Jemput Baca..

Saturday, April 28, 2012

Motivasi Minggu 3 : Susahnya Menjadi Ketua!


Anda telah dipilih menjadi ketua; samada oleh pensyarah, kawan-kawan anda ataupun oleh majikan anda sendiri. Anda mempunyai  beberapa orang pembantu dalam kumpulan anda dan anda telah ditugaskan dengan satu misi yang sangat mencabar.


Minggu pertama bersama ahli-ahli kumpulan, anda sudah mula sakit kepala. Kerja tidak berjalan dengan lancar. Ahli-ahli kumpulan anda tidak bekerja mengikut jadual yang ditetapkan. Lebih buruk lagi, anda sudah mula rasa hanya ada seorang sahaja yang bekerja.
Mengapa begitu sukar untuk membuatkan semua ahli kumpulan anda untuk bekerja seperti yang diharapkan?



  • Kenali Ahli Kumpulan Anda


Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh seorang ketua pada waktu ini adalah untuk mengenali semula ahli kumpulan mereka. Walaupun mungkin anda sudah mengenali seseorang  selama bertahun-tahun sebagai kawan, itu tidak bermakna anda tahu bagaimana cara dia bekerja. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Adalah mudah untuk menuding jari kepada sesuatu kesalahan kepada ahli kumpulan anda tetapi anda juga harus sedar tidak mungkin ada ahli kumpulan yang sempurna untuk anda.  Jika anda mencari kesempurnaan, anda akan lebih tertekan akhirnya dan misi kumpulan anda tidak akan tercapai.     

  • Rombak posisi jika perlu


Selalunya ahli kumpulan bukan masalah yang sebenar. Kebanyakan orang, terutamanya yang bekerja, mempunyai niat baik untuk mencapai yang terbaik dalam kerja mereka. Cuma mungkin mereka kurang pengalaman, atau tidak mempunyai  pengetahuan yang cukup untuk menjalankan tugas yang diberi.
Setelah mengenali cara setiap ahli kumpulan anda bekerja, rombak semula posisi mereka mengikut kelebihan masing-masing.

  • Berikan masa


Beri masa ahli kumpulan anda untuk memepelajari kerja tersebut. Jika and bekerja, 3 bulan adalah masa yang cukup untuk mempelajari sesuatu kerja pada peringkat eksekutif dan 6 bulan adalah untuk peringkat pengurus.

  • Pantau dan lihat perkembangan mereka


Untuk melihat perkembangan mereka, sediakan satu sistem pemantauan yang mudah. Perlu diingat sistem pemantauan yang dicadangkan ini bukanlah bertujuan untuk menghukum mereka, tetapi untuk mencapai misi yang telah ditetapkan. Keluarkan laporan berkala untuk memudahkan anda sebagai ketua untuk melihat perkembangan kerja ahli-ahli kumpulan anda.

  • Kekalkan komunikasi positif.


Sebagai seorang ketua, anda harus mengekalkan komunikasi yang positif dengan pihak atasan. Laporan berkala yang disediakan akan lebih memudahakan anda untuk menyampaikan kepada pihak atasan dan ahli-ahli kumpulan anda sendiri mengenai penambahbaikan yang diperlukan untuk mencapai misi yang ditetapkan.

  • Beri Ganjaran


Berikan ganjaran kepada ahli kumpulan anda jika misi yang ditetapkan tercapai mengikut jadual. Ganjaran ini tidak semestinya berbentuk kewangan. Tolak ansur masa bekerja  dan khidmat nasihat percuma juga boleh dijadikan ganjaran kecil untuk meningkatkan motivasi bekerja di kalangan ahli kumpulan anda. Paling penting, anda sebagai ketua juga harus memberi ganjaran kepada diri anda sendiri. 

Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.

Tuesday, April 24, 2012

Helium3 - Kisah Sarah 1



Latihan bola sepak petang itu berjalan dengan lancar. Badrul, Roland, Simon, Rosman dan beberapa orang pekerja Kamarudin & Co yang lain datang pada waktu yang dijanjikan. Mereka berkumpul untuk berbincang bagaimana untuk menumpaskan lawan mereka, pasukan bola sepak Singtel yang telah mengundang mereka untuk mengadakan perlawanan persahabatan dua minggu lagi.


“Wah Bard, Sarah pun ada!” Rosman menegur Badrul sambil menjeling ke arah Sarah.

