Wednesday, September 12, 2012
Tuesday, September 11, 2012
Thursday, August 9, 2012
Motivasi Minggu 10 : Keajaiban Sebuah Kesyukuran
Apakah maksud sebenar kesyukuran pada anda?
Bagi saya, kesyukuran bermaksud rasa berterima kasih dengan rezeki yang datang walaupun sedikit dan menghargai detik-detik gembira dalam kehidupan walaupun sekejap. Hidup anda mungkin banyak masalah; suami atau isteri yang tidak begitu memahami apa yang anda perlukan, ibu bapa yang tak pernah bertanya apa minat anda, guru yang tidak pernah nampak kelebihan anda, majikan yang tak pernah nampak usaha anda dan banyak lagi jika anda betul-betul mahu melihat hidup ini dari segi masalah.
Cuba tukar pandangan anda seketika. Fikirkan rezeki yang telah anda dapat atau waktu-waktu gembira yang telah anda lalui. Anda berjaya mendapat markah tertinggi dalam kuliah anda, ada orang yang mahu membeli kereta anda dan anda boleh membeli kereta baru, majikan anda akhirnya mahu menaikkan gaji anda sedikit. Untuk seketika ucapkan Alhamdulillah.
Seterusnya, fikirkan perkara-perkara yang lebih mudah yang anda lalui setiap hari; anda bangun tidur dan kaki anda masih boleh berjalan, anda terlambat masuk ke kuliah dan kawan-kawan anda masih mahu berkongsi nota, anda pulang ke rumah dan suami atau isteri anda masih tersenyum pada anda. Untuk perkara-perkara ini juga, walaupun nampak kecil, ambil masa seketika dan ucapkan Alhamdulillah.
Apa kelebihannya bersyukur sebegini?
Anda akan mula kurang berfikir mengenai perkara-perkara negatif dalam hidup anda. Dengan bersyukur, fikiran anda menjadi semakin positif. Anda mula berfikir tentang rezeki dan kebaikan yang berlaku dalam hidup anda. Pemikiran yang positif menarik perkara-perkara yang positif dalam hidup anda. Akhirnya hidup anda akan menjadi semakin makmur.
Setiap manusia mempunyai frekuensi minda mereka sendiri yang akhirnya akan menentukan arah kehidupan mereka. Seperti frekuensi radio, walaupun ada beribu-ribu rangkaian radio di dunia ini, and hanya boleh mendengar satu siaran pada satu masa. Begitu juga dengan frekuensi minda kita, hanya boleh “tune in” dengan satu frekuensi sahaja pada satu-satu masa. Jika anda memilih untuk fokus kepada perkara-perkara negatif, siaran anda berbentuk negatif yang akhirnya akan menarik lebih banyak perkara negatif dalam hidup anda. Kalau anda memilih untuk selalu bersyukur, siaran anda akan menjadi positif dan anda akan menarik perkara-perkara positif dalam hidup anda. Orang sekeliling anda akan mula menganggap anda seorang manusia yang sentiasa dalam perlindungan Tuhan. Inilah keajaiban sebenar sebuah kesyukuran.
Apa yang anda boleh lakukan sekarang?
Ucapkan Alhamdulillah setiap hari walaupun nikmat yang diberikan Tuhan hanya sebesar hama. Sebaik sahaja bangun tidur, ucapkan Alhamdulillah kerana anda masih bernafas. Berjalan ke bilik air, ucapkan Alhamdulillah kerana anda masih mampu berjalan. Lakukan setiap pagi dan lihat perbezaannya hidup anda nanti.
Saturday, July 21, 2012
Motivasi Minggu 9 : Perangkap Masa
Apabila membicarakan masa, ada 3 cara utama manusia melihat;
masa lampau, masa sekarang, dan akan masa datang.
Masa lampau : tidak boleh diubah
Masa sekarang : sedang dilalui
Masa akan datang : belum pasti
Mana yang lebih anda fikirkan sekarang, masa lampau masa
sekarang atau masa hadapan?
1.
Masa Lampau
Ramai yang terperangkap dengan persepsi masa lampau. Anda
tidak mahu kahwin lagi setelah berlakunya perceraian dan anda sudah tidak
mempercayai lelaki atau wanita. Atau anda masih lagi menggunakan mesin taip
walaupun dunia sekarang sudahpun menggunakan komputer yang pelbagai jenis. Ini
adalah tanda-tanda anda terlalu memikirkan masa lampau sehingga mengganggu
keputusan dan pengalaman anda pada masa sekarang.
Tips untuk keluar darpada perangkap ini ; pengalaman lampau
tidak boleh diubah. Maafkan orang lain atau maafkan diri sendiri jika orang itu
atau anda pernah melakukan kesilapan. Rasa
dendam akan lebih membuatkan anda terperangkap dalam masa lampau tersebut. Kemaafan
akan mengalihkan fokus anda kepada masa sekarang dan masa hadapan.
Juga, ambil masa untuk melihat keadaan dunia sekeliling
anda. Jangan takut untuk mencuba perkara-perkara baru. Pengalaman baru juga
akan mengalihkan fokus masa lampau anda kepada waktu sekarang.
2.
