Jemput Baca..

Monday, August 22, 2011

Arash - Bab 5



Julia bangun semula dan pergi ke arah dinding kaca untuk melihat semula wanita yang terlantar di katil tersebut. Dia membuka dompet yang dibawanya dan mula mencari sekeping gambar yang disimpannya sejak sepuluh tahun lalu, gambar bapanya, Dr Gufran dan ibunya, Ludana. Wanita yang terlantar itu memang benar-benar menyerupai ibunya. Pintu bilik tiba-tiba dibuka dari luar.

“Itulah ibu awak,” Raschit memulakan bicaranya selepas Julia duduk meneguk minuman yang diberikan.
 “Lihat semua ini, Julia. Kekuatan psikiknya mampu menjana tenaga elektrik untuk kegunaan seluruh fasiliti Arash,” ujar Raschit sambil memetik sebuah alat kawalan jauh. Seluruh dinding putih bilik itu dipancar dengan beberapa imej kawasan sekeliling Arash seluas lima hektar.
“Cuma malangnya, dia koma dan dia sudah sangat tua. Dia hanya mampu menjana tenaga untuk kegunaan Arash sahaja. Bayangkan jika dia masih muda dan banyak tenaga, seperti awak,” Raschit menduga.
“Seperti saya?” Julia semakin gementar dengan kata-kata Raschit.
Rudy yang sedari tadi hanya berdiri berdekatan dengan pintu mula memegang pistol yang diselitkan di rusuk kirinya. Hatinya mula dipenuhi rasa curiga.
“Awak juga mempunyai keupayaan itu Julia, awak mempunyai kod genetik yang sama dengan ibu awak, Ludana. Cuma awak tidak pernah tahu menggunakannya,” sambung Raschit. Hati Julia juga mula dipenuhi rasa curiga. Dia memandang ke arah Rudy seketika.
“Arash adalah sebuah kompleks penyelidikan yang mengkaji tentang sumber tenaga seperti tenaga atom, tenaga solar dan yang paling berjaya adalah tenaga yang boleh dijana melalui minda manusia,” Raschit memberi penerangan.
            “Apa kaitan semua ini dengan kehilangan bapa saya?” tanya Julia.
            “Saya rasa ini semua disebabkan oleh Leo,” jawab Raschit.
            “Leo? Siapa sebenarnya Leo?”
         “Leo adalah bekas pembantu bapa awak sepuluh tahun lepas sebelum dia masuk penjara. Sekarang dia baru sahaja keluar. Saya rasa kehilangan bapa awak ada kaitan dengan Leo,” ujar Raschit.
“Minta maaf Raschit, saya masih tidak faham,” kata Julia sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Raschit mengambil sebuah kerusi untuk duduk lantas memulakan ceritanya. Menurut Raschit, Dr. Gufran adalah antara pengasas fasiliti penyelidikan Arash. Kajian utama yang dijalankan olehnya adalah mengenai isterinya sendiri Ludana yang kemalangan semasa bekerja dan terus koma selepas kemalangan itu. Ludana pula adalah seorang wanita yang mempunyai keupayaan psikik yang tinggi dan boleh melihat imbasan-imbasan lampau hanya dengan memegang objek-objek tertentu.
Semasa kajian Dr. Gufran mendapati Ludana setelah koma, mempunyai keupayaan psikik yang lebih tinggi dari biasa. Dengan bantuan sejenis alat yang diciptanya yang dipanggil MegaScan Dr. Gufran berjaya menterjemah gelombang otak Ludana ke atas skrin komputer. Lebih mengejutkan, Ludana boleh mengeluarkan imbasan-imbasan masa hadapan. Selain itu, jika beberapa biji mentol diletakkan pada tubuh Ludana, mentol itu akan menyala walaupun tidak ada aliran elektrik.
Semasa Arash baru sahaja dibuka, Leo telah membocorkan rahsia kajian Ludana kepada pihak luar dan dia telah ditangkap dan dipenjarakan selama sepuluh tahun dan baru sahaja beberapa hari melangkah keluar dari penjara.
“Oh! Ya, awak ada bawa rehal yang Dr. Gufran hantar pada awak?” Tanya Raschit sebaik sahaja habis bercerita.
“Ada, ini dia,” Julia mengeluarkan rehal itu dari dalam beg yang dibawanya. Raschit mengambil rehal itu dan cuba membuka kotak kayu yang melekat dengan rehal tersebut. Setelah dicuba beberapa kali, akhirnya rehal dan kotak kayu itu bercerai.
“Inilah MegaScan, mungkin inilah sebabnya kehilangan bapa awak Julia,” ujar Raschit sambil mengeluarkan sebuah alat seperti pemacu cakera padat dari dalam kotak kayu itu.
“Saya rasa awak akan lebih selamat berada di Arash, saya risau Leo mungkin sedang mencari awak jika dia tidak berjaya mendapatkan alat ini dari bapa awak. Kawalan keselamatan Arash sangat ketat. Saya pasti awak akan selamat di sana,” ujar Raschit sambil meletakkan MegaScan ke atas meja. Telefon bimbit Raschit tiba-tiba berbunyi.
“Dr. Gufran. Awak di mana?” Raschit bersuara sebaik sahaja dia mengangkat panggilan telefon. Julia tersentak mendengar nama bapanya.
“Baiklah, Julia juga ada di sini. Kita jumpa nanti,” Raschit memutuskan talian.
“Papa di mana?” pantas Julia bertanya.
“Dia dalam perjalanan ke sini. Kita akan dengar kisahnya nanti,” Raschit menjawab dengan tenang. Sejalur garis kelegaan terlihat di wajah Julia mengetahui bapanya selamat.




*Siri novel pertama K-4 sudah terbit. Dapatkan maklumat pembelian di sini
http://elzarahariri.blogspot.com/p/beli-novel-bersiri-k-4.html
                

2 comments:

  1. hehe..sy ske cite nie..sy nk smbungan lg

    ReplyDelete
  2. terima kasih... insya allah saya akan sambung pada minggu hadapan..

    ReplyDelete