Masuk ke blog ini anda pasti nampak rak buku di header blog ini.
Klik ke atas buku yang anda mahu baca dan buku tersebut akan terbuka di dalam skrin anda seolah-olah anda sedang membaca buku itu di atas meja.
Cuba selak buku itu dengan menekan ke atas anak panah. Siap ada bunyi lagi!
Rak Buku Penuh saya masih kosong lagi, tetapi jika anda mahu lihat, klik "Rak Buku Penuh" di menu utama.
Friday, June 8, 2012
Saturday, June 2, 2012
Motivasi Minggu 7 : Jangkakan Hanya Yang Terbaik, Ubat Minda Yang Sering Dilupakan
Apa yang selalu bermain di fikiran anda akan menentukan nasib anda. ..
Cuba fikir sejenak, apa yang selalu bermain di fikiran anda
hari ini? Anda kalah dalam satu pertandingan sukan dan anda banyak berfikir mengenai
kekalahan anda. Apa yang akan berlaku pada pertandingan sukan akan datang? Jika
anda banyak berfikir mengenai kekalahan, anda pasti akan kalah.
Jika anda bekerja sebagai seorang jurujual dan anda berjaya
mendapat jualan dan komisen yang banyak bulan ini? Apa yang anda banyak
fikirkan hari ini? Anda mahu berusaha keras untuk mendapat jumlah jualan yang
sama supaya anda akan mendapat jumlah komisen yang sama atau lebih lagi? Jika
ini yang selalu bermain di fikiran anda, pada bulan hadapan, anda pasti akan
mendapat jumlah komisen seperti yang anda idamkan jika anda berusaha keras.
Percayakah anda jika saya rumuskan, apa yang berlaku kepada
diri anda hari ini adalah hasil daripada pemikiran anda pada masa lampau. Cuba
lihat apa yang telah berlaku kepada anda pada hari ini dan bezakannya dengan
apa yang berlaku kepada diri anda 3 bulan lepas, 6 bulan lepas atau 1 tahun
lepas. Apa yang anda selalu fikirkan pada masa itu. Adakah ia telah berlaku
sekarang, selari dengan apa yang anda fikirkan pada masa itu?
Minda anda mempunyai keupayaan yang tinggi untuk
merealisasikan apa yang sahaja yang anda fikirkan, tidak kira baik ataupun
buruk. Jika anda belum lagi mencapai cita-cita anda, mungkin anda terlalu
banyak berfikir anda tidak akan mencapai cita-cita tersebut. Bagaimana untuk
menukar cara minda anda berfikir?
- Jangkakan Hanya Yang Terbaik
Setiap kali hati anda berdebar-debar atau mata kiri anda
bergerak-gerak, apa yang anda fikirkan?
Kebanyakan orang akan terfikir “Sesuatu yang buruk akan berlaku,” kerana
petua ini adalah turun temurun dari nenek moyang anda.
Hari ini, cuba ubah persepsi anda dan ubah juga jangkaan
anda. Jika hati berdebar-debar, katakan kepada diri anda, sesuatu yang sangat
baik akan berlaku kepada diri anda. Jika mata bergerak-gerak ada orang yang
akan memberikan rezeki kepada anda.
Mungkin tidak mudah untuk mengubah persepsi ini kerana
mungkin ia sudah sebati dengan diri anda. Tetapi jika anda cuba, anda akan
dapat merasai kesannya nanti.
- Bergaul dengan mereka yang berfikiran positif
Bergaul dengan mereka yang berfikiran posiitif akan sedikit
sebanyak mengubah diri anda menjadi lebih positif. Lihat bagaimana cara mereka
berfikir dan cara mereka menangani isu-isu kehidupan seharian.
