Jemput Baca..

Tuesday, May 29, 2012

Motivasi Minggu 6 : Keajaiban Sebuah Kemaafan

Seseorang telah melakukan sesuatu yang menyakitkan hati anda susah untuk dimaafkan. Kesalahan yang paling sukar untuk dimaafkan  adalah sebarang bentuk pengkhianatan; khianat antara kawan, khianat cinta dan khianat perniagaan. Jika pengkhianatan berlaku, perasaan sakit  amat berbekas di hati kadangkala akan menimbulkan perasaan dendam dan benci yang amat membara dalam hati seseorang.


Ramai yang memilih untuk tidak mahu  memaafkan pembuat khianat walaupun perasaan itu amat berat untuk dibawa bersama sepanjang hidup. Setiap kali nama pembuat khianat disebut atau kelibat pembuat khianat nampak di di hujung mata orang yang dikhianati, pengalaman perit itu akan timbul kembali. Hati yang dikhianati itu menjadi lebih sakit.

Apakah ubat yang terbaik untuk menghilangkan sakit, tidak puas hati dan dendam ini? Jawapannya adalah kemaafan.

Perkara pertama yang akan muncul di minda anda sekarang mungkin “Mengapa harus saya memaafkan dia, dia telah melakukan sesuatu yang sangat teruk dan tidak boleh dimaafkan.”

Apa Untungnya Anda Memberi Kemaafan?

Pertama sekali anda harus memandang kemaafan dari satu sudut yang agak berbeza. Kemaafan, jika diberikan tidak akan menguntungkan si pengkhianat kerana tidak ada apa-apa manfaat yang akan dirasai oleh pengkhianat jika anda memaafkan mereka. Pengkhianat tegar akan sentiasa menjadi pengkhianat, tidak kira jika anda memaafkan mereka atau tidak.
Kemaafan sebenarnya memberikan lebih keuntungan kepada diri anda sendiri. Ingat semula seseorang yang pernah anda maafkan dalam hidup anda. Perkara yang dilakukan oleh orang yang telah anda maafkan tidak lagi menjadi beban emosi anda lagi. Anda tidak lagi teringat-ingat perkara buruk yang pernah dilakukan oleh orang itu dan hidup anda lebih gembira selepas kemaafan itu diberikan. Hati yang gembira akan membuatkan rezeki anda bertambah sepanjang masa. Hati yang gembira juga akan membuatkan badan anda menjadi lebih sihat. Keuntungan sebuah kemaafan sebenarnya lebih berpihak kepada si pemaaf.

Bagaimana melatih diri anda memberi kemaafan?

  •  Yakin bahawa setiap kejahatan ada pembalasannya

Hampir kesemua manusia tidak mengira agama, bangsa dan negara percaya bahawa kebaikan akan dibalas kebaikan dan kejahatan akan dibalas kejahatan.

  • Fokus kepada perkara positif

Setiap apa yang berlaku mempunyai kesan baik dan kesan buruk. Jika teman lelaki anda jatuh cinta dengan kawan baik anda dan mereka akhirnya berkahwin, jangan lihat perkara ini sebagai sesuatu yang negatif. Cuba lihat daripada sudut yang lebih positif. Anda mungkin berpeluang untuk mencari teman lelaki yang lebih baik dan lebih sesuai dengan anda. Mungkin anda kini boleh lebih fokus kepada kerjaya yang anda impikan. 

  • Sibukkan diri anda dengan aktiviti baru

Halang minda anda daripada berfikir mengenai peristiwa pengkhianatan itu dengan aktiviti-aktiviti yang anda gemari. Perasaan telah dikhianati adalah satu perasaan yang amat berat untuk dilupuskan, perlu ada rancangan yang baik untuk menghilangkan perasaan ini. Ia tidak akan hilang begitu sahaja. 

  • Beri masa kepada diri anda

Anda perlu beri masa kepada diri anda untuk member kemaafan. Seperti luka di tubuh, perasaan negative juga memerlukan masa untuk sembuh. Jika anda tidak boleh memaafkan pada hari ini, cuba maafkan pada hari esok. 

  • Maafkan dan lupakan

Setelah anda rasa anda boleh memaafkan, lupakan kejadian itu. Jika kawan-kawan anda masih bercerita mengenai kejadian itu, minta mereka untuk berhenti bercerita lagi. Apabila anda sudah mula melupakan peristiwa tersebut dan sudah memberi kemaafan, hati anda akan mula terasa tenang.

