![]() |
Generasi Pertama, Kedua dan Ketiga Tenaga Nuklear |
Masri melihat ke arah langit yang indah malam itu. Purnama bercahaya penuh diiringi berjuta-juta bintang yang berkelip-kelip. Kadangkala Masri dapat melihat warna cahaya yang berbeza-beza pada setiap bintang. Bintang yang paling hangat berwarna seakan-akan biru dan bintang yang paling sejuk berwarna kemerah-merahan. Itulah ilmu pertama yang dibacanya di perpustakaan sekolahnya dahulu.
“Minum?” Mr M mengundangnya untuk minum sambil berjalan
melewati meja kerjanya malam itu. Masri hanya membalas dengan senyuman.
Deringan telefon yang tiba-tiba menjerit membuatkan Mr M bergegas masuk ke
bilik kerjanya.
Bayangkan setiap bintang yang ada di langit itu mempunyai
sistem cakerawalanya yang tersendiri. Setiap bintang sebenarnya adalah seperti
matahari di galaksi Bima Sakti, dikelilingi oleh beberapa buah planet dan salah
satunya adalah planet bumi. Jika ada beribu-ribu bintang di langit mungkin ada
beberapa buah planet yang menyamai planet bumi di dalam galaksi-galaksi
tersebut. Mungkin kita akan menemui kehidupan yang sama seperti kehidupan di
planet bumi.
Setiap kali Masri melihat ke arah langit, dia merasakan
betapa besarnya alam semesta ini dan segala kemungkinan yang ada. Perasaan
itulah yang telah membawanya untuk mendalami bidang astronomi. Tetapi malangnya
astronomi tidak menjanjikan apa-apa pekerjaan yang bagus untuknya. Setelah
keluar dengan ijazah astronomi dari sebuah universiti, Masri tidak berjaya
menjadi angkasawan seperti yang dia idamkan. Hanya ada beberapa buah negara
sahaja yang berjaya menerokai angkasa. Kuala Lumpur tidak menjanjikan apa-apa
peluang yang baik untuknya bekerja. Kini dia berada di sebuah makmal di Russia
bersama beberapa butir batu kerikil yang dikatakan diambil dari bulan.
Batu-batu ini, menurut Mr M, lebih dikenali sebagai “Moonrocks” telah dikumpul
semula oleh beberapa orang pembantunya dari seluruh dunia.
Mr M kembali semula mendekati Masri setelah habis berbicara
melalui telefon.
“Saya banyak membaca
mengenai batu dari bulan ini. Banyak cerita mengatakan batu-batu yang dibawa
oleh angkasawan dari bulan dan dihadiahkan ke beberapa buah negara telah hilang,”
Masri mengambil sebutir batu kerikil sambil memulakan bicara.
“Ya, hampir 300 biji batu dibawa balik ke bumi dan 200 butir
telah hilang di seluruh dunia. Saya cuma berjaya mengumpul tidak sampai 100 butir, cukup untuk ujikaji
selama dua tahun.”
Masri menarik nafas panjang. Dua tahun adalah satu
jangkamasa yang agak lama.
“Saya adalah penuntut bidang astronomi, bukan geologi. Saya
tak tahu apa-apa mengenai batu-batu seperti ini,” Masri menjawab.
“Tapi batu ini datangnya dari bulan. Bukan dari bumi. Kerana
itulah saya perlukan awak. Inilah yang akan awak kaji selama dua tahun akan
datang jika awak menerima tawaran saya. Saya akan sediakan tempat tinggal dan
makan minum untuk awak. Saya juga akan sediakan permit kerja untuk awak di
sini. Jadi tak perlulah lagi awak hidup
dalam pelarian, asyik diburu pihak berkuasa kerana awak tak ada permit.”
Masri terdiam seketika. Ada benarnya kata-kata Mr M. Kontrak
dan permit kerjanya di sebuah makmal di negara itu sudah tamat enam bulan lalu.
Agak sukar untuk hidup di negara orang tanpa sebarang kerja tetap. Walaupun
kajian yang dijalankan oleh Mr M nampak agak pelik, dia terpaksa menerima
sahaja tawaran tersebut. Hidupnya dalam keadaan terdesak sekarang.
“Saya tak ada pilihan lain. Saya terpaksa terima tawaran Mr
M,” Masri akhirnya bersetuju.
“Bagus Masri, saya akan sediakan semuanya minggu ini ;
tempat tinggal, dokumen permit dan makmal untuk awak bekerja. Datang semula
hari Isnin nanti tepat pukul 9.00 pagi,” dengan senyuman lebar Mr M menepuk
bahu Masri. Masri hanya tersenyum hambar.
****
Hujung minggu itu, Masri pergi ke sebuah perpustakaan awam
untuk mencari maklumat mengenai “Moonrocks” atau batu bulan.
Seperti yang diceritakan oleh Mr M, semenjak angkasawan
Russia dan Amerika berjaya menjejaki permukaan bulan dalam tahun 70an, banyak
batu-batu kecil dari bulan telah dibawa
kembali ke bumi untuk tujuan kajian. Banyak juga batu-batu itu telah
dihadiahkan kepada ketua-ketua negara di seluruh dunia sebagai tanda
persahabatan.
Hanya satu keratan akhbar yang menarik perhatiannya pada
hari itu. Keratan akhbar itu menceritakan mengenai helium-3, bahan yang banyak
ditemui di permukaan bulan, yang dikatakan mampu menjana tenaga dengan
lebih cekap, bersih dan selamat. Penggunaan helium-3 sebagai sumber tenaga
adalah lebih baik daripada penggunaan tenaga nuklear yang banyak membawa
keburukan.
Masri berfikir sejenak. Mungkin itu yang cuba dikaji oleh Mr
M. Jika benar, kajian ini mungkin akan
menjadi antara kajian terpenting di abad ini.
- Mr M adalah salah seorang watak dalam novel K-4: Kapsul Ungu -
- Mr M adalah salah seorang watak dalam novel K-4: Kapsul Ungu -
No comments:
Post a Comment