Jemput Baca..

Tuesday, February 19, 2013

Testing Livestream

Wednesday, September 12, 2012

When I Missed You...


Tuesday, September 11, 2012

Greater Person..


Thursday, August 9, 2012

Motivasi Minggu 10 : Keajaiban Sebuah Kesyukuran

Apakah maksud sebenar kesyukuran pada anda?

Bagi saya, kesyukuran bermaksud rasa berterima kasih dengan rezeki yang datang walaupun sedikit dan menghargai detik-detik gembira dalam kehidupan walaupun sekejap. Hidup anda mungkin banyak masalah; suami atau isteri yang tidak begitu memahami apa yang anda perlukan, ibu bapa yang tak pernah bertanya apa minat anda, guru yang tidak pernah nampak kelebihan anda, majikan yang tak pernah nampak usaha anda dan banyak lagi jika anda betul-betul mahu melihat hidup ini dari segi masalah. 


Cuba tukar pandangan anda seketika. Fikirkan rezeki yang telah anda dapat atau waktu-waktu gembira yang telah anda lalui. Anda berjaya mendapat markah tertinggi dalam kuliah anda, ada orang yang mahu membeli kereta anda dan anda boleh membeli kereta baru, majikan anda akhirnya mahu menaikkan gaji anda sedikit. Untuk seketika ucapkan Alhamdulillah. Seterusnya, fikirkan perkara-perkara yang lebih mudah yang anda lalui setiap hari; anda bangun tidur dan kaki anda masih boleh berjalan, anda terlambat masuk ke kuliah dan kawan-kawan anda masih mahu berkongsi nota, anda pulang ke rumah dan suami atau isteri anda masih tersenyum pada anda. Untuk perkara-perkara ini juga, walaupun nampak kecil, ambil masa seketika dan ucapkan Alhamdulillah. 

Apa kelebihannya bersyukur sebegini? 

Anda akan mula kurang berfikir mengenai perkara-perkara negatif dalam hidup anda. Dengan bersyukur, fikiran anda menjadi semakin positif. Anda mula berfikir tentang rezeki dan kebaikan yang berlaku dalam hidup anda. Pemikiran yang positif menarik perkara-perkara yang positif dalam hidup anda. Akhirnya hidup anda akan menjadi semakin makmur. Setiap manusia mempunyai frekuensi minda mereka sendiri yang akhirnya akan menentukan arah kehidupan mereka. Seperti frekuensi radio, walaupun ada beribu-ribu rangkaian radio di dunia ini, and hanya boleh mendengar satu siaran pada satu masa. Begitu juga dengan frekuensi minda kita, hanya boleh “tune in” dengan satu frekuensi sahaja pada satu-satu masa. Jika anda memilih untuk fokus kepada perkara-perkara negatif, siaran anda berbentuk negatif yang akhirnya akan menarik lebih banyak perkara negatif dalam hidup anda. Kalau anda memilih untuk selalu bersyukur, siaran anda akan menjadi positif dan anda akan menarik perkara-perkara positif dalam hidup anda. Orang sekeliling anda akan mula menganggap anda seorang manusia yang sentiasa dalam perlindungan Tuhan. Inilah keajaiban sebenar sebuah kesyukuran. 

Apa yang anda boleh lakukan sekarang? 

Ucapkan Alhamdulillah setiap hari walaupun nikmat yang diberikan Tuhan hanya sebesar hama. Sebaik sahaja bangun tidur, ucapkan Alhamdulillah kerana anda masih bernafas. Berjalan ke bilik air, ucapkan Alhamdulillah kerana anda masih mampu berjalan. Lakukan setiap pagi dan lihat perbezaannya hidup anda nanti.

Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.

Saturday, July 21, 2012

Motivasi Minggu 9 : Perangkap Masa




Apabila membicarakan masa, ada 3 cara utama manusia melihat; masa lampau, masa sekarang, dan akan masa datang.

Masa lampau : tidak boleh diubah
Masa sekarang : sedang dilalui
Masa akan datang : belum pasti
Mana yang lebih anda fikirkan sekarang, masa lampau masa sekarang  atau masa hadapan?




