Jemput Baca..

Tuesday, December 7, 2010

Kemaruk - Bab 2


“Tuk, tuk, tuk, tuk, tuk” Julia terjaga dengan satu ketukan yang kuat. Ketukan berirama sebanyak 5 kali. Julia diam seketika. Dia baru sahaja terjaga, tidak pasti samada dia masih berada di alam mimpi atau di alam nyata.

“Tuk, tuk, tuk, tuk, tuk” Ketukan berirama itu terdengar lagi. Julia bangun sambil duduk di atas katil. Dia masih ingat lagi pesanan Bard malam tadi selepas balik dari klinik.

“Jangan buka pintu kecuali jika ada ketukan berirama sebanyak 5 kali.”

“Tuk, tuk, tuk, tuk, tuk” Julia bingkas bangun dari katil lantas membuka pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Bard terus menerpa masuk. Dia meletakkan bungkusan makanan di atas meja dan terus menuju ke jendela. Jendela apartment tingkat 3 itu membolehkan Bard melihat keseluruhan jalan utama masuk ke Apartment Sri Nilam. Julia mengikut Bard ke jendela.

“Ada 3 kereta yang mencurigakan,” Bard memandang Julia seketika lantas pergi ke meja, membuka bungkusan makanan yang dibawanya. Dua bungkusan teh tarik dan dua bungkusan roti canai.

“Awak makan dulu, kita mungkin terpaksa cari tempat yang lebih selamat,” ujar Bard sambil menarik kerusi untuk Julia duduk. Julia masih tercegat di jendela. Seperti Natasha beberapa tahun lepas, Julia nampak resah, terlihat jelas dari mimik mukanya yang agak tegang. Bard juga nampak rasa tidak percaya dalam pergerakan Julia, sama seperti Natasha dahulu.

Julia duduk dengan perlahan, diiringi senyuman yang hambar. Bard meneliti tindakan Julia. Julia nampak lebih kuat daripada Natasha, lebih fokus, lebih tenang dan mungkin lebih bijak.

“Awak tahu dimana sampel terakhir Kapsul Ungu disimpan?” Bard cuba mendapatkan maklumat yang paling berharga itu daripada Julia. Julia hanya memandang Bard dengan pandangan kosong tanpa bersuara. Sekarang adalah masa yang paling tepat untuk Bard mendapatkan maklumat itu, sementara Julia masih lagi terhutang budi dengannya dan identiti sebenarnya masih belum lagi terbongkar. Bard tidak mempunyai banyak masa.

“Mungkin saya tahu. Tapi saya perlukan jaminan keselamatan saya. Jika betul awak peguam, saya mahukan jaminan dari pihak Lombard Lab atau pihak polis. Saya baru kenal awak sehari!” Ucap Julia sambil merenung makanan dan minuman yang dibawa oleh Bard. Bard hampir hilang idea. Benar sangkaan Bard, Julia jauh lebih bijak daripada Natasha.

Bard terus menghabiskan roti canai dan teh tarik yang dibawanya, kepalanya ligat berfikir. Tiba-tiba telefon bimbit Bard berbunyi, panggilan daripada Randi.

“Sedap makan roti canai tu Bard?” Randi bersuara dengan nada mengejek, mungkin mahu memberitahu Bard dia berada di sekitar Apartment Sri Nilam. Bard meninggalkan makanannya lantas bergegas menuju ke jendela. Dia nampak Randi berdiri betul-betul di bawah sebatang pohon saga sambil memegang telefon bimbit. Randi mengangkat tangan ke paras dahi seperti mengangkat tabik hormat. Ketiga-tiga kereta yang dilihatnya tadi sudah mula bergerak meninggalkan jalan itu. Bard dapat merasakan sesuatu yang tidak diingini telah terjadi.

“Rafael sudah mati. Aku ambil alih kumpulan Kemaruk Hitam sekarang. Kau tak ada kuasa lagi sekarang Bard. Dan aku tak mahu tengok muka kau dalam kumpulan aku lagi!” Randi menyampaikan kata-kata ini dengan penuh rasa benci dan terus memutuskan panggilan. Sebuah kereta BMW berwarna hitam terus berhenti di hadapan Randi untuk mengambilnya.

