Jemput Baca..

Tuesday, February 8, 2011

Arash - Bab 1

Julia tiba-tiba terjaga apabila telefon bimbitnya berbunyi. Malam nampaknya masih lagi gelap tetapi kedinginan sudah mula terasa ke bahagian lengannya yang tidak dilitupi selimut. Julia duduk dengan perlahan, menjeling dahulu ke arah jam meja digital di sebelah kanan. Telefon bimbitnya berbunyi lagi.

"Siapa pulak yang menelefon pukul empat pagi ni?" Julia mengambil telefon bimbitnya sambil mengomel seorang diri. Nombor yang tertera sangat panjang, bukan seperti nombor pemanggil di Malaysia. Julia terus menjawab.
"Hello"
"Hello, Julia. Masih tidur lagi?"
"Papa, pukul empat ni. Papa telefon dari mana ni?" Julia menjawab dengan nada yang agak terganggu.
"Oh ya, minta maaf sayang! Di sini pukul empat petang. Papa teringatkan Julia, Papa lupa pasal perbezaan masa."
"Papa kerja luar lagi? Bukankah Papa sudah tak perlu lagi pergi ke luar negara?" Julia bertanya acuh tak acuh
"Ada kerja sikit sayang. Julia suka warna merah atau warna hitam?"
"Err, warna merah. Papa beli apa untuk Julia?" Tiba-tiba nada suara Julia bertukar gembira
"Papa akan kurier hari ni, tunggu saja beberapa hari lagi, Julia akan tahu apa yang Papa belikan untuk Julia."
"Eh, bila Papa nak balik ni?" Julia bertanya, seingatnya sudah beberapa bulan dia tidak bertemu bapanya itu.
"Tak pasti lagi.. Papa kena pergi sekarang... Jangan bagitau sesiapa Papa di mana, walau kepada sesiapapun..nanti Papa akan telefon lagi." Sebaik sahaja habis ayat ini, talian telefon terus terputus. Julia meletakkan telefon bimbitnya semula ke atas meja dan menarik selimut semula.


Itulah yang selalu dilakukan oleh bapanya, Dr Gufran, jika dihantar untuk bekerja di luar negara. Dia pasti akan membelikan sesuatu dan menghantarnya ke rumah melalui kurier. Setidak-tidaknya itu akan membuatkan Julia berasa sedikit gembira walaupun dia selalunya hanya akan bertemu bapanya itu dua atau tiga kali setahun. Bapanya itu pula akan selalu menelefon menggunakan telefon awam dan selalu berpesan jangan memberitahu kepada sesiapa di mana dia berada. Jika ditanya lebih lanjut bapanya akan menjawab, "Ini tugas rahsia".

Sambil meneka-neka apakah hadiah bapanya kali ini, Julia tidur bersama mimpi-mimpi indah.

                                             *********************

Julia keluar dari rumah agak awal hari itu, menuju ke tempat kerja barunya, sebuah hospital swasta yang agak berhampiran dengan rumahnya. Sebaik sahaja sampai ke ruang legar utama hospital, Julia terlihat seorang lelaki yang amat dikenalinya, Rudy sedang duduk di kerusi menuggu sambil memegang secawan kopi. Rudy adalah salah seorang rakan sekerja bapanya. Setiap kali Julia bertemu dengan bapanya, Rudy sentiasa berada di sekitar kawasan pertemuan mereka, seolah-olah pengawal peribadi yang sentiasa memastikan keselamatan bapanya.Julia tersenyum gembira, jika Rudy berada di situ, bermakna bapanya juga pasti ada berhampiran.

"Rudy, Papa mana?" Tanya Julia sambil memerhatikan kawasan sekeliling. Rudy tersenyum hambar. Julia nampak sedikit kesan lebam dan luka di sebahagian muka Rudy. Terlihat satu parut yang agak panjang di lehernya.
"Julia, saya ada berita kurang baik untuk awak," Rudy bangun sambil memegang kedua-dua bahu Julia.Julia merenung ke dalam kedua-dua mata Rudy dengan rasa terkejut.
"Mana Papa, Rudy?" Julia bertanya dengan nada yang agak panik.
"Dr Gufran tidak dapat dikesan. Kami tidak tahu dimana dia berada sekarang." Rudy memberitahu Julia dengan nada yang agak tenang. Julia tiba-tiba berasa sebak dan hampir mahu menangis.
"Kami sedang berusaha untuk mencarinya sedaya-upaya. Saya datang ke sini untuk bertanya kepada Cik Julia jika dia ada menelefon Cik Julia dalam sehari dua lepas?" Rudy menerangkan tujuan sebenarnya dia menemui Julia. Pada saat itu hati Julia berbelah bahagi. Bapanya telah berpesan supaya tidak memberitahu sesiapapun di mana dia berada sekarang.
"Kami perlukan semua maklumat yang ada untuk mencari bapa awak Julia." Rudy cuba memujuk.
"Bagaimana dia boleh hilang Rudy? Bukankah awak sentiasa bersama dia, sepanjang masa?" Julia berkata dengan nada yang marah.
"Saya telah diberi dadah dan saya tertidur. Saya tahu dia pasti akan menelefon Cik Julia." Rudy cuba meyakinkan Julia.

Julia masih kurang pasti sama ada dia patut memberitahu kepada Rudy tentang panggilan bapanya yang diterima malam tadi. Julia kemudian berpaling ke arah belakang, mahu membuat keputusan tanpa gangguan Rudy. Julia berfikir dengan keras. Bapanya menelefon malam tadi. Rudy pula baru sahaja sampai. Jika perbezaan masa adalah 12 jam, serta mengambil kira masa perjalanan Rudy kembali ke Malaysia, itu bermakna bapanya sudahpun hilang dari jagaan Rudy semasa dia membuat panggilan telefon malam tadi.

Julia berpaling ke arah Rudy.
"Di mana Papa hilang? Bila kali terakhir Papa bersama awak Rudy?"
"2 hari lepas, sewaktu kami berada di Miami," jawab Rudy
Julia diam sejenak.
"Tidak, tiada panggilan dari Papa. Saya akan beritahu jika dia ada menelefon. Saya perlu pergi sekarang Rudy," ucap Julia dengan bersahaja.
"Baiklah Julia, saya akan cuba jejaki bapa awak sampai dapat," Rudy seolah-olah memberikan sebuah janji kepada Julia. Mereka bertukar senyuman dan beredar.

Julia tidak pasti sama ada itu adalah keputusan yang baik tetapi dia pasrah. Dia mahu menunggu kurier yang dihantar oleh bapanya dahulu sebelum melibatkan orang lain dalam permasalahan ini.

No comments:

Post a Comment