Jemput Baca..

Tuesday, April 24, 2012

Helium3 - Kisah Sarah 1



Latihan bola sepak petang itu berjalan dengan lancar. Badrul, Roland, Simon, Rosman dan beberapa orang pekerja Kamarudin & Co yang lain datang pada waktu yang dijanjikan. Mereka berkumpul untuk berbincang bagaimana untuk menumpaskan lawan mereka, pasukan bola sepak Singtel yang telah mengundang mereka untuk mengadakan perlawanan persahabatan dua minggu lagi.


“Wah Bard, Sarah pun ada!” Rosman menegur Badrul sambil menjeling ke arah Sarah.

Tell me something that I don’t know,” Badrul membalas teguran Rosman.


“Dia cantik menawan. Kalau aku jadi engkau, dah lama aku kahwin dengan dia,” Rosman menyambung, kemudian menjeling sekali lagi ke arah Sarah yang masih lagi duduk di sebuah kerusi kayu di bawah teduhan sebatang pokok yang rendang.

Sarah mempunyai potongan badan yang langsing dan berketinggian hampir enam kaki. Rambutnya yang ikal nampak cantik walau dalam apa-apa gaya sekalipun. Petang itu Sarah memakai seluar pendek, baju-T berjenama Polo dan kasut sukan Nike. Dia nampak anggun dan bergaya walaupun hanya memakai pakaian sukan.

“Kenapa engkau tak layan dia? Kasihan aku tengok dia, selalu sahaja mencuba tetapi engkau tak pernah layan,” Rosman bertanya dengan nada yang serius.

Not my type,” Badrul menjawab ringkas.

“Apa lagi yang engkau mahukan, Bard? Kita pilih perempuan kerana kecantikannya!” Rosman cuba memberi pendapat.

“Dia pernah jadi teman wanita aku tak lama dulu. Kami tak serasi,” Badrul menjawab sambil cuba menimbang bola.

“Aku tak faham, sanggup engkau lepaskan perempuan secantik itu begitu sahaja?” Rosman mengeleng-geleng.

“Kalau engkau berminat, bolehlah cuba,” Badrul menjawab lagi. Kini dia menendang bola pula.

“Bagaimana untuk mulakan? Apa yang dia suka?” tanya Rosman dengan penuh berminat sambil tersenyum. Rosman menjeling sekali lagi kepada Sarah.

“Dia suka kontrol. Engkau ikut sahaja apa yang dia mahu, pasti dia sukakan engkau,” Badrul menjawab acuh tak acuh.

“Cakaplah betul-betul, Bard. Aku betul-betul berminat ni,” ujar Rosman dengan nada tidak berpuas hati.


“Aku sudah beri nasihat, engkau tak mahu ikut pula,” Badrul mengomel.

"Semua perempuan sama, Bard. Mereka memang suka kontrol. Aku nak tahu selain daripada itu. Aku mahu tahu apa yang dia suka makan, apa hobi dia, apa cita-cita dia, dia suka lelaki yang bagaimana?”

“Hai, Bard,” satu suara lembut menyapa.

“Hai, Sarah,” Badrul menjawab sambil masih lagi cuba menimbang bola.

“Nampak macam dah habis latihan. Saya ada bawakan minuman untuk awak,” Sarah menyambung sambil menunjukkan dua botol air yang dipegangnya.

“Banyaknya peluh, Bard. Ini saya ada bawakan tuala untuk awak,” Sarah menyambung lagi sambil menghulurkan sehelai tuala kecil kepada Badrul.

“Tak mengapalah, Sarah. Saya ada minuman di sana. Saya pun ada bawa tuala di dalam beg saya,” jawab Badrul sambil menunjukkan jarinya ke arah beg yang diletakkan di hujung padang.

“Rosman ni, dia tak bawa minuman. Saya rasa dia pun terlupa nak bawa tuala. Awak berikan sahaja pada dia ya.” Badrul menyambut bola yang ditimbangnya lantas memberikan senyuman kepada Rosman.

“Saya bawakan semua ini untuk awak, Bard. Ini bukan untuk Rosman,” Sarah menjawab dengan nada tidak berpuas hati.

“Saya dah sakit kaki ni, Sarah. Rosman akan layan awak,” Badrul menjawab dan terus sahaja berlari ke hujung padang.

Rosman terpinga-pinga kerana ditinggalkan bersama Sarah. “Sarah, awak jangan ambil hati ya. Saya rasa dia memang sakit kaki tu, lama sangat berlatih hari ini. Dia betul-betul mahu memenangi perlawanan ini. Kapten Bard memang macam tu,” Rosman menyapa Sarah sambil cuba menunjukkan muka yang manis.

Sarah bercekak pinggang sambil mencebik. “Kenapa dengan Bard ni, Rosman? Saya tak faham, adakah saya tak cukup cantik untuk dia?” tanya Sarah dengan nada yang marah.

“Eh, Cik Sarah memang cantik. Tak ada cacat celanya pada pandangan mata saya,” Rosman cuba memujuk.

“Habis tu, kenapa Bard selalu sahaja menolak saya?” Sarah sudah mula menghentak kaki.

“Susah macam ni, Sarah. Saya rasa lebih baik awak cari orang lain. Ramai lagi yang masih bujang di sini. Contohnya saya,” Rosman cuba mencucuk jarum.

“Tapi saya cintakan Bard. Saya tak mahu orang lain, Rosman. Badrul Hisham adalah cinta saya semenjak dahulu lagi.” Sarah semakin marah.

“Saya pun tak tahulah, Sarah. Tak mengapa, hari ini saya temankan Sarah. Kita minum bersama. Air apa yang Sarah bawa tu?” Rosman cuba mengalihkan perhatian Sarah.

“Saya belikan air kegemaran Bard ni, Diet Coke.” Sarah menyerahkan kedua-dua botol Diet Coke kepada Rosman sambil matanya menyoroti Badrul yang sudah mula duduk di hujung padang bersama rakan-rakannya yang lain.

“Tak mengapalah. Kalau Bard tak mahu minum, kita sahajalah yang minum ya,” Rosman cuba memujuk lagi. Rosman mengambil kedua-dua botol Diet Coke itu dan membuka salah satu penutup botol.

“Nah, yang ini untuk Sarah. Sarah kena cari orang yang layan Sarah dengan baik macam saya ni,” Rosman mencuba lagi.

Sarah mengambil botol itu dan meneguk dengan penuh dendam. Ketika dia menyerahkan botol itu kepada Rosman semula, air di dalam botol itu sudah pun habis separuh. Matanya masih lagi menyoroti Badrul.

“Aku akan kembali dengan rancangan yang lebih bagus nanti. Engkau tunggu sahaja, Bard. Akhirnya aku pasti akan dapat,” Sarah mengomel seorang diri. Dia kemudian menyentap botol air yang dipegang oleh Rosman dan bergegas kembali ke tempat duduknya.

“Sarah!” Rosman menjerit memanggil nama Sarah.

- Sarah adalah watak pembantu dalam novel K-4 : Kapsul Ungu -

No comments:

Post a Comment