Pada waktu ini anda akan mula meihat kejadian yang pernah berlaku itu dalam sudut yang lebih berbeza, kadangkala anda akan ketawa bila mengenangkan peristiwa tersebut. Jika anda sudah mampu ketawa semasa mengingat peristiwa itu, anda telah menemui keajaiban sebuah kemaafan yang sebenar.

Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.

Saturday, May 12, 2012

Helium3 - Kisah Masri dan Sarah




2 tahun kemudian

“Ceritakan semuanya Masri. Saya tak boleh tolong awak kalau awak tidak bekerjasama,” Sarah memujuk Masri sekali lagi. Kali ini dengan nada suara yang lebih perlahan.

Masri memandang ke arah Sarah dengan pandangan yang penuh kebencian.

“Awak mahukan peguam lain?” Sarah bertanya tanpa berselindung. Dia tahu sejak awal lagi mungkin Masri tidak akan bekerjasama dengannya kerana sejarah silam mereka berdua yang tidak begitu baik.

“Mengapa awak ambil kes saya? Awak tahu saya tidak akan bekerjasama dengan awak,” Masri tiba-tiba bersuara.

“Kerana ini adalah kes antarabangsa dan saya yang terbaik dalam bidang ini,” Sarah menjawab.

“Tak mungkin. Saya mengenali awak semenjak sepuluh tahun lepas. Ada sesuatu yang awak mahukan. Awak tak akan ambil kes saya kalau kes ini tidak penting bagi awak,” Masri menjawab dengan nada tidak puas hati.

“Lupakan sahaja apa yang berlaku 10 tahun lepas Masri. Saya tahu awak masih marahkan saya. Tetapi sekarang awak berada dalam penjara dan saya adalah peguam awak. Tugas saya adalah untuk menyelesaikan kes ini. Lagi cepat kita selesaikan kes ini, lebih baik. Awak tak perlu jumpa saya lagi,” Sarah cuba memujuk sekali lagi.

Masri tetap membisu dan berpaling. Bahasa badannya jelas menunjukkan dia tidak mahu berinteraksi lagi dengan Sarah.

“Esok saya akan minta pembantu saya untuk bertemu dengan awak. Ada beberapa dokumen yang perlu anda tandatangan. Jumpa lagi nanti Masri,” Sarah mengucapkan selamat tinggal dan berlalu keluar dari tempat perbincangan.

****

 “Aku kenal engkau!” seorang lelaki yang berada bersamanya di dalam lokap polis semenjak semalam menegurnya. Lelaki itu berpakaian comot dan berbau busuk. Badannya kurus cengkung dan suaranya kasar. Lelaki itu berjalan menghampirinya dan mula mendekatkan mulutnya ke telinga Masri. Terdengar hembusan nafasnya yang berbau.

“Engkau pernah bekerja dengan Mr M,” lelaki itu berbisik. Masri terkejut dengan kenyataan lelaki itu.

“Awak salah orang. Saya tak kenal Mr M,” Masri menjawab. Dia tidak mahu dikaitkan lagi dengan Mr M.

“Aku pun tak kenal Mr M,” lelaki itu membalas sambil ketawa.

“Tetapi aku ada pesanan dari Mr M untuk kamu. Pesanan untuk membawa Encik Masri keluar dari lokap ini. Tetapi kalau engkau bukan Encik Masri yang mengenali Mr M, maka tak perlulah aku sampaikan pesanan ini,” lelaki itu menambah.

Masri terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Dia mula berasa serba salah. Keadaan senyap seketika.
“Mungkin aku pernah mengenali Mr M, tapi mungkin aku lupa,” Masri membalas.

“Mungkin Mr M pernah berpesan kepada aku untuk bawa kamu keluar tepat pada pukul 2.00 pagi. Tapi mungkin juga saya terlupa,” lelaki itu menambah. Masri melihat ke arah jam dinding yang tergantung di luar lokap itu. Waktu menunjukkan pukul 1.50 pagi.

Masri tersenyum. Nampaknya Mr M menepati janjinya. 

Friday, May 11, 2012

Motivasi Minggu 5 : Cari Kunci Motivasi Diri Anda



Terdapat banyak penulis buku motivasi yang menulis daripada sudut yang berbeza-beza. Mereka memberi penerangan melalui pengalaman dan pembacaan  untuk membantu memberi motivasi kepada pembaca-pembaca mereka. Mereka menceritakan kunci kejayaan mereka dan menjadi inspirasi kepada orang di sekeliling mereka.