Jantung Bard bagaikan terhenti. Dia tahu Randi memang sedang berusaha untuk merampas kuasa dari bapanya, Rafael untuk menjadi ketua kumpulan Kemaruk Hitam tetapi dia tidak menjangka Randi akan bertindak sepantas ini.

Randi cuba menghubungi beberapa ahli kumpulan Kemaruk Hitam, cuba mendapatkan maklumat. 5 orang ahli kumpulan Kemaruk Hitam yang ditugaskan untuk menyelesaikan kerja mencari “Kapsul Ungu” bersamanya tidak menjawab panggilan. Rancangan mereka hampir berjaya, 3 orang daripada mereka telah berlakon dengan baik semasa menyerang Julia di lorong gelap malam tadi. Bard pula sudah boleh mendekati Julia.

Hati Bard semakin panas! Kereta mereka juga sudah tidak ada lagi berhampiran jalan masuk utama ke Apartment Sri Nilam. Nampaknya dia terpaksa meneruskan tugas yang diberikan oleh Mr M berseorangan.

“Masalah?” Julia tiba-tiba bertanya. Rupa-rupanya Julia betul-betul meneliti pergerakan Bard sejak mendapat panggilan Randi tadi. Bard belum bersedia untuk memberitahu perkara sebenar kepada Julia. Semasa Bard membuat kajian awal memgenai “Kapsul Ungu” minggu lepas, dia tahu ada dua lagi kumpulan bawah tanah telah diupah untuk mendapatkan kapsul itu, tetapi Bard tidak begitu pasti mengapa kapsul itu menjadi rebutan. Mungkin Julia ada jawapannya.

“Saya akan pastikan awak selamat untuk hari ini, tetapi awak kena tolong saya,” Bard cuba membuat tawaran.

“Saya mahu tahu apa sebenarnya Kapsul Ungu, kenapa ramai yang mahukan sampel terakhir Kapsul Ungu, saya masih belum faham kenapa!” Bard menyambung. Julia terdiam seketika.

Akhirnya Julia menceritakan kepada Bard secara kasar sejarah kajian Kapsul Ungu. Lombard Lab telah meluluskan dana untuk kajian Kapsul Ungu berdasarkan kajian awal Asri mencari ubat alternatif untuk rawatan penyakit epilepsi. Asri telah mengkaji ubat-ubat lain seperti barbiturate, methaqualone dan benzodiazepines dan berjaya menghasilkan satu formula ubatnya sendiri yang dipanggil Kapsul Ungu. Tahap pertama kajian amat memberangsangkan, percubaan awal kepada tikus makmal menunjukkan ia boleh diuji pada manusia. Asri sudah mendapat lampu hijau untuk menguji ubat itu ke atas manusia, bermula dengan 3 orang pesakit. Tetapi Julia tidak pernah tahu apa yang akhirnya terjadi kepada ketiga-tiga orang tersebut dan tiba-tiba kajian itu telah dihentikan dengan serta merta dan Asri tiba-tiba hilang.

“Ramai yang mencari sampel terakhir itu, saya memang banyak mendapat panggilan mengenai sampel terakhir Kapsul Ungu. Selalunya jika sesuatu kajian dihentikan, atas apa sebab sekalipun, saya tidak pernah menerima ugutan, tetapi saya telah menerima beberapa ugutan sejak minggu ini. Kemudian saya diserang semalam. Mungkin saya perlukan awak!” Julia akhirnya membat pengakuan. Bard mengalihkan pandangan ke lantai seketika. Ada sedikit rasa bersalah di dalam hatinya.

“Awak kena tolong saya ambil sampel terakhir Kapsul Ungu itu malam ini,” Julia membuat cadangan. Bard tersenyum. Kerjanya menjadi semakin mudah.

“Kita perlu susun rancangan untuk malam ini, sekarang!” kata-kata Julia seolah-olah memberi arahan. Bard gembira dengan perubahan Julia. Kalaulah Natasha seperti Julia dahulu, mungkin dia masih hidup! Tetapi Julia bukan Natasha dan Natasha bukan Julia! Mungkin sudah tiba masanya dia melupakan Natasha!

No comments:

Post a Comment