Jemput Baca..

Saturday, April 28, 2012

Motivasi Minggu 3 : Susahnya Menjadi Ketua!


Anda telah dipilih menjadi ketua; samada oleh pensyarah, kawan-kawan anda ataupun oleh majikan anda sendiri. Anda mempunyai  beberapa orang pembantu dalam kumpulan anda dan anda telah ditugaskan dengan satu misi yang sangat mencabar.


Minggu pertama bersama ahli-ahli kumpulan, anda sudah mula sakit kepala. Kerja tidak berjalan dengan lancar. Ahli-ahli kumpulan anda tidak bekerja mengikut jadual yang ditetapkan. Lebih buruk lagi, anda sudah mula rasa hanya ada seorang sahaja yang bekerja.
Mengapa begitu sukar untuk membuatkan semua ahli kumpulan anda untuk bekerja seperti yang diharapkan?



  • Kenali Ahli Kumpulan Anda


Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh seorang ketua pada waktu ini adalah untuk mengenali semula ahli kumpulan mereka. Walaupun mungkin anda sudah mengenali seseorang  selama bertahun-tahun sebagai kawan, itu tidak bermakna anda tahu bagaimana cara dia bekerja. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Adalah mudah untuk menuding jari kepada sesuatu kesalahan kepada ahli kumpulan anda tetapi anda juga harus sedar tidak mungkin ada ahli kumpulan yang sempurna untuk anda.  Jika anda mencari kesempurnaan, anda akan lebih tertekan akhirnya dan misi kumpulan anda tidak akan tercapai.     

  • Rombak posisi jika perlu


Selalunya ahli kumpulan bukan masalah yang sebenar. Kebanyakan orang, terutamanya yang bekerja, mempunyai niat baik untuk mencapai yang terbaik dalam kerja mereka. Cuma mungkin mereka kurang pengalaman, atau tidak mempunyai  pengetahuan yang cukup untuk menjalankan tugas yang diberi.
Setelah mengenali cara setiap ahli kumpulan anda bekerja, rombak semula posisi mereka mengikut kelebihan masing-masing.

  • Berikan masa


Beri masa ahli kumpulan anda untuk memepelajari kerja tersebut. Jika and bekerja, 3 bulan adalah masa yang cukup untuk mempelajari sesuatu kerja pada peringkat eksekutif dan 6 bulan adalah untuk peringkat pengurus.

  • Pantau dan lihat perkembangan mereka


Untuk melihat perkembangan mereka, sediakan satu sistem pemantauan yang mudah. Perlu diingat sistem pemantauan yang dicadangkan ini bukanlah bertujuan untuk menghukum mereka, tetapi untuk mencapai misi yang telah ditetapkan. Keluarkan laporan berkala untuk memudahkan anda sebagai ketua untuk melihat perkembangan kerja ahli-ahli kumpulan anda.

  • Kekalkan komunikasi positif.


Sebagai seorang ketua, anda harus mengekalkan komunikasi yang positif dengan pihak atasan. Laporan berkala yang disediakan akan lebih memudahakan anda untuk menyampaikan kepada pihak atasan dan ahli-ahli kumpulan anda sendiri mengenai penambahbaikan yang diperlukan untuk mencapai misi yang ditetapkan.

  • Beri Ganjaran


Berikan ganjaran kepada ahli kumpulan anda jika misi yang ditetapkan tercapai mengikut jadual. Ganjaran ini tidak semestinya berbentuk kewangan. Tolak ansur masa bekerja  dan khidmat nasihat percuma juga boleh dijadikan ganjaran kecil untuk meningkatkan motivasi bekerja di kalangan ahli kumpulan anda. Paling penting, anda sebagai ketua juga harus memberi ganjaran kepada diri anda sendiri. 

Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.

No comments:

Post a Comment