Jemput Baca..

Friday, June 8, 2012

Motivasi Minggu 8 : Sejauh Manakah Tahap Disiplin Diri Anda?


Perkara pertama yang diajar semenjak hari pertama anda masuk ke sebarang bentuk kelas atau sekolah adalah disiplin dan akibat yang buruk yang jika anda melanggar disiplin. Kalau lambat sampai ke sekolah, anda akan didenda. Kalau anda melanggar sebarang peraturan sekolah, ibu bapa anda akan diberitahu jika kesalahan itu adalah serius. Semua yang pernah menghadiri sesi persekolahan faham tentang pentingnya disiplin. 


Jika anda menghadiri sekolah rendah, menengah dan univerisiti, sekurang-kurangnya anda sudah mempunyai pengalaman berdisiplin selama 15 tahun.

Apabila anda sudah tidak bersekolah lagi, adakah anda masih berdisiplin? Saya masih ingat lagi, sebaik sahaja saya habis graduasi inilah yang bermain di fikiran saya “Seronoknya, sudah habis belajar tak perlu lagi mengikut disiplin universiti! Saya boleh buat apa sahaja yang saya mahukan!”
Malangnya sangkaan saya meleset. Apabila saya masuk ke alam pekerjaan, lebih banyak peraturan dan protokol yang perlu saya ikuti. Apabila saya menjadi ketua, saya juga mula menggubal peraturan dan polisi syarikat.

Menurut pengalaman saya, lebih mudah untuk saya mencapai sesuatu matlamat jika saya lebih berdisiplin. Contohnya jika saya mahu menulis 12 buah buku dalam masa setahun, saya perlu siapkan 1 buku sebulan dan saya perlu menulis sekurang-kurangnya 5 mukasurat setiap hari terus menerus. Jika saya tidak dapat menulis hari ini, maka hari esok saya menulis sebanyak 10 mukasurat.

Cuma persoalannya, sanggupkah saya melakukan semua itu sepanjang tahun sehingga kesemua 12 judul buku itu siap?

Kesanggupan inilah yang membezakan tahap kejayaan seseorang. Semua orang boleh berbincang dan mengeluarkan idea serta rancangan yang bernas tetapi tidak ramai yang sanggup mengikut rancangan yang mereka telah bina sendiri mengikut masa yang ditetapkan secara konsisten.

Inilah maksud sebenar disiplin; bekerja mengikuti perancangan dalam masa yang ditetapkan secara konsisten.

Tidak mudah untuk dilakukan!

Bagaimana untuk membina tahap disiplin yang tinggi dalam diri anda?

  •  Lakukan Perancangan dengan teliti. Ambil kira kesemua risiko dan kos yang terbabit.Ambil kira juga masa “downtime” dalam perancangan anda. Jika kerja itu boleh disiapkan dalam seminggu jika anda bekerja tanpa henti, mungkin masa seminggu itu tidak begitu realistik. Ambil kira juga masa untuk berehat. Tanpa rehat yang cukup prestasi anda akan menurun dan mungkin kerja itu tidak akan disiapkan dengan kualiti yang baik.
  • Uji sedikit sebelum membuat sesuatu secara besar-besaran. Contohnya jika anda mahu menjual satu produk baru, uji dahulu penerimaan pasaran terhadap produk ini sebelum melantik lebih ramai jurujual dan pengedar. Mungkin ada perkara yang kita tidak nampak atau tidak jangka semasa proses perancangan. Kaedah ini akan mengurangkan kerugian jika produk itu dijual dalam pasaran yag salah.
  •  Jangan tunggu masa terakhir. Buat kerja tersebut sedikit demi sedikit dalam jangkamasa yang ditetapkan dan dalam keadaan relaks. Untuk jangkamasa panjang, anda boleh membina tabiat kerja yang konsisten. 
  • Jika anda bekerja dalam kumpulan, latih kesemua ahli kumpulan anda melakukan kerja secara berperingkat, konsisten dan dalam keadaan relaks. Lebih banyak kerja akan berjaya disiapkan jika semua ahli kumpulan anda mempunya tabiat kerja yang positif.
  • Cabar diri anda untuk mencapai matlamat yang lebih tinggi setelah kerja sebelum ini siap dengan sempurna. Anda juga harus memperbaiki cara dan mutu kerja dengan membuat penilaian agar tugasan seterusnya dapat disiapkan dengan lebih baik.

Setelah membaca tulisan ini anda semua boleh menilai sendiri apakah tahap disiplin diri anda.

Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.

No comments:

Post a Comment