Jemput Baca..

Tuesday, August 30, 2011

Arash - Bab 6




“Papa!” Julia meluru ke arah Dr. Gufran sebaik sahaja dia membuka pintu bilik.  Rudy dan Raschit yang juga menunggu sedari tadi bangun menyambut kedatangan Dr. Gufran.
“Syukurlah awak selamat,” Raschit bersalaman dengan Dr. Gufran diikuti dengan Rudy.
“Ceritakan apa yang berlaku, Dr Gufran,” desak Raschit.
“Leo sudah keluar dari penjara dan dia telah menjejak aku di Miami. Aku ke Miami bersama Rudy untuk menyelesaikan satu kes sulit seperti yang diarahkan oleh Mr M. Kemudian aku bertemu dengan seorang pakar quantum physic di sana untuk memperbaiki keupayaan MegaScan.”
MegaScan ada bersama kami di sini,” Rudy menunjukkan jarinya ke arah MegaScan yang berada di atas meja.
“Bagus. Aku  tahu Julia akan menjaganya dengan baik,” Raschit senyum ke arah Julia.
“Apa yang berlaku di Miami?” Raschit bertanya lagi.
“Dr. Lewis, pakar quantum physic telah memperbaiki MegaScan. MegaScan kini boleh mengawal gelombang otak  manusia yang dikenali sebagai gelombang Alpha. Maksudnya kini, keupayaan psikik Ludana boleh dibina semula menggunakan gelombang otak Alpha sesiapa sahaja dengan bantuan MegaScan,” Dr. Gufran menjawab.
“Maaf Dr. Gufran. Saya masih belum benar-benar faham. Cuba terangkan dengan lebih terperinci,” Raschit meminta penjelasan.
“Ada lima jenis gelombang otak manusia ; Delta, Theta, Alpha, Beta dan Gamma. Kita semua menjalani kehidupan seharian ketika otak kita mengeluarkan gelombang Beta, lebih kurang 21 gelombang sesaat. Dunia gelombang beta penuh dengan emosi ; suka, duka, cinta dan sebagainya. Apabila emosi tidak lagi menguasai diri kita, dan kiraan gelombang turun kepada 10 gelombang sesaat, kita berada di dalam gelombang Alpha. Keupayaan Ludana untuk menjana tenaga, melihat masa depan dan masa lampau selama ini adalah kerana dia boleh mengawal mindanya semasa berada di gelombang Alpha.”
“Maksud awak, orang lain tidak boleh mengawal minda mereka semasa berada di dalam gelombang Alpha?” Raschit bertanya.
“Mengawal minda di tahap Alpha memerlukan latihan. Setiap manusia melalui lima gelombang ini setiap hari tanpa mereka sedar. Dari tahap Beta,  manusia masuk ke tahap Alpha sebelum mereka tidur nyenyak dan apabila sudah tidur nyenyak mereka masuk ke tahap Delta dan kemudian Thetha. Dalam tahap Alpha, jika minda kita boleh mengawalnya, kita boleh buat apa sahaja yang kita mahu. Melihat ke masa lampau dan masa hadapan, bertemu dengan makhluk di alam lain, mengawal minda orang lain, menyembuh penyakit secara ghaib dan semua perkara-perkara paranormal yang pernah kita dengar selama ini,” Dr Gufran menyambung.
“Jadi inilah yang Leo mahukan, melihat masa hadapan dan mengawal minda orang lain. Dua perkara ini sudah cukup untuk menjadikan dia orang paling berkuasa di dunia ini,” Rudy mencelah.
“Benar, tetapi selagi dia belum dapat memiliki MegaScan kita semua masih selamat. Aku dan Dr Lewis tahu mengenai tindakan Leo ini ketika kami sedang melakukan ujian ke atas MegaScan. Kami telah melihat beberapa imbasan masa hadapan mengenai Leo. Kami tahu dia berada di Miami pada hari Rudy diberikan dadah dalam minumannya dan akhirnya pengsan. Aku juga tahu kamu semua akan berkumpul  di sini pada hari ini. Dan aku juga tahu apakah tindakan Leo seterusnya,” kata-kata Raschit ini membuatkan semua yang ada di bilik itu terdiam seketika.
“Apa yang Leo akan lakukan, Papa?” Julia bertanya memecah kesunyian.
“Dia akan sedang merancang  serangan pada hari ini!” Dr Gufran menjawab.
“Apa yang patut kita lakukan sekarang?” Raschit mencelah.
“Kita perlu bersedia. Aku, Julia dan Ludana akan bergabung tenaga menggunakan MegaScan untuk melihat apakah tindakan Leo seterusnya. Kamu berdua pula boleh bertindak mengikut maklumat yang kami kumpul nanti,” Dr Gufran memberi cadangan. Julia, Rudy dan Raschit berpandangan antara satu sama lain, mencari persetujuan semua.
“Baiklah Dr Gufran. Aku akan tingkatkan lagi tahap keselamatan di sini dan awak boleh teruskan rancangan awak,” Raschit akhirnya menjawab.

