Jemput Baca..

Saturday, June 2, 2012

Motivasi Minggu 7 : Jangkakan Hanya Yang Terbaik, Ubat Minda Yang Sering Dilupakan



Apa yang selalu bermain di fikiran anda akan menentukan nasib anda. ..


Cuba fikir sejenak, apa yang selalu bermain di fikiran anda hari ini? Anda kalah dalam satu pertandingan sukan dan anda banyak berfikir mengenai kekalahan anda. Apa yang akan berlaku pada pertandingan sukan akan datang? Jika anda banyak berfikir mengenai kekalahan, anda pasti akan kalah.

Jika anda bekerja sebagai seorang jurujual dan anda berjaya mendapat jualan dan komisen yang banyak bulan ini? Apa yang anda banyak fikirkan hari ini? Anda mahu berusaha keras untuk mendapat jumlah jualan yang sama supaya anda akan mendapat jumlah komisen yang sama atau lebih lagi? Jika ini yang selalu bermain di fikiran anda, pada bulan hadapan, anda pasti akan mendapat jumlah komisen seperti yang anda idamkan jika anda berusaha keras.

Percayakah anda jika saya rumuskan, apa yang berlaku kepada diri anda hari ini adalah hasil daripada pemikiran anda pada masa lampau. Cuba lihat apa yang telah berlaku kepada anda pada hari ini dan bezakannya dengan apa yang berlaku kepada diri anda 3 bulan lepas, 6 bulan lepas atau 1 tahun lepas. Apa yang anda selalu fikirkan pada masa itu. Adakah ia telah berlaku sekarang, selari dengan apa yang anda fikirkan pada masa itu?

Minda anda mempunyai keupayaan yang tinggi untuk merealisasikan apa yang sahaja yang anda fikirkan, tidak kira baik ataupun buruk. Jika anda belum lagi mencapai cita-cita anda, mungkin anda terlalu banyak berfikir anda tidak akan mencapai cita-cita tersebut. Bagaimana untuk menukar cara minda anda berfikir?

  • Jangkakan Hanya Yang Terbaik

Setiap kali hati anda berdebar-debar atau mata kiri anda bergerak-gerak, apa yang anda fikirkan?  Kebanyakan orang akan terfikir “Sesuatu yang buruk akan berlaku,” kerana petua ini adalah turun temurun dari nenek moyang anda.

Hari ini, cuba ubah persepsi anda dan ubah juga jangkaan anda. Jika hati berdebar-debar, katakan kepada diri anda, sesuatu yang sangat baik akan berlaku kepada diri anda. Jika mata bergerak-gerak ada orang yang akan memberikan rezeki kepada anda.

Mungkin tidak mudah untuk mengubah persepsi ini kerana mungkin ia sudah sebati dengan diri anda. Tetapi jika anda cuba, anda akan dapat merasai kesannya nanti.

  • Bergaul dengan mereka yang berfikiran positif

Bergaul dengan mereka yang berfikiran posiitif akan sedikit sebanyak mengubah diri anda menjadi lebih positif. Lihat bagaimana cara mereka berfikir dan cara mereka menangani isu-isu kehidupan seharian.

  • Kurangkan membaca berita-berita buruk

Berita-berita buruk mempunyai daya penarik sendiri. Kejadian jenayah, cerita miskin tegar, kematian mengejut, artis bercerai-berai ,kemalangan dan berita-berita buruk lain selalunya adalah berita-berita yang selalu mendapat banyak perhatian. Berita seperti ini juga akan diperkatakan berkali-kali di kalangan pembaca kadangkala sehingga berbulan-bulan. Jika anda selalu berfikir mengenai kejadian-kejadian buruk, apakah yang akan berlaku akhirnya? Kejadian-kejadian buruk yang anda baca itu mungkin satu hari nanati akan terjadi kepada anda. 

  •  Bina gambaran positif dalam minda anda


Minda anda lebih senang menerima maklumat dalam bentuk imej. Biasakan minda anda menerima maklumat positif dalam bentuk imej yang ada kaitan dengan perkara-perkara yang ingin anda capai. Contohnya jika anda mahu membeli rumah idaman, ambil gambar rumah idaman anda dan letakkan di tempat yang selalu anda lihat seperti di skrin komputer anda. Secara bawah sedar, minda and akan sentiasa berfikir mengenai rumah idaman anda dan satu hari anda akan memilikinya.



Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.

No comments:

Post a Comment