Jemput Baca..

Tuesday, December 7, 2010

Kemaruk - Bab 7


"Natasha adalah assignment pertama saya," agak susah Bard meluahkan kata-kata tersebut. Bard diam sebentar menenangkan hatinya yang luka. Sudah hampir lima tahun cerita itu tersimpan di hatinya. Julia mendengar dengan penuh minat.

Manurut Bard, semasa dia diterima masuk ke dalam kumpulan Kemaruk Hitam, Rafael telah menubuhkan sebuah pasukan bergelar K-1 yang terdiri daripada dirinya, Rajan dan Benji Lee. Ketiga-tiga mereka mempunyai kepakaran masing-masing ; Bard dalam bidang guaman, Rajan dalam bidang senjata dan Benji pula dalam bidang teknologi.

Natasha adalah seorang penterjemah bagi sebuah syarikat yang membina kapal-kapal laut bersenjata termasuk kapal selam, beribu pejabat di Perancis. Natasha menguasai beberapa bahasa; Bahasa Malaysia, Bahasa Hindi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis. DC Arms yang menjadi majikannya telah menugaskan Natasha untuk menjadi jurubahasa dalam proses rundingan jualbeli barangan mereka.

Natasha telah berjaya menjual kapal-kapal bersenjata DC Arms kepada beberapa negara; Pakistan, India dan Malaysia. Rundingan jualbeli yang diusahakan oleh Natasha melibatkan dana kerajaan setiap negara yang bernilai berbillion-billion dollar.

"Masalah bermula dengan Pakistan, 12 orang jurutera kapal DC Arms telah terbunuh dalam satu letupan bom di Karachi dan beberapa orang lagi pegawai-pegawai DC Arms telah terbunuh di Taiwan. Pada mulanya kes ni dianggap sebagai kebetulan, tetapi atas desakan beberapa pihak, kerajaan Perancis telah menjalankan siasatan yang lebih terperinci mengenai urusan jualbeli yang dilakukan oleh Natasha," Bard menghela nafas panjang sebelum menyambung ceritanya.

"Hasil siasatan awal menunjukkan Natasha telah menjanjikan komisen bernilai jutaan ringgit kepada pegawai-pegawai tentera yang terlibat dalam proses jualbeli tersebut!" Bard menyambung ceritanya. Julia mendengar dengan lebih tumpuan.

"Lebih parah lagi, undang-undang Kerajaan Perancis menganggap urusan perniagaan DC Arms yang melibatkan pembayaran komisen ini sebagai rasuah dan DC Arms mungkin akan didakwa," Bard memandang Julia.

"Jadi DC Arms upah K-1 untuk hapuskan Julia dan segala bukti yang ada?" Julia membuat tekaan.

"Saya sebenarnya tak tahu siapa yang upah kami. Hanya Rafael yang tahu. Mungkin juga kerajaan Pakistan, India atau Malaysia. Mereka juga tidak mahu perkara ini terbongkar," jawab Bard.

"Kerja saya mudah. Saya cuma perlu berada di sisi Natasha, dapatkan kepercayaanya dan cari rekod-rekod yang boleh dijadikan bukti. Kemudian hapuskan semuanya, termasuk Natasha!" ketika ini sudah nampak manik-manik air di mata Bard.

"Tapi?.." Julia bertanya.

"Tapi saya jatuh cinta!" Bard membuat pengakuan. Menurut Bard, kerja pembunuhan Natasha terpaksa diambil alih oleh Randi. Kerana rasa bersalah dihatinya, Bard telah memastikan anak Julia, Syafik berumur 6 tahun, dihantar ke Rumah Anak-Anak Yatim Hijrah. Dia juga telah membiayai sepenuhnya pengajian dan sara hidup Syafik sehingga sekarang.

Julia nampak keikhlasan di mata Bard.

Telefon bimbit Bard tiba-tiba berbunyi. Bard terus menjawab.

"Ok!" seperti menerima arahan, Bard terus sahaja meletakkan telefon. Julia terpinga-pinga.