*Siri novel pertama K-4 sudah terbit. Dapatkan maklumat pembelian di sini
http://elzarahariri.blogspot.com/p/beli-novel-bersiri-k-4.html

Sunday, August 28, 2011



Selamat Hari Raya!

Hari Raya Aidilfitri kembali lagi. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakan seperjuangan, semua pembaca novel, mini novel dan blog saya. Tanpa sokongan anda semua mungkin karya-karya saya masih lagi berada di dalam kotak-kotak berhabuk.

Terima kasih kepada anda semua...


Monday, August 22, 2011

Arash - Bab 5



Julia bangun semula dan pergi ke arah dinding kaca untuk melihat semula wanita yang terlantar di katil tersebut. Dia membuka dompet yang dibawanya dan mula mencari sekeping gambar yang disimpannya sejak sepuluh tahun lalu, gambar bapanya, Dr Gufran dan ibunya, Ludana. Wanita yang terlantar itu memang benar-benar menyerupai ibunya. Pintu bilik tiba-tiba dibuka dari luar.

“Itulah ibu awak,” Raschit memulakan bicaranya selepas Julia duduk meneguk minuman yang diberikan.
 “Lihat semua ini, Julia. Kekuatan psikiknya mampu menjana tenaga elektrik untuk kegunaan seluruh fasiliti Arash,” ujar Raschit sambil memetik sebuah alat kawalan jauh. Seluruh dinding putih bilik itu dipancar dengan beberapa imej kawasan sekeliling Arash seluas lima hektar.
“Cuma malangnya, dia koma dan dia sudah sangat tua. Dia hanya mampu menjana tenaga untuk kegunaan Arash sahaja. Bayangkan jika dia masih muda dan banyak tenaga, seperti awak,” Raschit menduga.
“Seperti saya?” Julia semakin gementar dengan kata-kata Raschit.
Rudy yang sedari tadi hanya berdiri berdekatan dengan pintu mula memegang pistol yang diselitkan di rusuk kirinya. Hatinya mula dipenuhi rasa curiga.
“Awak juga mempunyai keupayaan itu Julia, awak mempunyai kod genetik yang sama dengan ibu awak, Ludana. Cuma awak tidak pernah tahu menggunakannya,” sambung Raschit. Hati Julia juga mula dipenuhi rasa curiga. Dia memandang ke arah Rudy seketika.
“Arash adalah sebuah kompleks penyelidikan yang mengkaji tentang sumber tenaga seperti tenaga atom, tenaga solar dan yang paling berjaya adalah tenaga yang boleh dijana melalui minda manusia,” Raschit memberi penerangan.
            “Apa kaitan semua ini dengan kehilangan bapa saya?” tanya Julia.
            “Saya rasa ini semua disebabkan oleh Leo,” jawab Raschit.
            “Leo? Siapa sebenarnya Leo?”
         “Leo adalah bekas pembantu bapa awak sepuluh tahun lepas sebelum dia masuk penjara. Sekarang dia baru sahaja keluar. Saya rasa kehilangan bapa awak ada kaitan dengan Leo,” ujar Raschit.
“Minta maaf Raschit, saya masih tidak faham,” kata Julia sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Raschit mengambil sebuah kerusi untuk duduk lantas memulakan ceritanya. Menurut Raschit, Dr. Gufran adalah antara pengasas fasiliti penyelidikan Arash. Kajian utama yang dijalankan olehnya adalah mengenai isterinya sendiri Ludana yang kemalangan semasa bekerja dan terus koma selepas kemalangan itu. Ludana pula adalah seorang wanita yang mempunyai keupayaan psikik yang tinggi dan boleh melihat imbasan-imbasan lampau hanya dengan memegang objek-objek tertentu.
