Jemput Baca..

Saturday, July 21, 2012

Motivasi Minggu 9 : Perangkap Masa




Apabila membicarakan masa, ada 3 cara utama manusia melihat; masa lampau, masa sekarang, dan akan masa datang.

Masa lampau : tidak boleh diubah
Masa sekarang : sedang dilalui
Masa akan datang : belum pasti
Mana yang lebih anda fikirkan sekarang, masa lampau masa sekarang  atau masa hadapan?




1.       Masa Lampau

Ramai yang terperangkap dengan persepsi masa lampau. Anda tidak mahu kahwin lagi setelah berlakunya perceraian dan anda sudah tidak mempercayai lelaki atau wanita. Atau anda masih lagi menggunakan mesin taip walaupun dunia sekarang sudahpun menggunakan komputer yang pelbagai jenis. Ini adalah tanda-tanda anda terlalu memikirkan masa lampau sehingga mengganggu keputusan dan pengalaman anda pada masa sekarang.

Tips untuk keluar darpada perangkap ini ; pengalaman lampau tidak boleh diubah. Maafkan orang lain atau maafkan diri sendiri jika orang itu atau anda pernah  melakukan kesilapan. Rasa dendam akan lebih membuatkan anda terperangkap dalam masa lampau tersebut. Kemaafan akan mengalihkan fokus anda kepada masa sekarang dan masa hadapan.

Juga, ambil masa untuk melihat keadaan dunia sekeliling anda. Jangan takut untuk mencuba perkara-perkara baru. Pengalaman baru juga akan mengalihkan fokus masa lampau anda kepada waktu sekarang.

2.       Masa Hadapan

Ada juga yang terperangkap dengan masa hadapan hingga melupakan masa-masa yang sedang anda lalui sekarang. Anda terlalu memikirkan kerja-kerja yang perlu anda lakukan untuk mencapai cita-cita anda sepuluh tahun lagi sehingga anda lupa anda perlu juga meluangkan masa dengan anak-anak anda agar mereka tidak menyisihkan anda di kemudian hari.

Tips untuk keluar daripada perangkap ini ; beritahu diri anda, segala yang masih dalam perancangan adalah tertakluk kepada sebarang perubahan yang kadangkala bukan dalam kawalan anda. Masa hadapan sebenarnya belum menjanjikan apa-apa kerana ia belum berlaku lagi.

Mereka yang terlalu memikirkan masa hadapan juga selalu terperangkap dengan idea “saya tak boleh lakukan perkara X kerana saya belum lagi mendapat Y”. Contoh yang paling jelas ; “saya tak boleh memulakan perniagaan yang saya mahu kerana saya belum ada modal yang cukup”. Jika anda kaji semula, billionaire empunya Facebook, Mark Zuckerberg juga tidak mempunyai modal yang cukup semasa dia memulakan Facebook. Lihat di tahap mana dia berada sekarang.

3.       Masa Sekarang

Hanya masa sekarang yang benar-benar sedang anda lalui, tetapi jarang sekali ada yang melihat masa sekarang dalam persepsi ini, kerana kita selalu terperangkap sama ada dengan masa lampau atau masa hadapan. Hanya pada waktu sekarang anda benar-benar boleh melakukan sesuatu, bukan masa lampau dan bukan masa akan datang.

Jika ada sesuatu yang anda mahu lakukan, lakukan sekarang walaupun dalam skala kecil.
Lafazkan rasa cinta atau mulakan perniagaan yang anda impikan. Jika anda tidak melakukannya sekarang, tidak ada jaminan ia akan dilakukan pada masa akan datang. Adakah kita masih bernyawa untuk melakukannya nanti?

Pandangan saya, rancang dengan lebih teliti masa anda supaya anda tidak kehilangan pengalaman indah yang boleh anda lalui pada waktu sekarang. Pada masa yang sama jangan lupa untuk membina cita-cita di masa hadapan. Cita-cita yang tercapai akan membuatkan hidup anda lebih bermakna. Jangan lihat masa lampau anda dengan rasa marah dan dendam, kerana itu akan hanya membuatkan diri anda terperangkap dalam masa lampau dan tidak mampu bergerak ke hadapan. Lepaskan perasaan itu dan mulakan pengalaman baru pada waktu ini.

Masa bergerak bersama perangkap-perangkap yang tidak pernah anda sedari. Hanya anda sendiri  yang boleh mengeluarkan  diri anda daripada perangkap-perangkap masa ini!

Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.