- Kurangkan membaca berita-berita buruk
Berita-berita buruk mempunyai daya penarik sendiri. Kejadian
jenayah, cerita miskin tegar, kematian mengejut, artis bercerai-berai
,kemalangan dan berita-berita buruk lain selalunya adalah berita-berita yang
selalu mendapat banyak perhatian. Berita seperti ini juga akan diperkatakan
berkali-kali di kalangan pembaca kadangkala sehingga berbulan-bulan. Jika anda
selalu berfikir mengenai kejadian-kejadian buruk, apakah yang akan berlaku
akhirnya? Kejadian-kejadian buruk yang anda baca itu mungkin satu hari nanati
akan terjadi kepada anda.
- Bina gambaran positif dalam minda anda
Minda anda lebih senang menerima maklumat dalam
bentuk imej. Biasakan minda anda menerima maklumat positif dalam bentuk imej
yang ada kaitan dengan perkara-perkara yang ingin anda capai. Contohnya jika
anda mahu membeli rumah idaman, ambil gambar rumah idaman anda dan letakkan di
tempat yang selalu anda lihat seperti di skrin komputer anda. Secara bawah
sedar, minda and akan sentiasa berfikir mengenai rumah idaman anda dan satu
hari anda akan memilikinya.
Tuesday, May 29, 2012
Motivasi Minggu 6 : Keajaiban Sebuah Kemaafan
Seseorang telah melakukan sesuatu yang menyakitkan hati anda susah untuk dimaafkan. Kesalahan yang paling sukar untuk dimaafkan adalah sebarang bentuk pengkhianatan; khianat antara kawan, khianat cinta dan khianat perniagaan. Jika pengkhianatan berlaku, perasaan sakit amat berbekas di hati kadangkala akan menimbulkan perasaan dendam dan benci yang amat membara dalam hati seseorang.
Ramai yang memilih untuk tidak mahu memaafkan pembuat khianat walaupun perasaan
itu amat berat untuk dibawa bersama sepanjang hidup. Setiap kali nama pembuat
khianat disebut atau kelibat pembuat khianat nampak di di hujung mata orang
yang dikhianati, pengalaman perit itu akan timbul kembali. Hati yang dikhianati
itu menjadi lebih sakit.
Apakah ubat yang
terbaik untuk menghilangkan sakit, tidak puas hati dan dendam ini? Jawapannya
adalah kemaafan.
Perkara pertama yang akan muncul di minda anda sekarang
mungkin “Mengapa harus saya memaafkan dia, dia telah melakukan sesuatu yang sangat
teruk dan tidak boleh dimaafkan.”
Apa Untungnya Anda Memberi Kemaafan?
Pertama sekali anda harus memandang kemaafan dari satu sudut
yang agak berbeza. Kemaafan, jika diberikan tidak akan menguntungkan si
pengkhianat kerana tidak ada apa-apa manfaat yang akan dirasai oleh pengkhianat
jika anda memaafkan mereka. Pengkhianat tegar akan sentiasa menjadi
pengkhianat, tidak kira jika anda memaafkan mereka atau tidak.
Kemaafan sebenarnya memberikan lebih keuntungan kepada diri
anda sendiri. Ingat semula seseorang yang pernah anda maafkan dalam hidup anda.
Perkara yang dilakukan oleh orang yang telah anda maafkan tidak lagi menjadi
beban emosi anda lagi. Anda tidak lagi teringat-ingat perkara buruk yang pernah
dilakukan oleh orang itu dan hidup anda lebih gembira selepas kemaafan itu
diberikan. Hati yang gembira akan membuatkan rezeki anda bertambah sepanjang
masa. Hati yang gembira juga akan membuatkan badan anda menjadi lebih sihat.
Keuntungan sebuah kemaafan sebenarnya lebih berpihak kepada si pemaaf.
Bagaimana melatih diri anda memberi kemaafan?
- Yakin bahawa setiap kejahatan ada pembalasannya
Hampir kesemua manusia tidak mengira agama, bangsa dan
negara percaya bahawa kebaikan akan dibalas kebaikan dan kejahatan akan dibalas
kejahatan.
- Fokus kepada perkara positif
Setiap apa yang berlaku mempunyai kesan baik dan kesan buruk.
