Jemput Baca..

Tuesday, December 7, 2010

Kemaruk - Bab 8 (Akhir)

Penutup mata Bard dan Julia dibuka. Mereka telah diarahkan turun dari van hitam dengan kasar. Mata Bard pedih terkena sinaran matahari. Dia mencari-cari Julia. Bard ternampak Julia jatuh terbaring di tepi bahu jalan tidak jauh darinya. Bard berlari mendapatkan Julia dan membantunya untuk bangun semula.

"Kita berjaya!" Bard tersenyum sambil memandang Julia yang masih belum berdiri dengan betul. Kapsul Ungu yang mereka serahkan kepada orang-orang Mr M masih boleh digunakan dan wang bayaran sudahpun dipindahkan ke akaun Bard dan Julia. Mereka ketawa, mula-mula hanya tertawa kecil tapi kemudian mereka ketawa besar dan menjerit-jerit kegembiraan. Keadaan panas terik tengahari itu tidak sedikitpun mengganggu mereka. Mereka terdiam seketika selepas puas ketawa.

"Terima kasih Julia," Bard menghulurkan tangan kepada Julia.

"Awak patut pulang ke Kuala Lumpur. Terminal bas di sana," Bard menuding jarinya ke arah satu bangunan tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

"Awak patut pulang juga ke Kuala Lumpur dengan saya. Saya tidak boleh pastikan awak selamat tetapi saya akan pastikan awak terjaga," Julia menggosok-gosok bahu Bard sambil memujuk.

"Tidak Julia, Kumpulan Kemaruk Hitam sudah meengeluarkan arahan untuk membunuh saya. Saya tidak boleh kembali ke sana." Bard memegang bahu Julia, tanda meminta maaf. Julia tunduk seketika, agak kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh Bard. Julia kemudian bergerak menuju ke terminal bas dengan langkah yang berat bersama-sama Bard. Bard menunggu sehingga bas yang dinaiki oleh Julia hilang dari pandangan. Dia kemudian mencapai telefon bimbitnya untuk menelefon Inspektor Ashraf.

* * *

"Terima kasih kerana berjumpa dengan saya Inspektor Ashraf," Bard memulakan perbualan. Mereka bertemu di hadapan sebuah kedai permainan kanak-kanak di Plaza Singapura.

"Lama tak nampak awak di Singapura!" Inspektor Ashraf menyambut perbualan Bard. Bard hanya tersenyum.

"Ini semua bukti yang saya kumpul selama ini mengenai Neutron Pharmaceuticals," Bard menyerahkan dua keping cakera padat kepada Inspektor Ashraf.

"Terima kasih Bard atas usaha awak. kalau bukti ini bagus, saya akan buka kembali kes kematian ibu awak," Inspektor Ashraf memberi keyakinan. Inspektor Ashraf menepuk bahu Bard sebelum berlalu pergi. Hati Bard agak terusik mengingatkan peristiwa kematian ibunya.

Telefon bimbit Bard tiba-tiba berbunyi.

"Bard, awak masih di Singapura?" Rajan bertanya di talian.

"Ya," Bard menjawab dengan ringkas.

"Aku dan Benji baru sahaja dapat tugasan dari seorang client. Kami perlukan seorang mastermind yang bagus macam engkau." Rajan memberitahu hajatnya.

"Rajan, aku dah bersara! Aku akan tinggal di Singapura dan jadi seorang peguam semula!" Bard menolak tawaran Rajan.

"Randi sudah masuk perangkap polis, dia sudah tertangkap. Kemaruk Hitam tidak akan kacau kau lagi. Semua anggota Kemaruk Hitam sudah berpecah mengambil haluan masing-masing termasuk aku dan Benji. Kerja ini bukan di bawah Kemaruk Hitam, kerja ini hanya kita bertiga sahaja yang terlibat. Come on Bard, gaji setahun kerja kau jadi peguam tu, kau boleh dapat dalam masa sebulan buat kerja ni," Rajan menyambung. Bard berfikir seketika.

"Siapa client sekarang?"

"Pakistani Armed Forces, mereka perlukan pasukan yang betul-betul neutral. Mereka sudahpun membuat bayaran pendahuluan. Cuma kerja-kerja penyiasatan dan pengumpulan maklumat, tak lebih dari itu" Rajan memberi penerangan. Bard meletakkan telefon selepas dia memberitahu Rajan dia akan memanggil Rajan semula dalam masa sejam. Bard berfikir lagi. Hatinya benar-benar mahu pulang ke Kuala Lumpur menemui Julia.

* * *

Julia berlari-lari anak sedikit, sesekali memandang ke arah belakang. Jam sudah hampir pukul 11.30 malam. Hatinya berasa tidak selesa, bagaikan ada seseorang yang mengikuti setiap langkahnya. Julia mula meraba-raba ke dalam tas tangannya, mencari pepper spray yang selalu dibawanya.

Tiba-tiba lengannya ditarik ke sebuah lorong gelap. Julia menjerit ketakutan tetapi mulutnya tiba-tiba ditekup dengan sebelah tangan sambil badannya disandarkan ke dinding.

"Julia, ini Bard!" Bard cuba menyedarkan Julia dari perasaan takutnya. Julia membuka matanya.

"Bard!" Julia memegang dadanya. Jantungnya masih berdegup kencang.

"Saya ingatkan awak takkan balik ke sini. Kan awak mahu tinggal di Singapura?"

"Saya dapat kerja di Kuala Lumpur," Bard memberitahu Julia.

"Bagus!"Julia tersenyum dan melonjak kegembiraan.

"Awak jadi peguam di sini?" Julia bertanya dengan gembira. Bard tidak mahu menghilangkan rasa gembira Julia, mungkin dia akan memberitahu kerjanya yang sebenar kepada Julia pada waktu lain. Dia tidak mahu kehilangan Julia lagi.

"Err.. ini untuk awak," tanpa menjawab pertanyaan Julia, Bard menghulurkan sejambak bunga mawar berwarna merah hati kepada Julia.

"Terima kasih Bard!" Julia minghirup bau bunga mawar itu dengan satu nafas.

"Hari ini awak kena masak untuk saya sebab saya dah belikan bunga untuk awak. Awak nak masak apa?" tanya Bard.

"Tak ikhlas!" Julia membalas pertanyaan Bard dengan nada merajuk.

"Ok. Awak belanja je saya makan kat mana-mana. Saya tahu awak penat. Lama tau saya tunggu awak kat sini. Lapar sangat!" Bard cuba mendapatkan simpati Julia. Julia senyum dan ketawa kecil. Julia terus sahaja berjalan meninggalkan Bard seolah-olah tidak menghiraukannya. Bard mengejar Julia.

"Restoran Aminah kat hujung sana," Julia berbisik ke telinga Bard sebaik sahaja Bard berjalan seiring dengannya. Bard tersenyum gembira. Banyak masalahnya yang telah selesai, oleh itu dia mahu meluangkan masa bersama Julia selama yang boleh malam ini.

No comments:

Post a Comment