Jemput Baca..

Tuesday, December 7, 2010

Kemaruk - Bab 1


Julia berlari-lari anak sedikit, sesekali memandang ke arah belakang. Jam sudah hampir pukul 11.30 malam. Hatinya berasa tidak selesa, bagaikan ada seseorang yang mengikuti setiap langkahnya. Julia mula meraba-raba ke dalam tas tangannya, mencari pepper spray yang selalu dibawanya.

Tiba-tiba lengannya ditarik ke sebuah lorong gelap. Julia menjerit ketakutan tetapi mulutnya tiba-tiba ditekup dengan sebelah tangan sambil badannya disandarkan ke dinding.

“Diam!” Satu suara yang kasar memberi arahan sambil menekan mulutnya dengan lebih kuat. Lelaki itu, dengan pantas menghunuskan sebilah pisau yang berkilat, begitu hampir ke mata Julia. Julia menutup matanya, seluruh badannya dirasakan kaku, mindanya tidak mampu lagi berfikir. Airmatanya mula gugur kerana ketakutan. Selama beberapa saat Julia terasa hembusan nafas lelaki itu betul-betul di pipi kirinya.

Julia membuka matanya semula. Lelaki itu tersenyum sinis. Matanya yang bersinar bagaikan memberitahu Julia kejayaannya menundukkan mangsanya malam itu.

Tiba-tiba selepas satu hentakan dikepalanya, lelaki yang memegang pisau itu rebah ke atas jalan. Dihadapan Julia sekarang, berdiri seorang lelaki berpakaian kemas, kemeja berwarna putih, bertali leher dan memakai kot berwarna hitam. Dia masih menggenggam erat batang besi yang digunakannya tadi.

“Lari cik!” Lelaki berpakaian kemas itu menjerit kepada Julia sambil melihat ke kiri dan ke kanan. Julia masih tercegat dalam ketakutan.

Rupa-rupanya lelaki yang menyerang Julia tadi tidak berseorangan. Dua orang lagi lelaki tiba-tiba muncul dan mula menyerang lelaki berpakaian kemas. Julia melihat dengan jelas pergelutan sengit antara mereka bertiga.

Dengan hanya menggunakan sebatang besi dia mampu menangkis serangan-serangan yang dilakukan oleh mereka. Julia nampak lelaki berpakaian kemas itu sangat mahir menggunakan besi sepanjang setengah meter di tangannya. Lagaknya pantas bagaikan seorang ninja. Kadang-kadang dia tidak perlu melihat lawannya untuk menyerang, seolah-olah dia mempunyai sepasang mata di belakang kepalanya.

Lelaki yang menyerang Julia tadi tiba-tiba sedar dan cuba membantui kawan-kawannya. Dengan satu pukulan sahaja di perutnya, dia jatuh kembali. Ketiga-tiga penjahat itu bangun, memandang antara satu sama lain dan terus lari.

Julia bingkas bangun mendapatkan lelaki berpakaian kemas itu. Nampak darah merah di bahagian kepala, pipi, hidung dan tangan lelaki itu. Julia cuba memeriksa jika ada luka yang serius.

Lelaki ini mempunyai rambut yang lembut dan halus dipotong kemas. Sambil memeriksa kepalanya, dibawah lampu jalan yang kelam, Julia dapat melihat parut yang agak jelas di kulit kepalanya sepanjang satu inci.

Julia cuba mengalihkan serpihan batu kerikil di mukanya. Sesekali lelaki itu mengaduh kesakitan.

“Terima kasih Encik! Saya terhutang budi!” Julia cuba memapah lelaki itu untuk berdiri. Lelaki itu tidak boleh berdiri dengan baik, mungkin kakinya cedera.

“Saya bawa Encik ke klinik hujung jalan ni!” Julia memangku lengan lelaki itu untuk berjalan.

“Saya Julia, siapa nama Encik?”

“Nama saya Badrul, panggil saya Bard!” Bard menjawab.

“Kalau Bard tak datang tadi saya tak tahu apa yang akan jadi. Mungkin saya dah mati. Sejak akhir-akhir ini saya rasa ada yang ekori saya.” Julia berkata sambil menghela nafas.

“Mereka mahukan maklumat Kapsul Ungu” Bard terus menjawab. Julia terkejut dengan kata-kata Bard. Dia mula melepaskan papahan tangan Bard.

“Awak siapa?” Julia hampir menjerit. Mereka berhenti berjalan seketika.

“Saya peguam yang menguruskan kes Lombard Lab. Beberapa pihak sedang cuba mendapatkan sampel Kapsul Ungu. Asri sudah sebulan tidak dapat dijejaki. Awak adalah sasaran seterusnya.”

Julia memandang Bard dengan pandangan yang was-was.

“Awak terhutang budi dengan saya. Awak kena bawa saya ke klinik hujung jalan ni. Mereka mungkin akan menyerang lagi. Awak perlu berada berada bersama saya sepanjang masa.” Bard memandang anak mata Julia, cuba menunjukkan keikhlasannya.

Julia kalah. Benar kata-kata Bard, Julia memerlukannya, sekurang-kurangnya sepanjang malam ini.

Julia memapah semula lengan Bard, membantunya berjalan ke klinik berhampiran. Hatinya masih berasa was-was tetapi sekurang-kurangnya dia perlu membalas jasa Bard menyelamatkannya tadi.

Julia akan berbincang lebih panjang dengan Bard selepas rawatan nanti. Dia juga mahu tahu apakah sebab sebenar Lombard Lab menghentikan projek Kapsul Ungu itu dahulu.

No comments:

Post a Comment