"Ada kenderaan akan ambil kita di Terminal Bas Singapura," Bard memberitahu Julia. Julia cuma mengangguk.

"Awak patut tidur. Ambil masa untuk rehat. Masih ada 3 jam perjalanan," Bard menasihati Julia. Julia mengubah kedudukan sandar kerusi yang didudukinya dan mula melelapkan mata.

* * *

Bard dan Julia menaiki sebuah van berwarna hitam yang disediakan oleh Mr M untuk pertemuan mereka. Mereka diiringi oleh empat orang lelaki berbadan sasa dan berpakaian serba hitam. Semasa di dalam van, kedua-dua mata mereka ditutup dengan kain hitam.

Hampir dua puluh minit mata mereka ditutup. Walaupun mata Bard tertutup, deria-deria lainnya masih terbuka. Selepas keluar dari jalanraya utama, van ini telah melalui satu kawasan yang becak dan kemudian naik ke tempat yang agak berbukit.

Setelah berhenti, seorang salah seorang lelaki bersama mereka tadi menarik lengan Bard dan membawanya berjalan. Dia dapat mendengar suara Julia yang menjerit sedikit di sebelahnya. Bard dan Julia kemudiannya diarahkan duduk dan mata mereka dibuka.

Bard dan Julia menggosok-gosok mata mereka seketika. Seorang wanita keturunan Cina memakai cheongsam berwarna merah masuk ke dalam bilik itu dan duduk di hadapan Bard dan Julia, cuma dipisahkan oleh sebuah meja panjang. Dia memakai set mikrofon kecil yang disambungkan ke telinga kirinya. Dia juga memakai sarung tangan getah yang selalu dipakai oleh pakar-pakar bedah di hospital.

"Kapsul Ungu? " Wanita Cina ini menadah sebelah tangannya seolah-olah meminta Kapsul ungu diletakkan di atas tangannya. Julia mengeluarkan termos kecil yang dibawanya dan menyerahkannya kepada Bard. Bard mengambil termos kecil itu daripada Julia.

"Saya mahu lihat wang bayaran dahulu," Bard meletakkan termos kecil itu di atas meja tanpa melepaskan pegangannya. Wanita Cina itu memanggil seseorang melalui mikrofonnya. Seorang lelaki Cina masuk ke dalam bilik itu membawa sebuah komputer riba dan duduk di sebelahnya.

"Ricky akan buat pemindahan ke akaun offshore atas nama awak, seperti yang awak pinta," wanita Cina itu memberitahu. Sejurus kemudian dua orang lelaki yang memakai baju makmal masuk ke dalam bilik, berdiri di belakang wanita Cina itu.

"Sementara itu saintis saya akan memeriksa kandungan termos itu," wanita Cina itu memberi isyarat kepada kedua-dua lelaki yang memakai baju makmal itu untuk mengambil termos yang dipegang oleh Bard. Bard memandang kedua-dua mereka dengan pandangan yang tajam sebelum melepaskan pegangannya.

"Mereka membuka termos kecil itu, mengeluarkan beberapa biji kapsul ungu dan memasukkannya ke dalam sebuah tabung uji kecil yang mereka bawa bersama. Kedua-dua saintis itu kemudian keluar dari bilik itu.

"Mereka perlukan 20 minit," ujar wanita Cina itu lantas keluar dari bilik itu mengikuti kedua-dua saintis itu tadi. Bard dan Julia berpandangan. Bard kemudian melihat ke sekelilingnya, ada empat orang bersenjata di belakang mereka, semuanya berbadan sasa. Ricky yang memegang komputer riba itu bertubuh kecil. Bilik itu mempunyai dua jendela bercermin. Melalui jendela itu Bard dapat melihat daun-daun pokok palma. Dalam perkiraan Bard, mereka berada di tingkat dua atau tingkat tiga bangunan itu, tidak begitu tinggi. Dia dan Julia boleh terjun dari jendela itu jika keputusan saintis itu tidak seperti yang dijangkakan.

No comments:

Post a Comment