Jika teman lelaki anda jatuh cinta dengan kawan baik anda dan mereka akhirnya
berkahwin, jangan lihat perkara ini sebagai sesuatu yang negatif. Cuba lihat
daripada sudut yang lebih positif. Anda mungkin berpeluang untuk mencari teman
lelaki yang lebih baik dan lebih sesuai dengan anda. Mungkin anda kini boleh
lebih fokus kepada kerjaya yang anda impikan.
- Sibukkan diri anda dengan aktiviti baru
Halang minda anda daripada berfikir mengenai peristiwa
pengkhianatan itu dengan aktiviti-aktiviti yang anda gemari. Perasaan telah
dikhianati adalah satu perasaan yang amat berat untuk dilupuskan, perlu ada
rancangan yang baik untuk menghilangkan perasaan ini. Ia tidak akan hilang
begitu sahaja.
- Beri masa kepada diri anda
Anda perlu beri masa kepada diri anda untuk member kemaafan.
Seperti luka di tubuh, perasaan negative juga memerlukan masa untuk sembuh.
Jika anda tidak boleh memaafkan pada hari ini, cuba maafkan pada hari esok.
- Maafkan dan lupakan
Setelah anda rasa anda boleh memaafkan, lupakan kejadian
itu. Jika kawan-kawan anda masih bercerita mengenai kejadian itu, minta mereka
untuk berhenti bercerita lagi. Apabila anda sudah mula melupakan peristiwa
tersebut dan sudah memberi kemaafan, hati anda akan mula terasa tenang.
Pada waktu ini anda akan mula meihat kejadian yang pernah
berlaku itu dalam sudut yang lebih berbeza, kadangkala anda akan ketawa bila
mengenangkan peristiwa tersebut. Jika anda sudah mampu ketawa semasa mengingat
peristiwa itu, anda telah menemui keajaiban sebuah kemaafan yang sebenar.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Saturday, May 12, 2012
Helium3 - Kisah Masri dan Sarah
2 tahun kemudian
“Ceritakan semuanya Masri. Saya tak boleh tolong awak kalau
awak tidak bekerjasama,” Sarah memujuk Masri sekali lagi. Kali ini dengan nada
suara yang lebih perlahan.
Masri memandang ke arah Sarah dengan pandangan yang penuh
kebencian.
“Awak mahukan peguam lain?” Sarah bertanya tanpa
berselindung. Dia tahu sejak awal lagi mungkin Masri tidak akan bekerjasama
dengannya kerana sejarah silam mereka berdua yang tidak begitu baik.
“Mengapa awak ambil kes saya? Awak tahu saya tidak akan
bekerjasama dengan awak,” Masri tiba-tiba bersuara.
“Kerana ini adalah kes antarabangsa dan saya yang terbaik
dalam bidang ini,” Sarah menjawab.
“Tak mungkin. Saya mengenali awak semenjak sepuluh tahun
lepas. Ada sesuatu yang awak mahukan. Awak tak akan ambil kes saya kalau kes
ini tidak penting bagi awak,” Masri menjawab dengan nada tidak puas hati.
“Lupakan sahaja apa yang berlaku 10 tahun lepas Masri. Saya
tahu awak masih marahkan saya. Tetapi sekarang awak berada dalam penjara dan
saya adalah peguam awak. Tugas saya adalah untuk menyelesaikan kes ini. Lagi
cepat kita selesaikan kes ini, lebih baik. Awak tak perlu jumpa saya lagi,”
Sarah cuba memujuk sekali lagi.
Masri tetap membisu dan berpaling. Bahasa badannya jelas
menunjukkan dia tidak mahu berinteraksi lagi dengan Sarah.
“Esok saya akan minta pembantu saya untuk bertemu dengan
awak. Ada beberapa dokumen yang perlu anda tandatangan. Jumpa lagi nanti
Masri,” Sarah mengucapkan selamat tinggal dan berlalu keluar dari tempat
perbincangan.
