Jemput Baca..

Tuesday, December 7, 2010

Kemaruk - Bab 6


"Kenapa kita kena naik bas?" tanya Julia sambil menunjukkan mimik muka yang tidak puas hati. Bard menyimpan semula tiket bas yang baru sahaja dibelinya tadi.

"Business coach. Bukan bas biasa. Naik kapal terbang atau naik kereta lebih mudah dijejak. Kalau naik bas ekspres susah untuk mereka cari," Bard memujuk Julia.

"Cuma 6 jam perjalanan ke Singapura. Kita akan sampai pukul lebih kurang 6.00 pagi nanti," Bard memujuk Julia sambil memerhati di sekeliling kawasan Terminal Bas Puduraya. Bard telah meletakkan keretanya lebih kurang 20 km daripada kawasan Terminal Bas Puduraya dan mengambil teksi untuk datang ke situ, untuk mengelirukan semua pihak yang mencari mereka. Pandangan Bard terhenti sekali lagi pada Julia. Julia binti Dr Gufran. Mungkin dalam masa 5 tahun lagi nama gadis ini akan menjadi Dr Julia binti Dr Gufran. Dr Gufran adalah seorang pakar virus yang berasal dari Iran dan ibunya pula adalah rakyat Malaysia, seorang pakar bedah yang bertugas di Dubai. Mimik muka Julia masih lagi masam mencuka.

"Nampaknya awak terpaksa tidur sebelah dengan saya malam ni!" Bard tersenyum, sengaja mengusik sambil menghulurkan sebotol air mineral kepada Julia. Masih ada 45 minit lagi masa sebelum bas akan berlepas.

"Jangan harap! Saya takkan tidur!" pantas Julia menyentap botol air mineral daripada tangan Bard. Julia duduk agak berjauhan daripada Bard sambil mengogok air mineral.

Bard mengambil masa beberapa minit untuk merehatkan fikirannya. Fikirannya melayang seketika, berfikir semula mengenai orang-orang yang penting dalam hidupnya. Bard mencapai telefon bimbitnya, menatap beberapa gambar yang selalu dilihatnya pada waktu-waktu senggang seperti ini. Gambar Natasha bersama anak lelakinya, Syafik. Gambar ibunya yang bernama Maria. Gambar Syafik di Asrama Anak-Anak Yatim Hijrah. Gambar Natasha ketika mereka bercuti ke Kepulauan Maldives.

"Awak ada anak dan isteri. Cantik isteri awak," suara Julia kedengaran dari sisi kanan kepalanya. Julia terus duduk di sebelah kanan Bard dan cuba menarik tangannya untuk melihat gambar-gambar yang terkandung di dalam telefon. Julia kemudian terus mengambil telefon bimbit itu dari tangan Bard. Entah mengapa ketika bersama Julia hatinya menjadi lembut. Dia membiarkan sahaja Julia membelek-belek telefon bimbitnya.

"Kenapa anak awak ada di rumah anak-anak yatim?" Julia bertanya.

"Bukan anak saya, anak Natasha." jawab Bard.

"Jadi nama isteri awak Natasha?" Julia bertanya lagi.

"Bukan isteri saya," Bard menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Girlfriend awak?"

Tanpa menjawab pertanyaan Julia, Bard merampas telefon bimbitnya kembali. Mereka tiba-tiba dikejutkan oleh satu pengumuman untuk memanggil penumpang-penumpang yang telah membeli tiket untuk perjalanan ke Singapura. Bard dan Julia bergegas menaiki bas di terminal bas yang diumumkan.

"Mr M akan jumpa kita di Singapura dan awak akan dapat bayaran?" Julia bertanya dengan nada berbisik sebaik sahaja mendapat tempat duduk.

"Dan saya akan bagi awak 30 peratus" Bard terus menjawab.

"Dan selepas itu awak tak akan jumpa saya lagi. Saya berjanji!" Bard menyambung kata-katanya selepas diam beberapa saat. Julia memandang Bard dengan satu pandangan yang tidak boleh ditafsirkan.

