Jemput Baca..

Sunday, April 10, 2011

Arash - Bab 3




Julia menepis-nepis beberapa helai daun yang gugur ke atas bangku kayu yang terletak betul-betul di bawah sebatang  pokok saga di taman yang terletak betul-betul di hadapan hospital tempat dia bekerja. Julia selalu keluar ke situ pada waktu petang untuk mengambil angin jika hari tidak hujan. Selalunya dia membawa secawan kopi bersama tetapi hari itu mesin pembancuh kopi di hospital sudah rosak dan belum diperbaiki lagi. Angin petang yang sepoi-sepoi bahasa selalu menenangkan perasaanya.  

“Boleh saya duduk di sini? Semua tempat lain sudah ada orang duduk,” suara seorang lelaki kedenganran menyapanya. Julia memandang ke arah lelaki tersebut.

“Silakan,” jawab Julia sambil tersenyum. Lelaki yang menegurnya memakai pakaian yang sangat lusuh. Kemeja dan seluarnya sudah pudar warna.

“Awak bekerja di hospital itu?” tanya lelaki itu.

“Ya, baru sahaja bekerja di sana,” jawab Julia dengan tenang.

“Saya baru berpindah ke kawasan ini. Nama saya Leo.” Lelaki bernama Leo memperkenalkan dirinya.

“Nama saya Julia,” jawab Julia ringkas.

“Sedap nama itu,” Leo membalas.

“Terima kasih,” Julia menjawab.

“Saya kenal bapa awak, Dr Gufran,” kata-kata Leo ini menarik perhatian Julia.

“Minta maaf, awak kata awak kenal bapa saya?” tanya Julia untuk memastikan semula kata-kata Leo.

“Ya, saya kenal. Saya juga kenal dengan ibu awak yang bernama Ludana,” Leo menyambung. Hati Julia mula berdebar-debar.

“Di mana ibu awak sekarang? Sudah lama saya tidak berjumpa dengannya,” tanya Leo bersahaja.

“Dia sudah meninggal dunia. Lama dahulu, semasa saya masih kecil.” Jawab Julia.

“Awak pernah melawati kuburnya?” tanya Leo

“Ibu saya meninggal dunia dalam satu letupan sebuah kapal laut di luar negara. Kuburnya di dalam laut,” walaupun dia berasa agak curiga dengan lelaki bernama Leo itu, Julia tetap menjawab.

“Saya rasa ibu awak masih hidup. Cuba hubungi bapa awak dan katakan padanya Leo bertanyakan Ludana, saya pasti bapa awak akan ingat akan saya,” ujar Leo sambil bangun dari bangku kayu itu.

“Selamat tinggal,” Leo menambah lalu bergerak merentasi beberapa batang pokok di tepi taman. Julia tergamam. Dia mengeluarkan telefon bimbit dan cuba mendail  nombor Rudy.

“Rudy, siapa Leo?” bentak Julia sebaik sahaja Rudy menjawab panggilannya.

“Err.. bagaimana awak tahu mengenai Leo?” Rudy bertanya pula.

“Leo datang berjumpa saya tadi. Dia kata ibu saya masih hidup. Siapa Leo?” nada suara Julia semakin tinggi.

“Itu maklumat sulit Julia, saya…” Rudy tidak mahu menjawab pertanyaan Julia. Julia terus memutuskan panggilan dan berjalan pantas masuk semula ke dalam hospital.


                                                                                *****************


“Leo sudah keluar dari penjara Tuan. Dia sudah bertemu Julia, dan memberitahu Julia ibunya masih hidup,” Rudy membuat laporan kepada ketuanya, Raschit. Raschit berpaling ke arah bilik berkaca di sebelahnya. Terlihat seorang wanita yang terlantar di atas katil menggunakan  bantuan pernafasan. Selepas beberapa saat Raschit memandang semula ke arah Rudy.

“Mungkin itu sebabnya Dr Gufran menghilangkan diri. Ada apa-apa maklumat mengenai Dr Gufran?” Raschit mengalih perbualannya.

“Belum lagi Tuan, dia adalah ejen terlatih dan dia lebih bijak dari kami semua.” Jawab Rudy.

“Dan dia akan berbuat apa sahaja untuk Ludana,” sambung sambil memandang kearah bilik berkaca itu sekali lagi.

“Bagaimana dengan Ludana? Sudah lebih lima belas tahun dia koma, berapa lama lagi kita akan simpan dia dalam bilik kaca itu?” Rudy bertanya.

“Ludana  adalah hak kerajaan. Kelengkapan yang ada di bangunan Arash ini masih belum cukup untuk menyerlahkan potensi psikik yang ada pada Ludana. Bayangkan betapa senangnya kerja-kerja penyiasatan jika kita boleh melatih beberapa orang ejen lagi dengan keupayaan yang sama dengan keupayaan psikik Ludana,” Raschit menjawab.

“Tapi tanpa Dr Gufran, kita mungkin pincang. Tidak ada yang lebih baik darinya. Hanya dia yang boleh membuka keupayaan Ludana. Kita perlu cari Dr Gufran dengan segera.” Rudy cuba meyakinkan Raschit.

“Oleh kerana Leo sudahpun menonjolkan dirinya kepada Julia, saya tugaskan awak untuk menjaga keselamatan Julia. Saya mahu awak memantau Julia sehingga kita menemui Dr Gufran,” jawab Raschit.

“Baiklah tuan. Saya akan mula memantau Julia malam ini.” Rudy meminta diri.

No comments:

Post a Comment