****
“Aku kenal engkau!”
seorang lelaki yang berada bersamanya di dalam lokap polis semenjak semalam
menegurnya. Lelaki itu berpakaian comot dan berbau busuk. Badannya kurus
cengkung dan suaranya kasar. Lelaki itu berjalan menghampirinya dan mula
mendekatkan mulutnya ke telinga Masri. Terdengar hembusan nafasnya yang berbau.
“Engkau pernah bekerja dengan Mr M,” lelaki itu berbisik.
Masri terkejut dengan kenyataan lelaki itu.
“Awak salah orang. Saya tak kenal Mr M,” Masri menjawab. Dia
tidak mahu dikaitkan lagi dengan Mr M.
“Aku pun tak kenal Mr M,” lelaki itu membalas sambil ketawa.
“Tetapi aku ada pesanan dari Mr M untuk kamu. Pesanan untuk
membawa Encik Masri keluar dari lokap ini. Tetapi kalau engkau bukan Encik
Masri yang mengenali Mr M, maka tak perlulah aku sampaikan pesanan ini,” lelaki
itu menambah.
Masri terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Dia mula berasa
serba salah. Keadaan senyap seketika.
“Mungkin aku pernah mengenali Mr M, tapi mungkin aku lupa,”
Masri membalas.
“Mungkin Mr M pernah berpesan kepada aku untuk bawa kamu
keluar tepat pada pukul 2.00 pagi. Tapi mungkin juga saya terlupa,” lelaki itu
menambah. Masri melihat ke arah jam dinding yang tergantung di luar lokap itu.
Waktu menunjukkan pukul 1.50 pagi.
Masri tersenyum. Nampaknya Mr M menepati janjinya.
Friday, May 11, 2012
Motivasi Minggu 5 : Cari Kunci Motivasi Diri Anda
Terdapat banyak penulis buku motivasi yang menulis daripada sudut yang berbeza-beza. Mereka memberi penerangan melalui pengalaman dan pembacaan untuk membantu memberi motivasi kepada pembaca-pembaca mereka. Mereka menceritakan kunci kejayaan mereka dan menjadi inspirasi kepada orang di sekeliling mereka.
Berikut adalah antara kunci motivasi beberapa orang yang
saya kenali
- Peristiwa silam yang menyedihkan
Peristiwa silam yang menyedihkan seperti kematian ibu bapa
pada usia muda kadangkala menyebabkan si anak mahu berusaha bersungguh-sungguh
kerana dia tahu dia tidak mempunyai tempat untuk bergantung. Ada juga yang
pernah berada dalam keadaan miskin tegar dan tidak mahu lagi kembali ke situasi
itu, meyebabkan dia berusaha lebih keras agar tidak jatuh.
- Melihat kejayaan orang lain
Kadangkala melihat kejayaan orang lain memberikan inspirasi
kepada seseorang untuk megikut jejak langkah orang itu untuk menempa kejayaan
yang sama.
- Amanat orang tersayang
Amanat orang tersayang seperti ibu, bapa, suami, isteri atau
kekasih mampu menyuntik semangat yang membara ke dalam diri seseorang.
Kerapkali kita melihat dalam filem seorang gadis memberi sapu tangan sebagai
tanda ingatan kepada teman lelakinya ketika berjuang mendapatkan sesuatu.
- Mahu mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidup
Ada juga yang mendapat motivasi untuk melakukan sesuatu
kerana mereka mahu mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidup. Orang begini
selalunya suka mencari kemajuan dalam hidup, sentiasa mencari peluang dan
cabaran baru. Mereka juga selalunya mempunyai taraf hidup yang lebih baik daripada
orang lain.
Kunci motivasi diri saya pula adalah untuk menjadi diri saya
yang lebih baik setiap hari. Saya suka bertanding dengan diri saya sendiri.