Semasa kajian Dr. Gufran mendapati Ludana setelah koma, mempunyai keupayaan psikik yang lebih tinggi dari biasa. Dengan bantuan sejenis alat yang diciptanya yang dipanggil MegaScan Dr. Gufran berjaya menterjemah gelombang otak Ludana ke atas skrin komputer. Lebih mengejutkan, Ludana boleh mengeluarkan imbasan-imbasan masa hadapan. Selain itu, jika beberapa biji mentol diletakkan pada tubuh Ludana, mentol itu akan menyala walaupun tidak ada aliran elektrik.
Semasa Arash baru sahaja dibuka, Leo telah membocorkan rahsia kajian Ludana kepada pihak luar dan dia telah ditangkap dan dipenjarakan selama sepuluh tahun dan baru sahaja beberapa hari melangkah keluar dari penjara.
“Oh! Ya, awak ada bawa rehal yang Dr. Gufran hantar pada awak?” Tanya Raschit sebaik sahaja habis bercerita.
“Ada, ini dia,” Julia mengeluarkan rehal itu dari dalam beg yang dibawanya. Raschit mengambil rehal itu dan cuba membuka kotak kayu yang melekat dengan rehal tersebut. Setelah dicuba beberapa kali, akhirnya rehal dan kotak kayu itu bercerai.
“Inilah MegaScan, mungkin inilah sebabnya kehilangan bapa awak Julia,” ujar Raschit sambil mengeluarkan sebuah alat seperti pemacu cakera padat dari dalam kotak kayu itu.
“Saya rasa awak akan lebih selamat berada di Arash, saya risau Leo mungkin sedang mencari awak jika dia tidak berjaya mendapatkan alat ini dari bapa awak. Kawalan keselamatan Arash sangat ketat. Saya pasti awak akan selamat di sana,” ujar Raschit sambil meletakkan MegaScan ke atas meja. Telefon bimbit Raschit tiba-tiba berbunyi.
“Dr. Gufran. Awak di mana?” Raschit bersuara sebaik sahaja dia mengangkat panggilan telefon. Julia tersentak mendengar nama bapanya.
“Baiklah, Julia juga ada di sini. Kita jumpa nanti,” Raschit memutuskan talian.
“Papa di mana?” pantas Julia bertanya.
“Dia dalam perjalanan ke sini. Kita akan dengar kisahnya nanti,” Raschit menjawab dengan tenang. Sejalur garis kelegaan terlihat di wajah Julia mengetahui bapanya selamat.




*Siri novel pertama K-4 sudah terbit. Dapatkan maklumat pembelian di sini
http://elzarahariri.blogspot.com/p/beli-novel-bersiri-k-4.html
                

Wednesday, August 17, 2011

Novel K-4 Siri Pertama Sudah Terbit




Salam kawan-kawan!

Saya minta maaf kerana sudah terlalu lama tidak menulis dalam blog ini. Ini adalah kerana saya agak sibuk dengan kerja-kerja penerbitan novel K-4 yang menghadapi banyak liku-liku. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menerbitkan sendiri Novel K-4 Siri Pertama dengan tajuk K-4 : Kapsul Ungu.

Novel ini adalah adaptasi daripada blog entri yang bertajuk Kemaruk yang boleh dibaca di sini. Novel ini menceritakan bagaimana kumpulan K-4 dan ahli-ahlinya ; Bard, Benji, Rajan dan Julia mula bertemu, iaitu melalui tugasan Kapsul Ungu.  

Saya juga sedang berusaha untuk menterjemah novel ini ke dalam Bahasa Inggeris agar dapat dikongsi bersama dengan pembaca-pembaca yang tidak fasih berbahasa Melayu.

Buat masa ini, novel ini hanya boleh dibeli dari saya sahaja bermula September (selepas Hari Raya Aidil Fitri). Setiap pembelian terus dari saya, saya akan menandatangani novel ini dengan ucapan yang anda mahukan. Maklumat pembelian boleh di dapati di laman “BELI NOVEL BERSIRI K-4” di menu utama http://elzarahariri.blogspot.com/p/beli-novel-bersiri-k-4.html

Insya-Allah, selepas ini saya akan menulis dengan lebih aktif lagi!