Tell me something that I don’t know,” Badrul membalas teguran Rosman.


“Dia cantik menawan. Kalau aku jadi engkau, dah lama aku kahwin dengan dia,” Rosman menyambung, kemudian menjeling sekali lagi ke arah Sarah yang masih lagi duduk di sebuah kerusi kayu di bawah teduhan sebatang pokok yang rendang.

Sarah mempunyai potongan badan yang langsing dan berketinggian hampir enam kaki. Rambutnya yang ikal nampak cantik walau dalam apa-apa gaya sekalipun. Petang itu Sarah memakai seluar pendek, baju-T berjenama Polo dan kasut sukan Nike. Dia nampak anggun dan bergaya walaupun hanya memakai pakaian sukan.

“Kenapa engkau tak layan dia? Kasihan aku tengok dia, selalu sahaja mencuba tetapi engkau tak pernah layan,” Rosman bertanya dengan nada yang serius.

Not my type,” Badrul menjawab ringkas.

“Apa lagi yang engkau mahukan, Bard? Kita pilih perempuan kerana kecantikannya!” Rosman cuba memberi pendapat.

“Dia pernah jadi teman wanita aku tak lama dulu. Kami tak serasi,” Badrul menjawab sambil cuba menimbang bola.

“Aku tak faham, sanggup engkau lepaskan perempuan secantik itu begitu sahaja?” Rosman mengeleng-geleng.

“Kalau engkau berminat, bolehlah cuba,” Badrul menjawab lagi. Kini dia menendang bola pula.

“Bagaimana untuk mulakan? Apa yang dia suka?” tanya Rosman dengan penuh berminat sambil tersenyum. Rosman menjeling sekali lagi kepada Sarah.

“Dia suka kontrol. Engkau ikut sahaja apa yang dia mahu, pasti dia sukakan engkau,” Badrul menjawab acuh tak acuh.

“Cakaplah betul-betul, Bard. Aku betul-betul berminat ni,” ujar Rosman dengan nada tidak berpuas hati.


“Aku sudah beri nasihat, engkau tak mahu ikut pula,” Badrul mengomel.

"Semua perempuan sama, Bard. Mereka memang suka kontrol. Aku nak tahu selain daripada itu. Aku mahu tahu apa yang dia suka makan, apa hobi dia, apa cita-cita dia, dia suka lelaki yang bagaimana?”

“Hai, Bard,” satu suara lembut menyapa.

“Hai, Sarah,” Badrul menjawab sambil masih lagi cuba menimbang bola.

“Nampak macam dah habis latihan. Saya ada bawakan minuman untuk awak,” Sarah menyambung sambil menunjukkan dua botol air yang dipegangnya.

“Banyaknya peluh, Bard. Ini saya ada bawakan tuala untuk awak,” Sarah menyambung lagi sambil menghulurkan sehelai tuala kecil kepada Badrul.

“Tak mengapalah, Sarah. Saya ada minuman di sana. Saya pun ada bawa tuala di dalam beg saya,” jawab Badrul sambil menunjukkan jarinya ke arah beg yang diletakkan di hujung padang.

“Rosman ni, dia tak bawa minuman. Saya rasa dia pun terlupa nak bawa tuala. Awak berikan sahaja pada dia ya.” Badrul menyambut bola yang ditimbangnya lantas memberikan senyuman kepada Rosman.

“Saya bawakan semua ini untuk awak, Bard. Ini bukan untuk Rosman,” Sarah menjawab dengan nada tidak berpuas hati.

“Saya dah sakit kaki ni, Sarah. Rosman akan layan awak,” Badrul menjawab dan terus sahaja berlari ke hujung padang.

Rosman terpinga-pinga kerana ditinggalkan bersama Sarah. “Sarah, awak jangan ambil hati ya. Saya rasa dia memang sakit kaki tu, lama sangat berlatih hari ini. Dia betul-betul mahu memenangi perlawanan ini. Kapten Bard memang macam tu,” Rosman menyapa Sarah sambil cuba menunjukkan muka yang manis.

Sarah bercekak pinggang sambil mencebik. “Kenapa dengan Bard ni, Rosman? Saya tak faham, adakah saya tak cukup cantik untuk dia?” tanya Sarah dengan nada yang marah.

“Eh, Cik Sarah memang cantik. Tak ada cacat celanya pada pandangan mata saya,” Rosman cuba memujuk.

