Jemput Baca..

Tuesday, December 7, 2010

Kemaruk - Bab 3


“Dah sampai!” selepas menarik brek tangan, Bard memandang Julia yang berada di kerusi penumpang kereta di sebelahnya. Julia nampaknya masih lagi tidak pasti.

Selepas beberapa ketika, Bard bersuara lagi.

“Saya cuma mahu awak pergi ke dalam rumah ni, cari kapsul ungu tu dan berikan pada saya. Mudah kan?”

Julia menarik nafas panjang. Mereka turun dari kereta. Sebaik sahaja tiba di pintu pagar rumah yang dicari, kaki Julia tiba-tiba terhenti. Dia terus berpusing ke belakang. Dia tidak sanggup melakukannya. Tidak! Bukan malam ini!

Bard yang berjalan di belakang Julia terus memegang kedua-dua bahunya membuatkan Julia tidak boleh berganjak.

“Cik Julia?” satu suara tiba-tiba menyapa mereka dari bahagian dalam pagar rumah. Hati Julia semakin berdebar-debar. Dia sudah tahu dia tidak boleh berpatah balik lagi. Julia memandang ke dalam mata Bard untuk mendapatkan kekuatan. Bard membalas pandangan mata Julia dengan penuh keyakinan. Julia berpusing dan Bard terus menghilangkan diri sebelum Fatin sempat melihatnya.

“Cik Fatin, saya Julia,” Julia membalas penuh dengan senyuman yang agak pahit. Julia menghulurkan tangannya kepada Fatin. Fatin menyambut tangan Julia dengan sambutan yang kasar, mungkin tidak begitu ikhlas.

“Kita berdua berbincang di dalam,” Fatin kemudian mengajak Julia masuk ke dalam rumah. Julia masih teragak-agak.

“Anak saya ada di dalam, saya tak boleh tinggalkan. Itulah sebabnya kita terpaksa berbincang di rumah ini juga.” Kata-kata Fatin dirasakan agak terburu-buru.

Rumah Fatin dirasakan agak tidak teratur. Sebuah tilam dibentang di ruang tamu rumah. Seorang bayi sedang nyenyak tidur berbedung kain batik lepas bergerak-gerak sedikit, mungkin dapat merasa kehadiran orang asing di rumahnya. Seorang kanak-kanak perempuan, mungkin berumur 4 tahun tiba-tiba keluar dari bilik bersama botol susu menerpa ke arah ibunya.

Fatin terpaksa memulakan perbincangan bersama anaknya yang baru terjaga dari tidur itu. Menurut Fatin, Asri sudah lebih sebulan berada di luar negara tetapi tidak pernah menelefonnya. Dia sepatutnya pulang beberapa hari lepas. Memang sudah menjadi kebiasaan Asri pergi ke luar negara untuk menghadiri konvensyen teknologi molekular di serata dunia, dihantar oleh syarikat tempat kerjanya, Lombard Lab and Pharmaceuticlas. Asri adalah salah seorang pakar teknologi molekular di syarikat tersebut.

Sejak kebelakangan ini, Fatin selalu berasa curiga terhadap Asri. Asri selalu mendapat panggilan telefon pada waktu selepas tengah malam dan dia akan selalu menjawab telefonnya itu di dalam tandas.

Darah Julia tersirap! Mungkin Asri juga menerima ugutan sepertinya!

Fatin terpaksa berhenti seketika kerana anak perempuannya sudah terlelap di pangkuannya. Dia meletakkan anaknya itu ke atas tilam yang dibentang di ruang tamu.

Julia tidak pasti sama ada dia patut menerangkan perkara sebenar kepada Fatin atau tidak. Telefon bimbit Julia mula berbunyi. Bard yang menelefonnya. Masa setengah jam sudah hampir tamat dan Bard mahu tahu perkembangan perbincangan tersebut. Julia menarik nafas panjang.