Berikut adalah antara kunci motivasi beberapa orang yang saya kenali

  •  Peristiwa silam yang menyedihkan

Peristiwa silam yang menyedihkan seperti kematian ibu bapa pada usia muda kadangkala menyebabkan si anak mahu berusaha bersungguh-sungguh kerana dia tahu dia tidak mempunyai tempat untuk bergantung. Ada juga yang pernah berada dalam keadaan miskin tegar dan tidak mahu lagi kembali ke situasi itu, meyebabkan dia berusaha lebih keras agar tidak jatuh. 

  • Melihat kejayaan orang lain

Kadangkala melihat kejayaan orang lain memberikan inspirasi kepada seseorang untuk megikut jejak langkah orang itu untuk menempa kejayaan yang sama.

  •  Amanat orang tersayang

Amanat orang tersayang seperti ibu, bapa, suami, isteri atau kekasih mampu menyuntik semangat yang membara ke dalam diri seseorang. Kerapkali kita melihat dalam filem seorang gadis memberi sapu tangan sebagai tanda ingatan kepada teman lelakinya ketika berjuang mendapatkan sesuatu. 

  • Mahu mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidup

Ada juga yang mendapat motivasi untuk melakukan sesuatu kerana mereka mahu mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidup. Orang begini selalunya suka mencari kemajuan dalam hidup, sentiasa mencari peluang dan cabaran baru. Mereka juga selalunya mempunyai taraf hidup yang lebih baik daripada orang lain.

Kunci motivasi diri saya pula adalah untuk menjadi diri saya yang lebih baik setiap hari. Saya suka bertanding dengan diri saya sendiri. Saya suka mencabar diri saya sendiri untuk menjadi lebih baik dalam kerja-kerja yang saya lakukan. Untuk lebih memberikan motivasi kepada diri saya sendiri, saya suka membaca buku-buku yang ditulis oleh orang-orang yang telah mencapai kejayaan dan menghadiri beberapa persidangan tertentu. Setiap kali saya habis membaca buku atau menghadiri persidangan, tahap motivasi saya menjadi lebih tinggi dan saya boleh menangani cabaran yang lebih besar dalam hidup saya.

Bagaimana pula dengan anda? Apakah kunci motivasi anda?

Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.

Sunday, May 6, 2012

Helium3 - Kisah Masri 1


Generasi Pertama, Kedua dan Ketiga Tenaga Nuklear

Masri melihat ke arah langit yang indah malam itu. Purnama bercahaya penuh diiringi berjuta-juta bintang yang berkelip-kelip. Kadangkala Masri dapat melihat warna cahaya yang berbeza-beza pada setiap bintang. Bintang yang paling hangat berwarna seakan-akan biru dan bintang yang paling sejuk berwarna kemerah-merahan. Itulah ilmu pertama yang dibacanya di perpustakaan sekolahnya dahulu.



“Minum?” Mr M mengundangnya untuk minum sambil berjalan melewati meja kerjanya malam itu. Masri hanya membalas dengan senyuman. Deringan telefon yang tiba-tiba menjerit membuatkan Mr M bergegas masuk ke bilik kerjanya.

Bayangkan setiap bintang yang ada di langit itu mempunyai sistem cakerawalanya yang tersendiri. Setiap bintang sebenarnya adalah seperti matahari di galaksi Bima Sakti, dikelilingi oleh beberapa buah planet dan salah satunya adalah planet bumi. Jika ada beribu-ribu bintang di langit mungkin ada beberapa buah planet yang menyamai planet bumi di dalam galaksi-galaksi tersebut. Mungkin kita akan menemui kehidupan yang sama seperti kehidupan di planet bumi.

Setiap kali Masri melihat ke arah langit, dia merasakan betapa besarnya alam semesta ini dan segala kemungkinan yang ada. Perasaan itulah yang telah membawanya untuk mendalami bidang astronomi. Tetapi malangnya astronomi tidak menjanjikan apa-apa pekerjaan yang bagus untuknya. Setelah keluar dengan ijazah astronomi dari sebuah universiti, Masri tidak berjaya menjadi angkasawan seperti yang dia idamkan. Hanya ada beberapa buah negara sahaja yang berjaya menerokai angkasa. Kuala Lumpur tidak menjanjikan apa-apa peluang yang baik untuknya bekerja. Kini dia berada di sebuah makmal di Russia bersama beberapa butir batu kerikil yang dikatakan diambil dari bulan. Batu-batu ini, menurut Mr M, lebih dikenali sebagai “Moonrocks” telah dikumpul semula oleh beberapa orang pembantunya dari seluruh dunia.

