Jemput Baca..

Monday, February 14, 2011

Arash - Bab 2




Julia sampai ke rumah dengan membawa sebuah bungkusan yang sampai ke hospital tempat dia bekerja pagi tadi. Hatinya sedikit gembira walaupun lebih banyak perasaan risau yang dirasainya sekarang. Bapanya, Dr Gufran sudah hampir lima hari tidak menelefonnya kembali. Banyak kali dia merasakan dia harus memberitahu Rudy mengenai panggilan bapanya dan penerimaan bungkusan yang dipegangnya sekarang tetapi hati kecilnya masih lagi kuat menyatakan bapanya selamat.

Sebaik sahaja duduk di atas katil, Julia membuka bungkusan itu dengan perlahan. Sebaik sahaja penutupnya dibuka, Julia melihat sebuah kotak kayu yang berukir cantik yang diikat dengan reben berwarna merah, warna kesukaannya. Julia mengeluarkannya dari dalam kotak dan membuka ikatan reben tersebut. penutup kotak itu boleh dijungkitkan ke atas di kedua-dua belah sisi. Bapanya telah menghantar sebuah rehal dengan tapak seperti sebuah kotak yang boleh memuatkan sebuah al Quran bersaiz kecil. Kotak itu mempunyai pengunci yang tidak boleh dibuka.

Julia tersenyum sediri. Dia mencari-cari kalau-kalau ada bapanya ada meninggalkan sebarang nota seperti selalu. Agak lama Julia mencari tetapi masih tidak juga berjumpa.

"Mungkin kali ini Papa tidak sempat untuk menghantar nota," desis hati Julia. Julia kemudiannya meletakkan rehal itu di atas meja sebelah katilnya sebelum bersiap untuk tidur. Julia perlu rehat yang cukup kerana banyak tugas yang perlu dilaksanakannya esok.

Apabila Julia menutup lampu, dia nampak rehal yang dihadiahkan oleh bapanya berkilau dengan cahaya berwarna merah dan putih seketika sebelum cahaya itu pudar dan hilang ditelan kegelapan. Julia agak terkejut. Dia membuka lagi sekali lampu bilik dan menutupnya semula. Rehal itu berkilau sekali lagi selama beberapa saat dan cahayanya hilang selepas itu. Julia tersenyum lagi. Bapanya selalu menghadiahkannya sesuatu yang unik, lain daripada yang lain.
Julia menaiki katil, menarik selimut dan tidur sambil mengingati bapanya.

                                                                                   ************************

Setelah berkali-kali Leo cuba membuka mangga yang hampir karat itu, akhirnya tiba-tiba ia terbuka. Sejalur senyuman terpamer di bibirnya. Leo menolak dedaun pintu rumah itu lalu masuk ke dalam dengan perlahan. Rumah itu nampaknya dipenuhi habuk dan sawang. Ibu Leo, yang tinggal di situ dahulu sudah meniggal dunia tiga tahun lepas. Selepas itu rumah itu dibiarkan sahaja hingga ke hari ini.

Leo berjalan perlahan-lahan. Ruang tamu itu banyak meninggalkan kenangan kepadanya. Di situlah dia mula berkenalan dengan pasangan suami-isteri Dr Gufran dan Ludana. Di situ juga dia mengetahui Ludana mempunyai kuasa psikik yang luarbiasa dan Dr Gufran memerlukan seorang penyelidik untuk membantu mereka dalam satu projek penyelidikan sulit kerajaan. paling menyedihkan, di situ juga dia ditangkap sepuluh tahun lalu kerana menjual maklumat rahsia kerajaan.
Leo menarik nafas panjang. Dia telah merengkuk di dalam penjara selama sepuluh tahun dan ini adalah hari pembebasannya yang pertama. Banyak perkara yang hendak dilakukannya untuk membetulkan kembali keadaan. Leo memanjat tangga untuk naik ke bahagian atas rumah tersebut. Dia membuka sebuah bilik yang berdekatan dengan tangga, biliknya sendiri. Semuanya masih sama seperti hari dia dibawa pergi oleh pihak perisik kerajaan.

Leo menarik sebuah kotak yang berada di bawah katil lantas duduk di atas lantai. Selepas meniup habuk, dia membuka perlahan-lahan kotak itu. Terlihat banyak fail-fail berwana coklat tersusun didalam kotak tersbut. Leo mengambil satu fail bertajuk Ludana dan membukanya. Dia mengambil sekeping gambar di dalam fail itu, gambar Dr Gufran, Ludana, anak mereka Julia dan dirinya sendiri. Dua belas tahun lepas, Ludana mengalami kemalangan semasa bertugas menyelesaikan salah satu kes polis yang memerlukan penggunaan kelebihan psikiknya dan dia koma selama beberapa tahun. Pada waktu itu hanya Dr Gufran yang boleh berinteraksi dengan Ludana menggunakan sejenis alat pembaca gelombang otak. Selepas enam bulan, berada dalam keadaan koma, Leo yang pada masa itu adalah pembantu penyelidik kepada Dr Gufran, mendapati Ludana mempunyai keupayaan psikik yang lebih tinggi dari sebelumnya. Selain menjejaki penjenayah, dia sudah boleh meramal masa hadapan.

Leo terus menutup fail tersebut. Perkara pertama yang dia mahu buat selepas keluar penjara adalah untuk menjejaki Ludana. Kelebihan yang ada pada Ludana boleh digunakan untuk bermacam-macam tujuan. Meramal masa hadapan dengan tepat adalah satu kelebihan yang boleh mendatangkan banyak wang. Dia boleh membeli nombor loteri yang bakal memenangi hadiah utama dengan kelebihan Ludana. Dia juga boleh membeli saham yang bakal naik dengan adanyaLudana. Itu hanya sedikit yang boleh difikirkannya sekarang.

Leo mengambil semula gambar yang dijumpainya tadi dan melihat satu persatu keluarga Ludana. Dr Gufran khabarnya masih lagi bekerja untuk kerajaan. Julia mungkin sudah meningkat dewasa dan bekerja sekarang. Ludana pula mungkin masih lagi koma dan ditempatkan di satu lokasi rahsia yang dikawal ketat kerana kerajaan tidak mahu keupayaan psikiknya disalahgunakan.

"Aku akan mula dengan kau, Gufran!" Leo menekan jari telunjuknya ke arah gambar Dr Gufran.

"Ludana akan jatuh ke tangan aku!!" Leo bingkas bangun. Dia mahu berjumpa dengan kuncu-kuncunya yang mungkin masih berada di kota untuk memulakan misinya itu.

No comments:

Post a Comment