“Habis tu, kenapa Bard selalu sahaja menolak saya?” Sarah sudah mula menghentak kaki.

“Susah macam ni, Sarah. Saya rasa lebih baik awak cari orang lain. Ramai lagi yang masih bujang di sini. Contohnya saya,” Rosman cuba mencucuk jarum.

“Tapi saya cintakan Bard. Saya tak mahu orang lain, Rosman. Badrul Hisham adalah cinta saya semenjak dahulu lagi.” Sarah semakin marah.

“Saya pun tak tahulah, Sarah. Tak mengapa, hari ini saya temankan Sarah. Kita minum bersama. Air apa yang Sarah bawa tu?” Rosman cuba mengalihkan perhatian Sarah.

“Saya belikan air kegemaran Bard ni, Diet Coke.” Sarah menyerahkan kedua-dua botol Diet Coke kepada Rosman sambil matanya menyoroti Badrul yang sudah mula duduk di hujung padang bersama rakan-rakannya yang lain.

“Tak mengapalah. Kalau Bard tak mahu minum, kita sahajalah yang minum ya,” Rosman cuba memujuk lagi. Rosman mengambil kedua-dua botol Diet Coke itu dan membuka salah satu penutup botol.

“Nah, yang ini untuk Sarah. Sarah kena cari orang yang layan Sarah dengan baik macam saya ni,” Rosman mencuba lagi.

Sarah mengambil botol itu dan meneguk dengan penuh dendam. Ketika dia menyerahkan botol itu kepada Rosman semula, air di dalam botol itu sudah pun habis separuh. Matanya masih lagi menyoroti Badrul.

“Aku akan kembali dengan rancangan yang lebih bagus nanti. Engkau tunggu sahaja, Bard. Akhirnya aku pasti akan dapat,” Sarah mengomel seorang diri. Dia kemudian menyentap botol air yang dipegang oleh Rosman dan bergegas kembali ke tempat duduknya.

“Sarah!” Rosman menjerit memanggil nama Sarah.

- Sarah adalah watak pembantu dalam novel K-4 : Kapsul Ungu -

Sunday, April 22, 2012

Motivasi Minggu 2 : Mengapa Sukar Membuat Keputusan?




“Sukarnya untuk membuat pilihan, ditelan mati emak, diluah mati bapak”. Pepatah ini menggambarkan kesukaran dalam membuat pilihan.

Mengapa begitu sukar untuk membuat pilihan?

Selalunya anda sukar untuk membuat pilihan kerana kedua-dua (atau lebih daripada dua) pilihan itu mempunyai kelebihan dan kekurangan yang hampir sama. Pada waktu yang sama, jika anda membuat  pilihan, anda juga takut tersalah pilih. Pada waktu inilah anda mula melengah-lengah keputusan anda dengan cara yang pelbagai ; mencari lebih maklumat, mengambil masa untuk berfikir dan bertanya pendapat orang lain. Tapi kadangkala setelah membuat semua ini, anda menjadi semakin keliru dengan keputusan anda dan anda perlukan lebih banyak maklumat, masa berfikir dan lebih banyak pendapat. Kadangkala, anda  menjadi lebih tertekan akhirnya.

Cara Menghadapi Pilihan

Berikut adalah panduan asas membuat pilihan.


Anda  harus sedar kebanyakan  keputusan, termasuk keputusan berasaskan perniagaan yang bernilai berjuta-juta ringgit, dibuat mengikut maklumat yang ada pada waktu itu. Maklumat tidak akan pernah cukup kalau dicari.

Hadkan kriteria pemilihan anda. Jika anda tidak menghadkan kriteria pemilihan, anda tidak akan berjaya membuat keputusan.


  • Hadkan masa untuk membuat keputusan ; sehari, seminggu, sebulan. 


  • Ketahui semua kelemahanan dan  risiko yang ada untuk setiap pilihan. Ini boleh membantu anda bersedia untuk sebarang akibat di masa akan datang setelah membuat pilihan. 


  • Jangan takut membuat pilihan. Adalah lebih baik membuat keputusan daripada tidak membuat keputusan langsung.


  • Jangan salahkan diri anda jika keputusan itu membawa akibat buruk akhirnya. Tidak ada manusia yang sempurna di muka bumi ini. Hadapi kesulitan dengan hati yang tabah.


