengan pantas menghunuskan sebilah pisau yang berkilat. Begitu hampir ke mata Julia. Julia menutup matanya. Seluruh badannya dirasakan kaku. Mindanya tidak mampu lagi berfikir. Air matanya mula gugur kerana ketakutan. Selama beberapa saat, Julia terasa hembusan nafas lelaki itu betul-betul di pipi kirinya.
Julia membuka matanya semula. Lelaki itu tersenyum sinis. Matanya yang bulat bersinar bagaikan memberitahu Julia kejayaannya menundukkan mangsanya malam itu. 
Tiba-tiba satu hentakan mengenai kepala lelaki tersebut. Dia terus rebah ke atas jalan. Di hadapan Julia sekarang, berdiri seorang lelaki berpakaian kemas, kemeja berwarna putih, bertali leher dan memakai kot berwarna hitam. Dia masih menggenggam erat batang besi yang digunakannya untuk memukul lelaki yang yang menangkapnya tadi.
“Lari!” Lelaki berpakaian kemas itu menjerit kepada Julia sambil melihat ke kiri dan ke kanan. Julia masih tercegat dalam ketakutan.
Rupa-rupanya lelaki yang menyerang Julia tadi tidak berseorangan. Dua orang lelaki lagi tiba-tiba muncul dan mula menyerang lelaki berpakaian kemas. Julia melihat dengan jelas pergelutan sengit antara mereka bertiga.
Dengan hanya menggunakan sebatang besi, dia mampu menangkis serangan-serangan yang dilakukan oleh mereka. Julia nampak lelaki berpakaian kemas itu sangat mahir menggunakan besi sepanjang satu meter di tangannya. Lagaknya pantas bagaikan seorang ninja. Kadang-kadang dia tidak perlu melihat lawannya untuk menyerang, seolah-olah dia mempunyai sepasang mata di belakang kepalanya. 
Lelaki yang menyerang Julia tadi tiba-tiba sedar dan cuba membantu kawan-kawannya. Dengan satu pukulan di perutnya sahaja, dia jatuh kembali. Ketiga-tiga penjahat itu bangun, memandang antara satu sama lain dan terus lari. Julia bingkas bangun mendapatkan lelaki berpakaian kemas itu.
“Eh, awak yang tukar lampu di makmal saya hari itu, kan? Nama awak Bard, kan?” Julia bertanya dengan nada yang agak ragu-ragu.
“Betul, Cik Julia. Saya Bard.” Badrul memper-kenalkan dirinya sekali lagi kepada Julia sambil memegang hidungnya yang dirasakan sangat sakit.
“Awak luka-luka,” ujar Julia sambil memerhati Badrul secara keseluruhan. Nampak jelas darah merah pada bahagian kepala, pipi, hidung dan tangan Badrul. Julia cuba memeriksa jika ada luka yang serius. Rambut Badrul yang lembut dan halus dipotong kemas menyebabkan Julia hampir tidak mengenalinya tadi.
Sambil memeriksa kepala Badrul di bawah lampu jalan yang kelam, Julia dapat melihat parut yang agak jelas pada kulit kepalanya sepanjang satu inci. Julia cuba mengalihkan serpihan batu kerikil pada muka Badrul. Sesekali Badrul mengaduh kesakitan.
“Terima kasih, Bard! Saya terhutang budi!” Julia cuba memapah Badrul untuk berdiri memandangkan dia tidak dapat berdiri dengan baik. Mungkin kakinya cedera.
“Saya ada kotak first-aid di rumah saya. Rumah saya di hujung jalan sana.” Julia memangku lengan Badrul itu untuk berjalan.
“Tak mengapalah, Cik Julia. Saya rasa saya boleh balik ke rumah saya.” Belum sempat Badrul menghabiskan ayatnya, dia jatuh terduduk di atas jalan.
“Jangan risau. Saya adalah penuntut kedoktoran. Saya boleh rawat awak untuk sementara waktu. Lepas saya cuci luka-luka awak ni, awak boleh pulang ke rumah,” Julia cuba meyakinkan Badrul.
“Baiklah, Cik Julia. Nampaknya saya tidak ada pilihan,” jawab Badrul. Julia memapah lengan Badrul dan membantunya berjalan.
            “Kalau Bard tak datang tadi, saya tak tahu apa yang akan jadi. Mungkin saya dah mati. Sejak akhir-akhir ini, saya rasa ada orang yang mengekori saya,” Julia berkata sambil menghela nafas.
“Awak tak sepatutnya tinggal di kawasan ini. Ini kawasan hitam,” jawab Badrul.
“Saya tahu. Mungkin selepas ini saya akan cari tempat tinggal yang lain. Saya pilih tempat ini sebab dekat dengan tempat kerja,” Julia membalas. Hati Julia semakin nekad. Dia mahu berpindah ke tempat lain secepat mungkin. Kawasan itu bukanlah kawasan yang selamat terutama jika dia terpaksa melalui lorong-lorong sunyi pada waktu hampir tengah malam.
“Sudah lama rasanya saya tak nampak Bard di tempat kerja. Bard masih bekerja di Lombard Lab?” Julia bertanya sambil memandang ke arah muka Badrul.


Sambungannya di dalam buku "Antologi Cerpen Tentang Cinta"