1.       Masa Lampau

Ramai yang terperangkap dengan persepsi masa lampau. Anda tidak mahu kahwin lagi setelah berlakunya perceraian dan anda sudah tidak mempercayai lelaki atau wanita. Atau anda masih lagi menggunakan mesin taip walaupun dunia sekarang sudahpun menggunakan komputer yang pelbagai jenis. Ini adalah tanda-tanda anda terlalu memikirkan masa lampau sehingga mengganggu keputusan dan pengalaman anda pada masa sekarang.

Tips untuk keluar darpada perangkap ini ; pengalaman lampau tidak boleh diubah. Maafkan orang lain atau maafkan diri sendiri jika orang itu atau anda pernah  melakukan kesilapan. Rasa dendam akan lebih membuatkan anda terperangkap dalam masa lampau tersebut. Kemaafan akan mengalihkan fokus anda kepada masa sekarang dan masa hadapan.

Juga, ambil masa untuk melihat keadaan dunia sekeliling anda. Jangan takut untuk mencuba perkara-perkara baru. Pengalaman baru juga akan mengalihkan fokus masa lampau anda kepada waktu sekarang.

2.       Masa Hadapan

Ada juga yang terperangkap dengan masa hadapan hingga melupakan masa-masa yang sedang anda lalui sekarang. Anda terlalu memikirkan kerja-kerja yang perlu anda lakukan untuk mencapai cita-cita anda sepuluh tahun lagi sehingga anda lupa anda perlu juga meluangkan masa dengan anak-anak anda agar mereka tidak menyisihkan anda di kemudian hari.

Tips untuk keluar daripada perangkap ini ; beritahu diri anda, segala yang masih dalam perancangan adalah tertakluk kepada sebarang perubahan yang kadangkala bukan dalam kawalan anda. Masa hadapan sebenarnya belum menjanjikan apa-apa kerana ia belum berlaku lagi.

Mereka yang terlalu memikirkan masa hadapan juga selalu terperangkap dengan idea “saya tak boleh lakukan perkara X kerana saya belum lagi mendapat Y”. Contoh yang paling jelas ; “saya tak boleh memulakan perniagaan yang saya mahu kerana saya belum ada modal yang cukup”. Jika anda kaji semula, billionaire empunya Facebook, Mark Zuckerberg juga tidak mempunyai modal yang cukup semasa dia memulakan Facebook. Lihat di tahap mana dia berada sekarang.

3.       Masa Sekarang

Hanya masa sekarang yang benar-benar sedang anda lalui, tetapi jarang sekali ada yang melihat masa sekarang dalam persepsi ini, kerana kita selalu terperangkap sama ada dengan masa lampau atau masa hadapan. Hanya pada waktu sekarang anda benar-benar boleh melakukan sesuatu, bukan masa lampau dan bukan masa akan datang.

Jika ada sesuatu yang anda mahu lakukan, lakukan sekarang walaupun dalam skala kecil.
Lafazkan rasa cinta atau mulakan perniagaan yang anda impikan. Jika anda tidak melakukannya sekarang, tidak ada jaminan ia akan dilakukan pada masa akan datang. Adakah kita masih bernyawa untuk melakukannya nanti?

Pandangan saya, rancang dengan lebih teliti masa anda supaya anda tidak kehilangan pengalaman indah yang boleh anda lalui pada waktu sekarang. Pada masa yang sama jangan lupa untuk membina cita-cita di masa hadapan. Cita-cita yang tercapai akan membuatkan hidup anda lebih bermakna. Jangan lihat masa lampau anda dengan rasa marah dan dendam, kerana itu akan hanya membuatkan diri anda terperangkap dalam masa lampau dan tidak mampu bergerak ke hadapan. Lepaskan perasaan itu dan mulakan pengalaman baru pada waktu ini.

Masa bergerak bersama perangkap-perangkap yang tidak pernah anda sedari. Hanya anda sendiri  yang boleh mengeluarkan  diri anda daripada perangkap-perangkap masa ini!

Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.


Friday, June 8, 2012

Motivasi Minggu 8 : Sejauh Manakah Tahap Disiplin Diri Anda?


Perkara pertama yang diajar semenjak hari pertama anda masuk ke sebarang bentuk kelas atau sekolah adalah disiplin dan akibat yang buruk yang jika anda melanggar disiplin. Kalau lambat sampai ke sekolah, anda akan didenda. Kalau anda melanggar sebarang peraturan sekolah, ibu bapa anda akan diberitahu jika kesalahan itu adalah serius. Semua yang pernah menghadiri sesi persekolahan faham tentang pentingnya disiplin. 