  • Ketahui siapa di sekeliling anda yang bersetuju dengan pilihan anda. Sokongan moral mereka boleh membantu anda mendapat keyakinan yang lebih tinggi dalam menghadapi cabaran yang datang setelah membuat pilihan.



Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.

Monday, April 16, 2012

Book Signing - MPH Subang Parade 21 April, 2-4pm





Saya ingin menjemput semua kawan-kawan untk menghadiri "book-signing" saya di MPH Subang Parade pada 21 April 2012, 2-4 petang sempena World Book Day. Terima kasih kepada semua yang membantu saya dalam bidang penulisan selama ini.

Saturday, April 14, 2012

Motivasi Minggu 1 : Bagaimana Mengikis Sikap Suka Berlengah?




“Sekiranya saya mampu mengikis sikap berlengah-lengah dari dalam diri saya, mungkin saya sudah capai banyak perkara sekarang.” Dialog ini seringkali kita dengar dimana-mana sahaja.  Kerja di pejabat masih tak siap-siap kerana terlalu banyak mesyuarat, stor di rumah masih belum dibersihkan, kekasih hati yang merajuk masih belum dipujuk.


Punca Sikap Suka Berlengah


Memang tabii manusia tidak suka berubah sehingga sesetengah syarikat besar terpaksa membuka satu unit “Change Management” untuk mengubah haluan syarikat mengikut aliran semasa. Banyak juga perceraian berlaku kerana suami atau isteri yang “masih tidak berubah” atau “tidak mahu berubah”. 


Jika kita kaji semula, sikap berlengah ini datang apabila satu perubahan diperlukan. Contohnya, kerja pejabat yang bertimbun-timbun, stor rumah yang kotor dan kekasih hati yang merajuk. Kita perlu mengubah sedikit cara bekerja,mengurangkan masa rehat di rumah dan meluangkan lebih masa dengan kekasih hati. Jika semua ini dilakukan, ketiga-tiga masalah ini pasti akan selesai. 


Bagaimana Untuk Membuang Sikap Berlengah-Lengah


1. Senaraikan apa yang anda mahu capai dan bila. Jika anda mahu menyiapkan kerja yang banyak di pejabat, nyatakan bila tarikh dan waktu terakhir kerja-kerja ini perlu dibuat. 
2. Disiplinkan diri anda untuk menyiapkan semuanya dalam waktu yang anda telah rancang.
3. Jika semuanya siap dalam tempoh yang dirancang, berikan diri anda sedikit ganjaran seperti menonton wayang atau makan di restoran kegemaran anda. Raikan kejayaan anda walaupun sedikit. Lama-kelamaan minda anda akan mula biasa dengan corak tabiat ini dan sikap berlengah-lengah ini akan hilang secara automatik


Latih dan Disiplinkan Diri Anda Mulai Hari Ini..


Jangan berlengah lagi, kikis sikap suka berlengah-lengah itu hari ini. Mulakan dengan sesuatu yang mudah seperti basuh cawan anda sebaik anda habis minum atau kemaskan katil anda sebaik sahaja anda bangun dari tidur. Hidup anda akan lebih ceria nanti.


Penulis : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'amir dari A'amir Agency

Sunday, April 8, 2012

K-4 : Kapsul Ungu Kini di Kedai Buku MPH


Novel K-4: Kapsul Ungu sudahpun berada di kedai buku MPH di seluruh Malaysia.

Kini novel ini boleh dibeli secara online di : http://www.mphonline.com/books/nsearchdetails.aspx?&pcode=9789671065709

Ucapan terima kasih kepada semua yang membantu saya sehingga ke tahap ini.

Berikut disiarkan sedikit kandungan novel ini untuk tatapan pembaca.





Bab 5


8 bulan kemudian...

