Jemput Baca..

Sunday, May 6, 2012

Helium3 - Kisah Masri 1


Generasi Pertama, Kedua dan Ketiga Tenaga Nuklear

Masri melihat ke arah langit yang indah malam itu. Purnama bercahaya penuh diiringi berjuta-juta bintang yang berkelip-kelip. Kadangkala Masri dapat melihat warna cahaya yang berbeza-beza pada setiap bintang. Bintang yang paling hangat berwarna seakan-akan biru dan bintang yang paling sejuk berwarna kemerah-merahan. Itulah ilmu pertama yang dibacanya di perpustakaan sekolahnya dahulu.



“Minum?” Mr M mengundangnya untuk minum sambil berjalan melewati meja kerjanya malam itu. Masri hanya membalas dengan senyuman. Deringan telefon yang tiba-tiba menjerit membuatkan Mr M bergegas masuk ke bilik kerjanya.

Bayangkan setiap bintang yang ada di langit itu mempunyai sistem cakerawalanya yang tersendiri. Setiap bintang sebenarnya adalah seperti matahari di galaksi Bima Sakti, dikelilingi oleh beberapa buah planet dan salah satunya adalah planet bumi. Jika ada beribu-ribu bintang di langit mungkin ada beberapa buah planet yang menyamai planet bumi di dalam galaksi-galaksi tersebut. Mungkin kita akan menemui kehidupan yang sama seperti kehidupan di planet bumi.

Setiap kali Masri melihat ke arah langit, dia merasakan betapa besarnya alam semesta ini dan segala kemungkinan yang ada. Perasaan itulah yang telah membawanya untuk mendalami bidang astronomi. Tetapi malangnya astronomi tidak menjanjikan apa-apa pekerjaan yang bagus untuknya. Setelah keluar dengan ijazah astronomi dari sebuah universiti, Masri tidak berjaya menjadi angkasawan seperti yang dia idamkan. Hanya ada beberapa buah negara sahaja yang berjaya menerokai angkasa. Kuala Lumpur tidak menjanjikan apa-apa peluang yang baik untuknya bekerja. Kini dia berada di sebuah makmal di Russia bersama beberapa butir batu kerikil yang dikatakan diambil dari bulan. Batu-batu ini, menurut Mr M, lebih dikenali sebagai “Moonrocks” telah dikumpul semula oleh beberapa orang pembantunya dari seluruh dunia.

Mr M kembali semula mendekati Masri setelah habis berbicara melalui telefon.

 “Saya banyak membaca mengenai batu dari bulan ini. Banyak cerita mengatakan batu-batu yang dibawa oleh angkasawan dari bulan dan dihadiahkan ke beberapa buah negara telah hilang,” Masri mengambil sebutir batu kerikil sambil memulakan bicara.

“Ya, hampir 300 biji batu dibawa balik ke bumi dan 200 butir telah hilang di seluruh dunia. Saya cuma berjaya mengumpul  tidak sampai 100 butir, cukup untuk ujikaji selama dua tahun.”

Masri menarik nafas panjang. Dua tahun adalah satu jangkamasa yang agak lama.

“Saya adalah penuntut bidang astronomi, bukan geologi. Saya tak tahu apa-apa mengenai batu-batu seperti ini,” Masri menjawab.

“Tapi batu ini datangnya dari bulan. Bukan dari bumi. Kerana itulah saya perlukan awak. Inilah yang akan awak kaji selama dua tahun akan datang jika awak menerima tawaran saya. Saya akan sediakan tempat tinggal dan makan minum untuk awak. Saya juga akan sediakan permit kerja untuk awak di sini.  Jadi tak perlulah lagi awak hidup dalam pelarian, asyik diburu pihak berkuasa kerana awak tak ada permit.”

Masri terdiam seketika. Ada benarnya kata-kata Mr M. Kontrak dan permit kerjanya di sebuah makmal di negara itu sudah tamat enam bulan lalu. Agak sukar untuk hidup di negara orang tanpa sebarang kerja tetap. Walaupun kajian yang dijalankan oleh Mr M nampak agak pelik, dia terpaksa menerima sahaja tawaran tersebut. Hidupnya dalam keadaan terdesak sekarang.

“Saya tak ada pilihan lain. Saya terpaksa terima tawaran Mr M,” Masri akhirnya bersetuju.

“Bagus Masri, saya akan sediakan semuanya minggu ini ; tempat tinggal, dokumen permit dan makmal untuk awak bekerja. Datang semula hari Isnin nanti tepat pukul 9.00 pagi,” dengan senyuman lebar Mr M menepuk bahu Masri. Masri hanya tersenyum hambar.

****

Hujung minggu itu, Masri pergi ke sebuah perpustakaan awam untuk mencari maklumat mengenai “Moonrocks” atau batu bulan.

Seperti yang diceritakan oleh Mr M, semenjak angkasawan Russia dan Amerika berjaya menjejaki permukaan bulan dalam tahun 70an, banyak batu-batu kecil dari bulan telah  dibawa kembali ke bumi untuk tujuan kajian. Banyak juga batu-batu itu telah dihadiahkan kepada ketua-ketua negara di seluruh dunia sebagai tanda persahabatan.

Hanya satu keratan akhbar yang menarik perhatiannya pada hari itu. Keratan akhbar itu menceritakan mengenai helium-3, bahan yang banyak ditemui di permukaan bulan, yang dikatakan mampu menjana tenaga dengan lebih  cekap, bersih dan selamat.  Penggunaan helium-3 sebagai sumber tenaga adalah lebih baik daripada penggunaan tenaga nuklear yang banyak membawa keburukan.

Masri berfikir sejenak. Mungkin itu yang cuba dikaji oleh Mr M.  Jika benar, kajian ini mungkin akan menjadi antara kajian terpenting di abad ini.

- Mr M adalah salah seorang watak dalam novel K-4: Kapsul Ungu -

No comments:

Post a Comment