Jemput Baca..

Tuesday, December 7, 2010

Kemaruk - Prolog


“Nama aku Badrul Hisham, panggil saja Bard.” Bard menghulurkan tangan kepada Rafael. Rafael tidak menyambut tangannya. Dia hanya tersenyum.

“Bard! Bagus nama tu. Sesuai untuk kerja-kerja yang akan engkau buat nanti,” ujar Rafael tanpa menghiraukan kata-kata perkenalan yang cuba disampaikan oleh Bard. Bard menarik tanganya kembali.

Itulah pertemuan pertama Bard dengan Rafael, seorang lelaki berumur 40an yang mempunyai empayar kongsi gelap yang masih lagi belum dihidu polis selama hampir sepuluh tahun. Bard menjadi pembantu peribadi Rafael dan akhirnya selepas berkhidmat selama 5 tahun, dengan rekod kecemerlangan, Bard telah menjadi orang nombor 2 kumpulan Kemaruk Hitam, orang yang paling dipercayai oleh Rafael, mengalahkan anaknya sendiri, Randi.

Bard tahu, banyak kali Randi terasa hati dengan bapanya kerana dia lebih mementingkan Bard dalam semua rancangannya.

Pilih kasih!

Itulah perkataan yang sering didengarnya daripada mulut Randi kerana dia tidak setuju dengan kedudukan Bard dalam kumpulan Kemaruk Hitam. Bard hanya membisu. Adakalanya dia juga tidak bersetuju dengan cara Rafael melayan anaknya, tidak memberi kepercayaan kepada Randi untuk menguruskan sebarang rancangan seorang diri tanpa pengawasan Bard, tetapi dia pernah melihat sendiri beberapa rancangan Kemaruk Hitam yang hampir musnah kerana angkara Randi yang tidak berpengalaman.

Ini adalah perniagaan kongsi gelap. Satu kesilapan kecil, bermaksud Empayar Kemaruk akan hancur!

Berada di dalam kumpulan Kemaruk Hitam bukanlah rancangan jangka panjang untuk Bard. Selama lima tahun, beratus-ratus kali dia rasa mahu keluar sahaja dari kumpulan ini, pulang semula ke jalan yang diredhai Allah, melakukan kerja-kerja halal, dan setiap kali timbul perasaan itu dia akan meluangkan masa untuk mencari bukti-bukti yang boleh membersihkan semula namanya. Dia telah dituduh membunuh ibunya sendiri walaupun bukan dia yang melakukannya. Dia terpaksa lari dan hidup dalam buangan. Sehingga dia cukup bukti, berada di dalam kumpulan Kemaruk Hitam adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan dirinya untuk sementara waktu.

***************************

“Kapsul Ungu, tugas terbaru!” Rafael menyerahkan sebuah sampul surat berwarna coklat kepada Bard. Bard masih duduk sambil memegang tangannya yang masih berbalut, luka kerana ditikam dengan pisau semasa pergaduhan tadi. Nyawanya hampir melayang.

Bard membuka sampul surat itu dengan perlahan, menyusun beberapa buah gambar di atas meja. Seorang gadis berambut ikal dan seorang lelaki berumur, kedua-duanya memakai baju makmal berwarna putih.

“Kalau tugasan membunuh, aku tak akan lakukan,” dengan bersahaja Bard menolak semula gambar-gambar itu kepada Rafael. Dia menarik badannya dan bersandar ke sofa. Pandangannya dilemparkan ke luar tingkap. Bard tidak mahu dipujuk untuk melakukan tugasan membunuh.

“Engkau adalah yang terbaik dalam Kemaruk Hitam. Engkau kena ambil alih kumpulan ini satu hari nanti. Untuk tugasan ini akau mahu engkau yang jadi mastermind. Engkau buat keputusan siapa yang akan lakukan kerja-kerja ini.” Suara Rafael keras memberi arahan. Bard memandang Rafael sambil mengambil nafas panjang.

Rafael terus sahaja memulakan perbincangan tanpa menghiraukan perasaan Bard. Tugasan kali ini dibayar oleh seorang pelanggan bernama Mr M. Dia mahu sejumlah kapsul berwarna ungu diambil dari tempat persembunyian dan diserahkan kepada Mr M dalam masa 3 minggu. Cuma masalah yang paling besar ialah Mr M tidak tahu di mana kapsul-kapsul itu disembunyikan.

“Habis tu? Macamana nak ambil benda yang kita tak tahu tempatnya?” Bard menggeleng-gelengkan kepala.

Rafael menyambung lagi perbincangannya. Satu kajian bernama “Kapsul Ungu” telah dimulakan oleh makmal Lombard Lab. Hasilnya adalah sejenis ubat berbentuk kapsul berwarna ungu.

“Malangnya kajian ini telah dihentikan dan sampel terakhir ubat ini ada bersama Asri.” Rafael mengambil gambar yang ditunjukkan kepada Bard tadi dan menuding ke arah lelaki berumur yang memakai baju makmal berwarna putih.

“Asri telah hilang hampir sebulan lalu selepas menghadiri satu perbincangan yang diuruskan oleh Lombard Lab di Sweden.” Mulut Rafael kemudian berhenti seketika. Bard memandang muka Rafael. Kini Bard mula faham. Randi tidak bagus dalam hal-hal penyiasatan dan Rafael pula hanya mahir dalam hal-hal peras ugut. Hanya Bard yang selalunya berjaya menangani client yang mahukan penyelesaian yang lebih sofistikated.

“Berapa bayarannya?” Bard bertanya.

“200 ribu. Dollar Amerika.” Rafael membisikkan dengan perlahan angka yang dipersetujui oleh Mr M. Bard ketawa kecil. Matanya mula bersinar kembali. Sakit di tangannya dirasakan sudah hilang Rafael juga mula ketawa kecil, mengikut rentak ketawa Bard. Rafael tahu Bard sudah mula bertukar fikiran.

Kedua-dua mereka mula meneliti semua bahan-bahan yang dihantar oleh Mr. M. Dengan bayaran 200 ribu Dollar Amerika, tugas ini nampak mudah. Asri mempunyai seorang isteri bernama Fatin dan dua orang anak. Menurut Mr M, Fatin tidak tahu dimana kapsul itu disorok. Julia, gadis yang berambut ikal yang dilihat oleh Bard di dalam gambar tadi adalah pembantu makmal Asri dan telah diberhentikan oleh Lombard Lab dari kajian “Kapsul Ungu”.

Bard melihat dengan teliti gambar Julia. Mukanya bujur sirih dan pandangan matanya redup. Sekali imbas Julia menyerupai Natasha, gadis yang terpaksa dibunuh oleh Randi untuk menyelamatkan kumpulan Kemaruk Hitam beberapa tahun lepas. Gadis yang pernah bertakhta di hatinya suatu ketika dulu!

Nalurinya mula memberontak kembali. Bard tidak suka kerja-kerja yang dilakukannya sekarang. Dia berharap ini adalah tugasan terakhir yang dia akan lakukan.

Bard meneliti semua maklumat mengenai Julia; rumah, nombor telefon, tempat kerja, makanan kegemaran, hobi dan semuanya. Sebagai bekas pembantu Asri, setidak-tidaknya Julia pasti tahu serba sedikit tentang kapsul ungu dan kebiasaan-kebiasaan Asri Dia perlu mengetahui semua mengenai Julia untuk mendapatkan kepercayaan Julia. Julia adalah kunci kepada tugasan terbaru dan terakhirnya itu!

Bard mula berfikir apakah cara terbaik untuk mengenali Julia…

No comments:

Post a Comment