Jika anda menghadiri sekolah rendah, menengah dan univerisiti, sekurang-kurangnya anda sudah mempunyai pengalaman berdisiplin selama 15 tahun.

Apabila anda sudah tidak bersekolah lagi, adakah anda masih berdisiplin? Saya masih ingat lagi, sebaik sahaja saya habis graduasi inilah yang bermain di fikiran saya “Seronoknya, sudah habis belajar tak perlu lagi mengikut disiplin universiti! Saya boleh buat apa sahaja yang saya mahukan!”
Malangnya sangkaan saya meleset. Apabila saya masuk ke alam pekerjaan, lebih banyak peraturan dan protokol yang perlu saya ikuti. Apabila saya menjadi ketua, saya juga mula menggubal peraturan dan polisi syarikat.

Menurut pengalaman saya, lebih mudah untuk saya mencapai sesuatu matlamat jika saya lebih berdisiplin. Contohnya jika saya mahu menulis 12 buah buku dalam masa setahun, saya perlu siapkan 1 buku sebulan dan saya perlu menulis sekurang-kurangnya 5 mukasurat setiap hari terus menerus. Jika saya tidak dapat menulis hari ini, maka hari esok saya menulis sebanyak 10 mukasurat.

Cuma persoalannya, sanggupkah saya melakukan semua itu sepanjang tahun sehingga kesemua 12 judul buku itu siap?

Kesanggupan inilah yang membezakan tahap kejayaan seseorang. Semua orang boleh berbincang dan mengeluarkan idea serta rancangan yang bernas tetapi tidak ramai yang sanggup mengikut rancangan yang mereka telah bina sendiri mengikut masa yang ditetapkan secara konsisten.

Inilah maksud sebenar disiplin; bekerja mengikuti perancangan dalam masa yang ditetapkan secara konsisten.

Tidak mudah untuk dilakukan!

Bagaimana untuk membina tahap disiplin yang tinggi dalam diri anda?

  •  Lakukan Perancangan dengan teliti. Ambil kira kesemua risiko dan kos yang terbabit.Ambil kira juga masa “downtime” dalam perancangan anda. Jika kerja itu boleh disiapkan dalam seminggu jika anda bekerja tanpa henti, mungkin masa seminggu itu tidak begitu realistik. Ambil kira juga masa untuk berehat. Tanpa rehat yang cukup prestasi anda akan menurun dan mungkin kerja itu tidak akan disiapkan dengan kualiti yang baik.
  • Uji sedikit sebelum membuat sesuatu secara besar-besaran. Contohnya jika anda mahu menjual satu produk baru, uji dahulu penerimaan pasaran terhadap produk ini sebelum melantik lebih ramai jurujual dan pengedar. Mungkin ada perkara yang kita tidak nampak atau tidak jangka semasa proses perancangan. Kaedah ini akan mengurangkan kerugian jika produk itu dijual dalam pasaran yag salah.
  •  Jangan tunggu masa terakhir. Buat kerja tersebut sedikit demi sedikit dalam jangkamasa yang ditetapkan dan dalam keadaan relaks. Untuk jangkamasa panjang, anda boleh membina tabiat kerja yang konsisten. 
  • Jika anda bekerja dalam kumpulan, latih kesemua ahli kumpulan anda melakukan kerja secara berperingkat, konsisten dan dalam keadaan relaks. Lebih banyak kerja akan berjaya disiapkan jika semua ahli kumpulan anda mempunya tabiat kerja yang positif.
  • Cabar diri anda untuk mencapai matlamat yang lebih tinggi setelah kerja sebelum ini siap dengan sempurna. Anda juga harus memperbaiki cara dan mutu kerja dengan membuat penilaian agar tugasan seterusnya dapat disiapkan dengan lebih baik.

Setelah membaca tulisan ini anda semua boleh menilai sendiri apakah tahap disiplin diri anda.

Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.

Rak Buku Maya

Masuk ke blog ini anda pasti nampak rak buku di header blog ini.

Klik ke atas buku yang anda mahu baca dan buku tersebut akan terbuka di dalam skrin anda seolah-olah anda sedang membaca buku itu di atas meja.

Cuba selak buku itu dengan menekan ke atas anak panah. Siap ada bunyi lagi!

Rak Buku Penuh saya masih kosong lagi, tetapi jika anda mahu lihat, klik "Rak Buku Penuh" di menu utama.