Jemput Baca..

Tuesday, December 7, 2010

Kemaruk - Bab 5


Julia cepat-cepat mengambil beberapa biji Kapsul Ungu yang berada di tangan Bard lalu meletakkannya semula ke atas meja. Dia menarik tangan Bard ke arah sinki dapur dan melalukan air paip ke arah kedua-dua tangan Bard. Tangan Bard terasa sedikit pedih, bagaikan ada rasa terbakar di kedua-dua tapak tangannya.

"Tangan saya rasa terbakar!" Bard memberitahu Julia.

"Saya tahu, jangan risau, saya akan rawat awak!" kata-kata Julia meredakan perasaan Bard. Julia mengambil sebuah botol Dettol yang tersimpan di dalam kabinet bawah sinki tersebut dan mambancuh setengah penutup larutan Dettol ke dalam sebuah mangkuk yang diisi dengan air panas. Julia mengambil tuala dapur yang bersih, merendamkannya ke dalam larutan tersebut dan menyapu kepada kedua-dua tangan Bard. Rasa terbakar itu berkurangan sedikit selepas beberapa kali Julia menyapu tangannya.

"Biarkan beberapa jam, awak akan rasa ok nanti," Julia membuang larutan tersebut ke dalam sinki.

"Apa sebenarnya Kapsul Ungu ni Julia? Racun? Dadah? Bahan penghakis?" Setelah apa yang berlaku Bard benar-benar mahu tahu apa sebenarnya Kapsul Ungu.

Julia mula bercerita mengenai latar belakang Asri. Asri sebenarnya adalah anak kepada seorang saintis Russia bernama Dr Dimitri Koslov, bertugas di Biopreparat, sebuah agensi pembinaan senjata biologi Soviet Union. Dr Dimitri adalah salah seorang saintis yang mengkaji pembinaan Anthrax sebagai senjata biologi. Bangunan Biopreparat terletak di kawasan yang bergelar Sverdlovsk tetapi sekarang telah ditukar nama kepada Yekaterinburg. Tidak ada sesiapa yang tahu mengenai Biopreparat sehingga satu kejadian - Kebocoran Debu Anthrax Sverdlovsk, 1979. Debu Anthrax yang diproses di makmal Biopreparat telah terlepas keluar dari makmal dan dibawa angin ke sebuah kilang seramik yang berdekatan. Dalam masa seminggu, kesemua pekerja shif malam yang kesemuanya lelaki telah menemui ajal. Kes ini cuba ditutup dan semua rekod-rekod telah dimusnahkan kerana ditakuti kes ini melanggar perjanjian "Biological Weapons Convetion 1972" yang telah ditandatangani oleh Russia di mana beberapa negara ini telah berjanji tidak akan merancang, membina dan menyimpan stok bakteria yang boleh dijadikan senjata biologi.

Semasa kejadian ini berlaku, Dr Dimitri telah menghantar isteri dan anaknya ke Singapura bersama-sama dengan nota-nota kajiannya. Isterinya adalah rakyat tempatan Singapura. Nama sebenar Asri adalah Arkhip Koslov tetapi ibunya telah menukar namanya kepada Asri selepas kejadian itu.

"Jadi Kapsul Ungu ini adalah debu Anthrax?" Bard bertanya.

"Bukan Bard, jangan risau," Julia memeriksa sekali lagi tangan Bard lantas menyambung ceritanya.

"Anthrax adalah antara senjata biologi yang paling efektif kerana ia membiak melalui spora ringan yang boleh dibawa angin. Oleh itu penyebaran Anthrax boleh dilakukan melalui angin atau dipakej menjadi aerosol. Apabila masuk ke dalam sistem pernafasan manusia, ia akan menyebabkan kematian dalam masa 7 hari. Tanpa rawatan atau vaksin, kadar kematian adalah 90%," sambung Julia. Dia memeriksa kembali komputer riba yang mengandungi semua kajian-kajian Asri.

"Manurut nota Asri, debu Anthrax yang dicipta oleh bapanya digelar Kapsul Biru. Kapsul Ungu adalah antidot atau penawar kepada racun yang dikeluarkan oleh bacillus anthracis, bakteria Anthrax." ucap Julia. Bard menarik nafas lega. keadaan senyap seketika.

"Maksudnya sesiapa yang mahukan Kapsul Ungu mungkin telah terkena jangkitan Anthrax!" Bard membuat kesimpulan. Mungkin itulah sebabnya Mr M sanggup menegeluarkan beratus ribu dollar untuk mendapatkan Kapsul Ungu, penawar Anthrax.

"Tetapi kapsul ini tidak boleh dibiarkan dalam keadaan suhu bilik. Rasa terbakar yang awak rasa tadi maksudnya kapsul ini sudah terlalu lama terdedah kepada suhu bilik. Awak perlu perlu rendahkan suhunya. Kalau tidak ia akan rosak dan tidak boleh digunakan langsung," Julia membuka sarung tangannya seolah-olah kerjanya telah selesai.

"Julia, awak kena bantu saya. Saya perlu bawa kapsul ini ke Singapura dalam keadaan sempurna," Bard merayu kepada Julia. Julia tidak mengendahkan kata-kata Bard, terus menuju ke singki untuk membasuh tangannya.

"Saya akan bayar awak! Berapa sahaja awak mahu!" Bard membuat tawaran.

"30% daripada apa yang awak dapat sebagai bayaran!" Julia menjawab pantas. Bard terkejut.

"Apa maksud awak?" Bard bertanya kembali.

"Jangan tipu saya lagi Bard, awak bukan peguam! Awak bergerak bagaikan seorang komando semasa berlawan di lorong itu semalam. Dan kapsul ini, hanya orang yang betul-betul mempunyai wang yang banyak akan mengupah seorang komando seperti awak untuk mendapatkan kapsul ini." Julia memandang Bard dengan pandangan yang tajam.

"30% terlalu banyak Julia, bayaran saya tidak begitu banyak!" Bard cuba menurunkan harga.

"Takpe, awak buat sendiri," Julia mencampakkan sarung tangannya ke atas meja dan keluar dari kawasan dapur.

"Ok. 30%. Deal!" Bard menarik lengan Julia agar masuk semula ke ruang dapur.

"Macam tulah!" Julia tersenyum dan masuk semula ke ruang dapur. Sebaik sahaja Julia habis berkata-kata, dia membuka semua kabinet dapur seolah-olah mencari sesuatu. Julia tiba-tiba terhenti apabila dia melihat sebuah termos kecil di dalam sebuah kabinet yang agak berjauhan.

"Kita akan gunakan termos ini!" Julia menunjukkan termos kecil itu kepada Bard. Bard membiarkan sahaja Julia menyambung kerjanya. Dia perlu berfikir apakah jalan yang paling selamat untuk sampai ke Singapura esok tanpa dijejak.

No comments:

Post a Comment