“Fatin, saya perlu menyambung kajian Asri. Saya adalah pembantu makmal untuk projek Kapsul Ungu, diketuai oleh Asri. Saya cuba menghubungi Asri tetapi dia memang tidak dapat dihubungi. Ketua jabatan saya mahu saya memeriksa jika cakera padat kepunyaan Lombard Lab ada ditinggalkan disini. Kalau boleh saya nak periksa bilik kerjanya.” Julia cuba mendapatkan simpati Fatin.

“Bolehlah, bilik di hujung sana,” Fatin menuding jarinya kearah sebuah bilik yang berdekatan. Tiba-tiba bayi kecil yang dilihatnya tadi menangis. Fatin terpaksa membiarkan Julia memeriksa bilik itu berseorangan.

Julia lekas-lekas mencari cakera padat yang diingininya dan sampel kapsul ungu yang dikehendaki oleh Bard. Cakera padat itu berada betul-betul di atas meja. Mudah mencarinya, cuma yang agak sukar, sampel kapsul ungu.

Julia tahu perangai Asri. Setiap kajian yang dilakukannya, dia pasti akan menyimpan sampel produk terakhir di rumahnya sebagai insurans. Sekiranya apa-apa berlaku, pengetahuan membina semula produk kajiannya boleh digunakan dalam banyak situasi.

Julia meneliti meja kerja Asri sekali lagi. Julia terlihat satu cawan termos kepunyaan Asri. Dia masih ingat lagi cawan termos itu tidak pernah ditinggalkannya di makmal. Dia pernah berpatah balik ke makmal satu hari, semata-mata untuk mengambil semula cawan termos itu, walaupun sudah sampai ke rumah.

Julia mengambil cawan termos tersebut. Konsep biasa sebuah termos, ada ruangan kosong di antara permukaan dalam dan permukaan luar, sebagai penebat pengaliran haba. Julia menarik bibir cawan yang berwarna hitam, menanggalkannya dari badan cawan, untuk melihat ruangan kosong tersebut.

Seperti dijangka! Beberapa biji kapsul seperti ubat, berwarna ungu kelihatan memenuhi ruangan kosong tersebut. Tempat persembunyian yang bijak dan paling tidak dijangka!

Inilah sampel terakhir projek Kapsul Ungu selepas projek itu ditamatkan sebulan lalu. Kajian ini telah tiba-tiba ditamatkan oleh Lombard Lab tanpa sebarang alasan yang kukuh.

“Julia, dah jumpa?” Fatin tiba-tiba bersuara dari pintu bilik. Lekas-lekas Julia memasukkan cawan termos itu ke dalam beg tangannya.

“Jumpa!” Julia menunjukkan cakera padat yang mempunyai logo Lombard Lab kepada Fatin.

Julia kemudian mengucapkan terima kasih dan meminta diri untuk pulang. Julia sudah berjanji untuk menyerahkan sampel terakhir kapsul ungu itu kepada Bard. Julia sebenarna mencurigai Bard sejak mula lagi, jika projek Kapsul Ungu telah diharamkan, mengapa seorang lelaki bernama Bard yang mengaku menjadi peguam mahu mendapatkannya. Julia masih belum mendapat sebab yang lojik!

Walau apapun, Bard nampaknya tidak pernah berbicara mengenai cakera padat yang paling diingini oleh Julia. Cakera padat itu mengandungi semua kajian mengenai projek “Kapsul Ungu”, pada Julia ia lebih berharga.

Walau bagaimanapun hatinya berasa sangat selesa bersama Bard. Bard mempunyai daya tarikan tersendiri. Walaupun raut mukanya nampak bengis, tetapi pandangan matanya sentiasa nampak ikhlas.

Julia kembali ke keretanya. Dalam kegelapan malam, dia nampak kelibat seorang lelaki yang sedang mengacukan sepucuk pistol ke kepala Bard. Julia terpaku!

No comments:

Post a Comment