Mr M kembali semula mendekati Masri setelah habis berbicara melalui telefon.

 “Saya banyak membaca mengenai batu dari bulan ini. Banyak cerita mengatakan batu-batu yang dibawa oleh angkasawan dari bulan dan dihadiahkan ke beberapa buah negara telah hilang,” Masri mengambil sebutir batu kerikil sambil memulakan bicara.

“Ya, hampir 300 biji batu dibawa balik ke bumi dan 200 butir telah hilang di seluruh dunia. Saya cuma berjaya mengumpul  tidak sampai 100 butir, cukup untuk ujikaji selama dua tahun.”

Masri menarik nafas panjang. Dua tahun adalah satu jangkamasa yang agak lama.

“Saya adalah penuntut bidang astronomi, bukan geologi. Saya tak tahu apa-apa mengenai batu-batu seperti ini,” Masri menjawab.

“Tapi batu ini datangnya dari bulan. Bukan dari bumi. Kerana itulah saya perlukan awak. Inilah yang akan awak kaji selama dua tahun akan datang jika awak menerima tawaran saya. Saya akan sediakan tempat tinggal dan makan minum untuk awak. Saya juga akan sediakan permit kerja untuk awak di sini.  Jadi tak perlulah lagi awak hidup dalam pelarian, asyik diburu pihak berkuasa kerana awak tak ada permit.”

Masri terdiam seketika. Ada benarnya kata-kata Mr M. Kontrak dan permit kerjanya di sebuah makmal di negara itu sudah tamat enam bulan lalu. Agak sukar untuk hidup di negara orang tanpa sebarang kerja tetap. Walaupun kajian yang dijalankan oleh Mr M nampak agak pelik, dia terpaksa menerima sahaja tawaran tersebut. Hidupnya dalam keadaan terdesak sekarang.

“Saya tak ada pilihan lain. Saya terpaksa terima tawaran Mr M,” Masri akhirnya bersetuju.

“Bagus Masri, saya akan sediakan semuanya minggu ini ; tempat tinggal, dokumen permit dan makmal untuk awak bekerja. Datang semula hari Isnin nanti tepat pukul 9.00 pagi,” dengan senyuman lebar Mr M menepuk bahu Masri. Masri hanya tersenyum hambar.

****

Hujung minggu itu, Masri pergi ke sebuah perpustakaan awam untuk mencari maklumat mengenai “Moonrocks” atau batu bulan.

Seperti yang diceritakan oleh Mr M, semenjak angkasawan Russia dan Amerika berjaya menjejaki permukaan bulan dalam tahun 70an, banyak batu-batu kecil dari bulan telah  dibawa kembali ke bumi untuk tujuan kajian. Banyak juga batu-batu itu telah dihadiahkan kepada ketua-ketua negara di seluruh dunia sebagai tanda persahabatan.

Hanya satu keratan akhbar yang menarik perhatiannya pada hari itu. Keratan akhbar itu menceritakan mengenai helium-3, bahan yang banyak ditemui di permukaan bulan, yang dikatakan mampu menjana tenaga dengan lebih  cekap, bersih dan selamat.  Penggunaan helium-3 sebagai sumber tenaga adalah lebih baik daripada penggunaan tenaga nuklear yang banyak membawa keburukan.

Masri berfikir sejenak. Mungkin itu yang cuba dikaji oleh Mr M.  Jika benar, kajian ini mungkin akan menjadi antara kajian terpenting di abad ini.

- Mr M adalah salah seorang watak dalam novel K-4: Kapsul Ungu -

Saturday, May 5, 2012

Motivasi Minggu 4 : Merealisasikan Cita-Cita Anda

Setiap orang mempunyai cita-cita masing-masing. Jika anda seorang pekerja, cita-cita anda mungkin mahu mendapat gaji yang lebih tinggi pada tahun hadapan. Jika anda seorang penuntut, mungkin anda mahu mendapat markah yang tertinggi dalam ujian akan datang. 


Jika anda pula seorang suri rumahtangga, mungkin anda mahu membina satu perniagaan sambilan di rumah seperti perniagaan online. Setiap orang mempunyai hak untuk membina cita-cita dan berusaha untuk mencapainya.