“K
apsul Ungu, tugas terbaru!” Rafael menyerahkan sebuah sampul surat berwarna coklat kepada Badrul. Badrul agak terkejut dengan sapaan Rafael pagi itu. Jarang Rafael terus bercerita mengenai tugas terbaru KH Intelligence, selalunya dia akan berbincang dahulu bersama Randi.
“Kapsul Ungu?” Badrul mengambil sampul surat tersebut sambil menghirup air teh yang masih suam-suam panas. Dia membuka sampul surat itu dengan perlahan dan menyusun beberapa buah gambar di atas meja. Terdapat gambar seorang gadis berambut ikal dan seorang lelaki berumur. Kedua-duanya memakai baju makmal berwarna putih.
“Kalau tugasan membunuh, saya tak mahu lakukan.” Dengan bersahaja, Badrul menolak gambar-gambar itu kepada Rafael semula.
“Engkau adalah yang terbaik dalam KH Intelligence. Aku mahu melatih engkau menjadi yang terbaik di sini. Engkau ada potensi yang besar untuk menjadi ketua kumpulan K-4.” Rafael cuba meyakinkan Badrul.
Rafael terus sahaja memberitahu beberapa fakta kes tanpa menghiraukan perasaan Badrul. Tugasan kali ini dibayar oleh seorang pelanggan bernama Mr. M. Dia mahu sejumlah kapsul berwarna ungu diambil dari tempat persembunyian dan diserahkan kepada Mr. M dalam masa tiga hingga enam minggu. Cuma masalah yang paling besar ialah Mr. M tidak tahu di mana kapsul-kapsul itu disembunyikan.
“Habis tu? Bagaimana nak ambil benda yang kita tak tahu tempatnya?” Badrul menggeleng-geleng.
“Bard, kalau Mr. M tahu di mana tempatnya, dia tak perlukan kita. Dia boleh ambil sendiri,” Rafael menjawab.
“Baiklah, kalau begitu, apa maklumat yang kita ada mengenai Kapsul Ungu?” tanya Badrul.
Menurut Rafael, satu kajian bernama ‘Kapsul Ungu’ telah dimulakan oleh satu syarikat farmaseutikal bernama Lombard Lab beberapa tahun lalu. Ia diketuai oleh seorang pakar Biomedikal bernama Dr. Asri.
“Malangnya, kajian ini telah dihentikan dan sampel terakhir kapsul ini ada bersama Dr. Asri.” Rafael mengambil gambar yang ditunjukkan kepada Badrul tadi dan menuding ke arah lelaki berumur yang memakai baju makmal berwarna putih.
“Jadi, kita hanya perlu cari Dr. Asri dan dapatkan kapsul itu?” tanya Badrul.
“Tidak semudah itu, Bard. Dr. Asri telah hilang hampir sebulan lalu selepas menghadiri satu perbincangan yang diuruskan oleh Lombard Lab di Sweden.” Kata-kata Rafael terhenti seketika.
“Jadi, itulah masalahnya, Dr. Asri telah hilang. Siapa lagi yang mungkin ada menyimpan sampel itu?” tanya Badrul.
“Maklumat itu tidak ada buat masa sekarang. Tapi kita boleh mulakan dengan Julia,” Rafael membalas sambil mengambil gambar gadis yang memakai baju makmal berwarna putih.
“Siapa pula Julia?” Badrul bertanya.
“Julia adalah pembantu kepada Dr. Asri. Dia masih lagi bekerja di Lombard Lab. Hanya Julia dan Dr. Asri yang membuat kajian mengenai Kapsul Ungu. Mungkin dia tahu mengenai lokasi sampel Kapsul Ungu dan mungkin dia juga boleh membina semula Kapsul Ungu,” Rafael menjawab.
“Berapa  bayarannya?” Badrul bertanya.
“500 ribu dolar Amerika,” Rafael membisikkan dengan perlahan angka yang dipersetujui oleh Mr. M.
Badrul ketawa kecil. Matanya mula bersinar kembali.
Mereka mula meneliti semua bahan yang dihantar oleh Mr. M. Dengan bayaran 500 ribu dolar Amerika, tugas ini nampak mudah. Badrul melihat gambar Julia dengan teliti. Mukanya bujur sirih dan pandangan matanya redup. Sekali imbas Julia menyerupai Natasha, gadis yang pernah bertakhta di hatinya suatu ketika dahulu!
Badrul meneliti semua maklumat mengenai Julia; rumah, nombor telefon, tempat kerja, makanan kegemaran, hobi dan semuanya. Sebagai bekas pembantu Dr. Asri, setidak-tidaknya Julia pasti tahu serba sedikit tentang Kapsul Ungu dan kebiasaan-kebiasaan Dr. Asri. Julia mungkin adalah satu-satunya kunci kepada tugasan terbarunya itu.
Badrul mula berfikir apakah cara terbaik untuk mengenali Julia.
“Bincangkan strategi dengan Benji dan Rajan. Esok kita bincang perancangan dengan lebih teliti,” Rafael memberi pesanan.