Saya suka mencabar diri saya sendiri untuk menjadi lebih baik dalam kerja-kerja
yang saya lakukan. Untuk lebih memberikan motivasi kepada diri saya sendiri,
saya suka membaca buku-buku yang ditulis oleh orang-orang yang telah mencapai
kejayaan dan menghadiri beberapa persidangan tertentu. Setiap kali saya habis
membaca buku atau menghadiri persidangan, tahap motivasi saya menjadi lebih
tinggi dan saya boleh menangani cabaran yang lebih besar dalam hidup saya.
Bagaimana pula dengan anda? Apakah kunci motivasi anda?
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Sunday, May 6, 2012
Helium3 - Kisah Masri 1
![]() |
| Generasi Pertama, Kedua dan Ketiga Tenaga Nuklear |
Masri melihat ke arah langit yang indah malam itu. Purnama bercahaya penuh diiringi berjuta-juta bintang yang berkelip-kelip. Kadangkala Masri dapat melihat warna cahaya yang berbeza-beza pada setiap bintang. Bintang yang paling hangat berwarna seakan-akan biru dan bintang yang paling sejuk berwarna kemerah-merahan. Itulah ilmu pertama yang dibacanya di perpustakaan sekolahnya dahulu.
“Minum?” Mr M mengundangnya untuk minum sambil berjalan
melewati meja kerjanya malam itu. Masri hanya membalas dengan senyuman.
Deringan telefon yang tiba-tiba menjerit membuatkan Mr M bergegas masuk ke
bilik kerjanya.
Bayangkan setiap bintang yang ada di langit itu mempunyai
sistem cakerawalanya yang tersendiri. Setiap bintang sebenarnya adalah seperti
matahari di galaksi Bima Sakti, dikelilingi oleh beberapa buah planet dan salah
satunya adalah planet bumi. Jika ada beribu-ribu bintang di langit mungkin ada
beberapa buah planet yang menyamai planet bumi di dalam galaksi-galaksi
tersebut. Mungkin kita akan menemui kehidupan yang sama seperti kehidupan di
planet bumi.
Setiap kali Masri melihat ke arah langit, dia merasakan
betapa besarnya alam semesta ini dan segala kemungkinan yang ada. Perasaan
itulah yang telah membawanya untuk mendalami bidang astronomi. Tetapi malangnya
astronomi tidak menjanjikan apa-apa pekerjaan yang bagus untuknya. Setelah
keluar dengan ijazah astronomi dari sebuah universiti, Masri tidak berjaya
menjadi angkasawan seperti yang dia idamkan. Hanya ada beberapa buah negara
sahaja yang berjaya menerokai angkasa. Kuala Lumpur tidak menjanjikan apa-apa
peluang yang baik untuknya bekerja. Kini dia berada di sebuah makmal di Russia
bersama beberapa butir batu kerikil yang dikatakan diambil dari bulan.
Batu-batu ini, menurut Mr M, lebih dikenali sebagai “Moonrocks” telah dikumpul
semula oleh beberapa orang pembantunya dari seluruh dunia.
Mr M kembali semula mendekati Masri setelah habis berbicara
melalui telefon.
“Saya banyak membaca
mengenai batu dari bulan ini. Banyak cerita mengatakan batu-batu yang dibawa
oleh angkasawan dari bulan dan dihadiahkan ke beberapa buah negara telah hilang,”
Masri mengambil sebutir batu kerikil sambil memulakan bicara.
“Ya, hampir 300 biji batu dibawa balik ke bumi dan 200 butir
telah hilang di seluruh dunia. Saya cuma berjaya mengumpul tidak sampai 100 butir, cukup untuk ujikaji
selama dua tahun.”
Masri menarik nafas panjang. Dua tahun adalah satu
jangkamasa yang agak lama.
“Saya adalah penuntut bidang astronomi, bukan geologi. Saya
tak tahu apa-apa mengenai batu-batu seperti ini,” Masri menjawab.
