Jemput Baca..

Tuesday, April 26, 2011

Arash - Bab 4



Sebaik sahaja Julia meletakkan keretanya di dalam petak letak kereta, dia terus sahaja berjalan ke bahu jalan tidak jauh dari hospital tempat dia bekerja. Sebuah kereta Toyota berwarna hitam kelihatan diletakkan betul-betul di bawah sepohon pokok yang rendang. Pemandu kereta tersebut yang memakai sepasang cermin mata gelap sedang membaca majalah dan sekali- sekala melihat ke arahnya. Kereta Toyota berwarna hitam itu sudah seminggu mengekorinya tidak kira di mana dia berada. Apabila tiba di bahagian penumpang hadapan, Julia terus sahaja membuka pintu kereta tersebut.

“Rudy, kemahiran awak semakin tumpul,” dengan bersahaja Julia duduk bersebelahan dengan pemandu kereta tersebut. Rudy mengeluh berat.

“Awak pakai cermin mata yang sama setiap hari. Awak juga menggunakan kereta yang sama dan meletakkan kereta di tempat yang sama, setiap hari. Awak juga mengekori saya terlalu dekat dan awak tak kuncipun kereta awak!” Julia menyambung.

“Saya bukan mahu mengintip awak. Saya cuma mahu pastikan awak selamat , Julia, ” jawab Rudy sambil membuka kaca mata hitamnya.

“Selamat dari siapa Rudy? Awak masih lagi belum memberikan penjelasan mengenai kehilangan bapa saya dan Leo. Siapa Leo sebenarnya, kenapa dia kata ibu saya masih hidup?” Julia semakin berang.

“Saya memang mahu menerangkan semuanya kepada awak tetapi awak terlalu marah, awak marah semasa dalam telefon, awak marah sekarang. Bagaimana saya mahu terangkan kalau awak asyik marah-marah begini?” jawab Rudy sambil meninggikan suaranya. Julia menelan air liur dan menarik nafas panjang.

“Baiklah Rudy, terangkan sekarang.” Julia menjawab.

“Saya tak boleh terangkannya sekarang, terlalu rumit,” Rudy menjawab dengan perlahan.

“Rudy!!!!” Julia menjerit penuh dengan api kemarahan.

“Baiklah Julia, saya cuba. Tapi saya perlu bawa awak ke Arash,” jawab Rudy sambil mula menghidupkan enjinnya.

“Saya rasa sudah tiba masanya awak mengetahui segala-galanya,” tambah Rudy sambil mula memandu.

“Arash?” Julia bertanya dengan nada hairan.

“Awak akan tahu nanti apa itu Arash,” Rudy menjawab.


                                                                **********************



Rudy tiba di sebuah kawasan yang agak terpencil, kira-kira 45 minit perjalanan dari pusat bandar. Bangunan-bangunan yang berada di kawasan tersebut berbentuk corong dan mengeluarkan sedikit asap di bahagian atasnya. Sekali imbas beberapa bangunan di kawasan itu menyerupai bangunan-bangunan kilang yang selalu terdapat di kawasan-kawasan perindustrian. Kawasan ini dipagari dengan pagar elektrik bervoltan tinggi.

“Inilah Arash, sebuah fasiliti penyelidikan seluas lima hektar,” jawab Rudy sambil membawa Julia ke pintu masuk utama kawasan tersebut.

“Kenapa awak bawa saya ke sini?” tanya Julia dengan hairan.

“Saya sudahpun mendapat kelulusan daripada ketua saya, Raschit untuk membawa awak ke kawasan ini. Ada perkara yang perlu kita bincangkan, tetapi lebih baik awak berjumpa dengan ketua saya dahulu,” jawab Rudy.

Selepas melepasi pondok keselamatan pertama mereka melalui pemeriksaan keselamatan dan diberikan pakaian khas; sepasang overall berwarna merah dan topi keselamatan yang juga berwarna merah. Mereka kemudiannya diarahkan untuk menaiki sebuah kenderaan lokomotif melalui terowong yang panjang. Terowong itu bukan seperti terowong lebuhraya biasa. Ia mempunyai kemasan keluli yang nampak kejap, sama seperti terowong LRT atau MRT yang terdapat di bandar-bandar besar dunia. Terdapat lampu neon yang menerangi terowong itu setiap lima kaki dan papan penanda jarak yang dtulis dalam tulisan berkilau.

Perjalanan dengan lokomotif itu mengambil masa hampir lima belas minit. Sebaik sahaja lokomotif itu berhenti sebahagian permukaan terowong itu terbuka untuk membenarkan lokomotif itu masuk. Pintu itu seolah-olah sengaja dirahsiakan dan hanya boleh dibuka oleh orang-orang tertentu sahaja.

Rudy membantu Julia untuk turun dari lokomotif tersebut. Pemandu lokomotif itu kemudiannya masuk semula ke dalam terowong dan meneruskan perjalanan. Pintu rahsia yang terbuka tadi kini ditutup semula dan menjadi sebahagian daripada dinding bangunan yang di jejaki oleh mereka.

“Selamat datang Julia,” seorang lelaki bertubuh sasa menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Nama saya Raschit, penjaga Arash. Silakan ke bilik saya,” lelaki itu menjawab sambil menunjukkan arah kepada Julia. Julia mengikut tanpa banyak soal.

“Menurut kata Rudy, ada perkara yang awak mahu bincangkan,” Julia bertanya sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik yang ditunjukkan oleh Raschit.

“Benar, ada banyak perkara yang perlu kita bincangkan Julia,” jawab Raschit sambil duduk di kerusinya.

“Pertama sekali saya mahu berbincang dengan awak mengenai wanita itu,” Raschit mengalihkan pandangannya ke kiri bilik itu. Julia juga memandang ke arah yang sama.

“Awak kenal siapa dia?” tanya Raschit lagi.

Julia bangun untuk menghampiri dinding kaca yang memisahkan bilik itu dengan bilik yang didudukinya sekarang. Dia nampak dengan jelas wanita itu sedang terlantar di atas katil dengan bantuan oksigen.

“Tak mungkin!” tiba-tiba Julia mengeleng-gelengkan kepalanya.

“Bertenang Julia!” Rudy cuba menenangkan Julia.

“Ini semua hanya mimipi.. Tak mungkin!” Julia berpaling semula ke arah Raschit sambil memegang lengannya sendiri.

“Sabar Julia. Ini adalah fasiliti penyelidikan Arash, segala-galanya mungkin di sini,” jawab Raschit sambil memegang lembut bahu Julia. Julia terduduk seketika.

“Saya bawakan awak minuman untuk tenangkan awak. Selepas itu kita boleh berbincang,” Raschit bersuara lantas memanggil seseorang melalui telefon di pejabatnya. 

Julia masih lagi tidak percaya dengan apa yang dilihatnya!


*Siri novel pertama K-4 sudah terbit. Dapatkan maklumat pembelian di sini
http://elzarahariri.blogspot.com/p/beli-novel-bersiri-k-4.html

No comments:

Post a Comment