Seperti melakukan kerja-kerja lain, mencapai cita-cita juga mempunyai prosesnya yang tersendiri  Berikut adalah panduan daripada beberapa buah buku yang saya pernah baca.

  • Ketahui apa yang benar-benar anda mahukan

Banyak kali anda melihat seseorang yang telah berjaya dan anda mahu menjadi 100% seperti orang itu. Anda buat semua yang dia lakukan, kadangkala berjaya dan kadangkala tidak.
Setiap manusia melalui pengalaman hidup yang berbeza-beza yang mencorakkan motivasi dalaman mereka sendiri. Tidak ada dua manusia yang sama di muka bumi ini daripada segi motivasi dalaman, walaupun mereka datang daripada perut ibu yang sama.
Pertama sekali anda harus bertanya kepada diri anda sendiri apa yang anda benar-benar mahukan dalam mengejar cita-cita anda ; Wang lebih? Kepuasan bekerja? Tahap tertinggi dalam kerjaya anda? Mengisi masa lapang? Kenali motivasi dalaman anda sendiri dan jangan meniru motivasi orang lain secara membuta-tuli. Kesedaran ini akan membuatkan anda lebih fokus kepada cita-cita anda nanti.

  • Yakinkan diri bahawa anda layak mencapai cita-cita ini

Jika anda mempunyai cita-cita tetapi anda rasa anda tidak layak atau tidak mungkin akan berjaya mencapai cita-cita tersebut, itulah yang akan terjadi akhirnya. Anda tidak akan berjaya mencapai cita-cita tersebut.
Kenali apa yang menyebabkan anda mempunyai perasaan sedemikian. Jika ada kawan-kawan atau orang terdekat yang sentiasa membuatkan anda mempunyai perasaan sebegitu, kurangkan sedikit masa bersama mereka. Jika anda rasa anda tidak yakin kerana kekurangan masa, susun semula hidup anda agar anda mempunyai masa yang cukup untuk melakukan apa yang perlu untuk mencapai cita-cita anda.

  • Hilangkan perasaan takut

Dalam mengejar cita-cita rasa takut akan sentiasa menghantui anda. Takut kerana tidak cukup ilmu untuk bertanding, takut kerana orang di sekeliling mungkin tidak bersetuju dengan tindakan anda, takut membat kesilapan. Semua perasaan ini akan sentiasa bermain-main di minda anda. Katakan tidak kepada perasaan takut ini. Lakukan apa yang perlu untuk meyakinkan diri anda bahawa anda boleh mencapai cita-cita anda ini. Jika anda rasa anda tidak cukup ilmu, pergi ke perpustakaan dan baca buku-buku yang perlu untuk menambah pengetahuan anda. Jika anda taku membuat kesilapan yang akan membawa kerugian, luangkan masa untuk membuat lebih kajian mengenai cita-cita anda itu.

  • Sertai komuniti yang mempunyai cita-cita yang sama

Mempunyai kenalan yang mempunyai minat dan cita-cita yang sama akan memudahkan anda untuk mencapai cita-cita anda itu. Maklumat dan pengalaman boleh dikongsi bersama dan anda akan menjadi lebih yakin untuk mencapai cita-cita anda.

  • Rancang tindakan anda dengan teliti

Perancangan teliti amat penting dalam semua kerja yang kita lakukan. Perancangan yang teliti dan jelas akan lebih meyakinkan diri anda untuk mencapai cita-cita anda tersebut. Anda juga akan dapat mengetahui kekangan-kekangan yang mungkin timbul lebih awal supaya anda lebih bersedia menghadapinya nanti.
Perancangan yang teliti dan jelas juga akan membuatkan orang lain lebih yakin dengan cita-cita anda. Ini juga akam memudahkan orang lain untuk membantu anda untuk mencapai apa yang anda impikan.

  • Disiplin

Paling penting adalah disiplin. Walau sebaik manapun rancangan anda, jika anda tidak mempunyai disiplin untuk melakukan apa yang perlu untuk mencapai cita-cita anda, ia akan terkubur sahaja nanti.
Kenali minyak pelincir apa yang diperlukan untuk mengekalkan momentum kerja anda. Mungkin anda perlu membaca tulisan-tulisan motivasi. Mungkin juga anda perlu beremu dengan orang yang anda kasihi setiap minggu untuk mengekalkan prestasi kerja anda setiap masa.

Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.