“Tapi batu ini datangnya dari bulan. Bukan dari bumi. Kerana
itulah saya perlukan awak. Inilah yang akan awak kaji selama dua tahun akan
datang jika awak menerima tawaran saya. Saya akan sediakan tempat tinggal dan
makan minum untuk awak. Saya juga akan sediakan permit kerja untuk awak di
sini. Jadi tak perlulah lagi awak hidup
dalam pelarian, asyik diburu pihak berkuasa kerana awak tak ada permit.”
Masri terdiam seketika. Ada benarnya kata-kata Mr M. Kontrak
dan permit kerjanya di sebuah makmal di negara itu sudah tamat enam bulan lalu.
Agak sukar untuk hidup di negara orang tanpa sebarang kerja tetap. Walaupun
kajian yang dijalankan oleh Mr M nampak agak pelik, dia terpaksa menerima
sahaja tawaran tersebut. Hidupnya dalam keadaan terdesak sekarang.
“Saya tak ada pilihan lain. Saya terpaksa terima tawaran Mr
M,” Masri akhirnya bersetuju.
“Bagus Masri, saya akan sediakan semuanya minggu ini ;
tempat tinggal, dokumen permit dan makmal untuk awak bekerja. Datang semula
hari Isnin nanti tepat pukul 9.00 pagi,” dengan senyuman lebar Mr M menepuk
bahu Masri. Masri hanya tersenyum hambar.
****
Hujung minggu itu, Masri pergi ke sebuah perpustakaan awam
untuk mencari maklumat mengenai “Moonrocks” atau batu bulan.
Seperti yang diceritakan oleh Mr M, semenjak angkasawan
Russia dan Amerika berjaya menjejaki permukaan bulan dalam tahun 70an, banyak
batu-batu kecil dari bulan telah dibawa
kembali ke bumi untuk tujuan kajian. Banyak juga batu-batu itu telah
dihadiahkan kepada ketua-ketua negara di seluruh dunia sebagai tanda
persahabatan.
Hanya satu keratan akhbar yang menarik perhatiannya pada
hari itu. Keratan akhbar itu menceritakan mengenai helium-3, bahan yang banyak
ditemui di permukaan bulan, yang dikatakan mampu menjana tenaga dengan
lebih cekap, bersih dan selamat. Penggunaan helium-3 sebagai sumber tenaga
adalah lebih baik daripada penggunaan tenaga nuklear yang banyak membawa
keburukan.
Masri berfikir sejenak. Mungkin itu yang cuba dikaji oleh Mr
M. Jika benar, kajian ini mungkin akan
menjadi antara kajian terpenting di abad ini.
- Mr M adalah salah seorang watak dalam novel K-4: Kapsul Ungu -
- Mr M adalah salah seorang watak dalam novel K-4: Kapsul Ungu -
Saturday, May 5, 2012
Motivasi Minggu 4 : Merealisasikan Cita-Cita Anda
Setiap orang mempunyai cita-cita masing-masing. Jika anda seorang pekerja, cita-cita anda mungkin mahu mendapat gaji yang lebih tinggi pada tahun hadapan. Jika anda seorang penuntut, mungkin anda mahu mendapat markah yang tertinggi dalam ujian akan datang.
Jika anda pula seorang suri rumahtangga, mungkin anda mahu membina satu perniagaan sambilan di rumah seperti perniagaan online. Setiap orang mempunyai hak untuk membina cita-cita dan berusaha untuk mencapainya.
Seperti melakukan kerja-kerja lain, mencapai cita-cita juga
mempunyai prosesnya yang tersendiri Berikut adalah panduan daripada beberapa buah
buku yang saya pernah baca.
- Ketahui apa yang benar-benar anda mahukan
Banyak kali anda melihat seseorang yang telah berjaya dan
anda mahu menjadi 100% seperti orang itu. Anda buat semua yang dia lakukan,
kadangkala berjaya dan kadangkala tidak.
