Jemput Baca..

Saturday, May 12, 2012

Helium3 - Kisah Masri dan Sarah




2 tahun kemudian

“Ceritakan semuanya Masri. Saya tak boleh tolong awak kalau awak tidak bekerjasama,” Sarah memujuk Masri sekali lagi. Kali ini dengan nada suara yang lebih perlahan.

Masri memandang ke arah Sarah dengan pandangan yang penuh kebencian.

“Awak mahukan peguam lain?” Sarah bertanya tanpa berselindung. Dia tahu sejak awal lagi mungkin Masri tidak akan bekerjasama dengannya kerana sejarah silam mereka berdua yang tidak begitu baik.

“Mengapa awak ambil kes saya? Awak tahu saya tidak akan bekerjasama dengan awak,” Masri tiba-tiba bersuara.

“Kerana ini adalah kes antarabangsa dan saya yang terbaik dalam bidang ini,” Sarah menjawab.

“Tak mungkin. Saya mengenali awak semenjak sepuluh tahun lepas. Ada sesuatu yang awak mahukan. Awak tak akan ambil kes saya kalau kes ini tidak penting bagi awak,” Masri menjawab dengan nada tidak puas hati.

“Lupakan sahaja apa yang berlaku 10 tahun lepas Masri. Saya tahu awak masih marahkan saya. Tetapi sekarang awak berada dalam penjara dan saya adalah peguam awak. Tugas saya adalah untuk menyelesaikan kes ini. Lagi cepat kita selesaikan kes ini, lebih baik. Awak tak perlu jumpa saya lagi,” Sarah cuba memujuk sekali lagi.

Masri tetap membisu dan berpaling. Bahasa badannya jelas menunjukkan dia tidak mahu berinteraksi lagi dengan Sarah.

“Esok saya akan minta pembantu saya untuk bertemu dengan awak. Ada beberapa dokumen yang perlu anda tandatangan. Jumpa lagi nanti Masri,” Sarah mengucapkan selamat tinggal dan berlalu keluar dari tempat perbincangan.

****

 “Aku kenal engkau!” seorang lelaki yang berada bersamanya di dalam lokap polis semenjak semalam menegurnya. Lelaki itu berpakaian comot dan berbau busuk. Badannya kurus cengkung dan suaranya kasar. Lelaki itu berjalan menghampirinya dan mula mendekatkan mulutnya ke telinga Masri. Terdengar hembusan nafasnya yang berbau.

“Engkau pernah bekerja dengan Mr M,” lelaki itu berbisik. Masri terkejut dengan kenyataan lelaki itu.

“Awak salah orang. Saya tak kenal Mr M,” Masri menjawab. Dia tidak mahu dikaitkan lagi dengan Mr M.

“Aku pun tak kenal Mr M,” lelaki itu membalas sambil ketawa.

“Tetapi aku ada pesanan dari Mr M untuk kamu. Pesanan untuk membawa Encik Masri keluar dari lokap ini. Tetapi kalau engkau bukan Encik Masri yang mengenali Mr M, maka tak perlulah aku sampaikan pesanan ini,” lelaki itu menambah.

Masri terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Dia mula berasa serba salah. Keadaan senyap seketika.
“Mungkin aku pernah mengenali Mr M, tapi mungkin aku lupa,” Masri membalas.

“Mungkin Mr M pernah berpesan kepada aku untuk bawa kamu keluar tepat pada pukul 2.00 pagi. Tapi mungkin juga saya terlupa,” lelaki itu menambah. Masri melihat ke arah jam dinding yang tergantung di luar lokap itu. Waktu menunjukkan pukul 1.50 pagi.

Masri tersenyum. Nampaknya Mr M menepati janjinya. 

No comments:

Post a Comment