"Apa awak akan buat selepas terima bayaran tu?" Julia bertanya, kali ini Bard dapat merasakan pertanyaannya bukan untuk mengejek seperti selalu, tetapi penuh nada ikhlas. Bard mengambil semula telefon bimbitnya dan membuka semula gambar-gambar yang dilihatnya tadi. Bard menunjukkan satu gambar seorang wanita yang sudah lanjut umur kepada Julia.

"Ini arwah ibu saya, dia tinggal di Geylang. Dia telah dibunuh. Saya telah berjaya mencari pembunuhnya yang sebenar dan semua bukti yang diperlukan. Saya akan bawa semua bukti kepada polis dan saya akan sambung kembali profesion guaman saya. Saya akan tinggal di Singapura." Bard memberi penjelasan.

"Awak memang betul seorang peguam?" Julia agak terkejut.

"Harvard Law School, magna cum laude, the best 10% of the class," Bard menyambung. Julia tersenyum kehairanan.

"Bagaimana awak boleh datang ke Kuala Lumpur dan terlibat dengan penjahat-penjahat ni?" Julia bertanya. Bard diam sejenak, berfikir samada dia perlu menjawab soalan tersebut. Hari ini adalah hari terakhir dia akan bersama Julia. Randi sudahpun mengambil alih tampuk kuasa Kemaruk Hitam dan dia sudahpun keluar dari kumpulan itu. Semua masalahnya hampir selesai.

"Awak tak akan jumpa saya lagi selepas ini. Sekurang-kurangnya, buatkan saya faham situasi awak!" Julia memujuk. Hati Bard tersentuh, kata-kata yang hampir sama pernah diucapkan oleh Natasha dulu. Personaliti, perlakuan dan cara berfikir Julia hampir-hampir menyerupai Natasha. Saat itu Bard membuat keputusan, dia mahu menceritakan segala-galanya kepada Julia.

Sebaik sahaja Bard kembali ke Singapura setelah menamatkan pelajarannya, dia telah ditugaskan untuk menjadi seorang peguam pelatih di salah satu firma guaman yang terkemuka di Singapura. Kes pertamanya adalah sebuah syarikat farmasi, Neutron Pharmaceuticals, yang telah disaman kerana telah menyebabkan kematian beberapa orang pesakit kerana kandungan ubat yang mempunyai campuran komposisi yang salah dalam salah satu "batch" ubat keluaran mereka. Ada banyak perkara yang telah berlaku antara Bard dan syarikat farmasi yang diwakilinya sehingga mereka tidak mempunyai hubungan yang baik.

Pada satu hari dia telah menemui ibunya mati di rumahnya sendiri. Dia telah dituduh membunuh ibunya sendiri tetapi tidak ada bukti kukuh yang boleh mensabitkan kesalahannya. Kerana kejadian itu, dia telah digantung kerja dan syarikat farmasi itu telah diwakili oleh seorang peguam lain. Kejadian itu telah memusnahkan kariernya sebagai seorang peguam. Beberapa orang suruhan syarikat farmasi itu juga pernah cuba membunuhnya.

Bard kemudian berpindah ke Kuala Lumpur dan bertemu dengan Rafael untuk meminta bantuan. Bapa Bard, yang juga seorang peguam pernah melepaskan Rafael daripada beberapa pertuduhan jenayah di Singapura. Semenjak hari itu, Rafael telah menjaga Bard seperti anaknya sendiri.

"Natasha dan Syafik?" Julia bertanya selepas Bard habis bercerita mengenai apa yang berlaku di Singapura. Bard memandang Julia. Airmatanya mula bergenang.

"Natasha... dia tak bersalah!" Bard meletakkan tangan kirinya ke mukanya, menutup kedua-dua matanya. Hatinya sebak setiap kali sesiapa bertanya mengenai Natasha. Julia menyentuh tangan kanan Bard dengan perlahan, cuba menenangkan Bard. Julia membiarkan Bard melayani perasaannya seketika.

"Natasha terbunuh kerana salah saya.." Bard mengesat airmata yang keluar. Dia akan menceritakan segala-galanya kepada Julia sebentar lagi, sebaik sahaja rasa sebaknya hilang.

No comments:

Post a Comment