Setiap manusia melalui pengalaman hidup yang berbeza-beza
yang mencorakkan motivasi dalaman mereka sendiri. Tidak ada dua manusia yang
sama di muka bumi ini daripada segi motivasi dalaman, walaupun mereka datang
daripada perut ibu yang sama.
Pertama sekali anda harus bertanya kepada diri anda sendiri
apa yang anda benar-benar mahukan dalam mengejar cita-cita anda ; Wang lebih?
Kepuasan bekerja? Tahap tertinggi dalam kerjaya anda? Mengisi masa lapang? Kenali
motivasi dalaman anda sendiri dan jangan meniru motivasi orang lain secara membuta-tuli.
Kesedaran ini akan membuatkan anda lebih fokus kepada cita-cita anda nanti.
- Yakinkan diri bahawa anda layak mencapai cita-cita ini
Jika anda mempunyai cita-cita tetapi anda rasa anda tidak
layak atau tidak mungkin akan berjaya mencapai cita-cita tersebut, itulah yang
akan terjadi akhirnya. Anda tidak akan berjaya mencapai cita-cita tersebut.
Kenali apa yang menyebabkan anda mempunyai perasaan
sedemikian. Jika ada kawan-kawan atau orang terdekat yang sentiasa membuatkan
anda mempunyai perasaan sebegitu, kurangkan sedikit masa bersama mereka. Jika
anda rasa anda tidak yakin kerana kekurangan masa, susun semula hidup anda agar
anda mempunyai masa yang cukup untuk melakukan apa yang perlu untuk mencapai
cita-cita anda.
- Hilangkan perasaan takut
Dalam mengejar cita-cita rasa takut akan sentiasa menghantui
anda. Takut kerana tidak cukup ilmu untuk bertanding, takut kerana orang di
sekeliling mungkin tidak bersetuju dengan tindakan anda, takut membat
kesilapan. Semua perasaan ini akan sentiasa bermain-main di minda anda. Katakan
tidak kepada perasaan takut ini. Lakukan apa yang perlu untuk meyakinkan diri
anda bahawa anda boleh mencapai cita-cita anda ini. Jika anda rasa anda tidak
cukup ilmu, pergi ke perpustakaan dan baca buku-buku yang perlu untuk menambah
pengetahuan anda. Jika anda taku membuat kesilapan yang akan membawa kerugian,
luangkan masa untuk membuat lebih kajian mengenai cita-cita anda itu.
- Sertai komuniti yang mempunyai cita-cita yang sama
Mempunyai kenalan yang mempunyai minat dan cita-cita yang
sama akan memudahkan anda untuk mencapai cita-cita anda itu. Maklumat dan
pengalaman boleh dikongsi bersama dan anda akan menjadi lebih yakin untuk
mencapai cita-cita anda.
- Rancang tindakan anda dengan teliti
Perancangan teliti amat penting dalam semua kerja yang kita
lakukan. Perancangan yang teliti dan jelas akan lebih meyakinkan diri anda
untuk mencapai cita-cita anda tersebut. Anda juga akan dapat mengetahui
kekangan-kekangan yang mungkin timbul lebih awal supaya anda lebih bersedia
menghadapinya nanti.
Perancangan yang teliti dan jelas juga akan membuatkan orang
lain lebih yakin dengan cita-cita anda. Ini juga akam memudahkan orang lain
untuk membantu anda untuk mencapai apa yang anda impikan.
- Disiplin
Paling penting adalah disiplin. Walau sebaik manapun
rancangan anda, jika anda tidak mempunyai disiplin untuk melakukan apa yang
perlu untuk mencapai cita-cita anda, ia akan terkubur sahaja nanti.
Kenali minyak pelincir apa yang diperlukan untuk mengekalkan
momentum kerja anda. Mungkin anda perlu membaca tulisan-tulisan motivasi.
Mungkin juga anda perlu beremu dengan orang yang anda kasihi setiap minggu
untuk mengekalkan prestasi kerja anda setiap masa.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Subscribe to:
Posts (Atom)