Masa Hadapan
Ada juga yang terperangkap dengan masa hadapan hingga
melupakan masa-masa yang sedang anda lalui sekarang. Anda terlalu memikirkan
kerja-kerja yang perlu anda lakukan untuk mencapai cita-cita anda sepuluh tahun
lagi sehingga anda lupa anda perlu juga meluangkan masa dengan anak-anak anda
agar mereka tidak menyisihkan anda di kemudian hari.
Tips untuk keluar daripada perangkap ini ; beritahu diri
anda, segala yang masih dalam perancangan adalah tertakluk kepada sebarang
perubahan yang kadangkala bukan dalam kawalan anda. Masa hadapan sebenarnya
belum menjanjikan apa-apa kerana ia belum berlaku lagi.
Mereka yang terlalu memikirkan masa hadapan juga selalu
terperangkap dengan idea “saya tak boleh lakukan perkara X kerana saya belum
lagi mendapat Y”. Contoh yang paling jelas ; “saya tak boleh memulakan
perniagaan yang saya mahu kerana saya belum ada modal yang cukup”. Jika anda
kaji semula, billionaire empunya Facebook, Mark Zuckerberg juga tidak mempunyai
modal yang cukup semasa dia memulakan Facebook. Lihat di tahap mana dia berada
sekarang.
3.
Masa Sekarang
Hanya masa sekarang yang benar-benar sedang anda lalui,
tetapi jarang sekali ada yang melihat masa sekarang dalam persepsi ini, kerana
kita selalu terperangkap sama ada dengan masa lampau atau masa hadapan. Hanya
pada waktu sekarang anda benar-benar boleh melakukan sesuatu, bukan masa lampau
dan bukan masa akan datang.
Jika ada sesuatu yang anda mahu lakukan, lakukan sekarang
walaupun dalam skala kecil.
Lafazkan rasa cinta atau mulakan perniagaan yang anda impikan.
Jika anda tidak melakukannya sekarang, tidak ada jaminan ia akan dilakukan pada
masa akan datang. Adakah kita masih bernyawa untuk melakukannya nanti?
Pandangan saya, rancang dengan lebih teliti masa anda supaya
anda tidak kehilangan pengalaman indah yang boleh anda lalui pada waktu
sekarang. Pada masa yang sama jangan lupa untuk membina cita-cita di masa
hadapan. Cita-cita yang tercapai akan membuatkan hidup anda lebih bermakna.
Jangan lihat masa lampau anda dengan rasa marah dan dendam, kerana itu akan
hanya membuatkan diri anda terperangkap dalam masa lampau dan tidak mampu
bergerak ke hadapan. Lepaskan perasaan itu dan mulakan pengalaman baru pada
waktu ini.
Masa bergerak bersama perangkap-perangkap yang tidak pernah
anda sedari. Hanya anda sendiri yang
boleh mengeluarkan diri anda daripada
perangkap-perangkap masa ini!
Friday, June 8, 2012
Motivasi Minggu 8 : Sejauh Manakah Tahap Disiplin Diri Anda?
Perkara pertama yang diajar semenjak hari pertama anda masuk ke sebarang bentuk kelas atau sekolah adalah disiplin dan akibat yang buruk yang jika anda melanggar disiplin. Kalau lambat sampai ke sekolah, anda akan didenda. Kalau anda melanggar sebarang peraturan sekolah, ibu bapa anda akan diberitahu jika kesalahan itu adalah serius. Semua yang pernah menghadiri sesi persekolahan faham tentang pentingnya disiplin.
Jika anda menghadiri sekolah
rendah, menengah dan univerisiti, sekurang-kurangnya anda sudah mempunyai
pengalaman berdisiplin selama 15 tahun.
Apabila anda sudah tidak bersekolah lagi, adakah anda masih
berdisiplin? Saya masih ingat lagi, sebaik sahaja saya habis graduasi inilah
yang bermain di fikiran saya “Seronoknya, sudah habis belajar tak perlu lagi
mengikut disiplin universiti! Saya boleh buat apa sahaja yang saya mahukan!”
Malangnya sangkaan saya meleset. Apabila saya masuk ke alam
pekerjaan, lebih banyak peraturan dan protokol yang perlu saya ikuti. Apabila
saya menjadi ketua, saya juga mula menggubal peraturan dan polisi syarikat.
Menurut pengalaman saya, lebih mudah untuk saya mencapai
sesuatu matlamat jika saya lebih berdisiplin. Contohnya jika saya mahu menulis
12 buah buku dalam masa setahun, saya perlu siapkan 1 buku sebulan dan saya
perlu menulis sekurang-kurangnya 5 mukasurat setiap hari terus menerus. Jika
saya tidak dapat menulis hari ini, maka hari esok saya menulis sebanyak 10
mukasurat.
Cuma persoalannya, sanggupkah saya melakukan semua itu sepanjang
tahun sehingga kesemua 12 judul buku itu siap?
Kesanggupan inilah yang membezakan tahap kejayaan seseorang.
Semua orang boleh berbincang dan mengeluarkan idea serta rancangan yang bernas
tetapi tidak ramai yang sanggup mengikut rancangan yang mereka telah bina
sendiri mengikut masa yang ditetapkan secara konsisten.
Inilah maksud sebenar disiplin; bekerja mengikuti
perancangan dalam masa yang ditetapkan secara konsisten.
Tidak mudah untuk dilakukan!
Bagaimana untuk membina tahap disiplin yang tinggi dalam
diri anda?
- Lakukan Perancangan dengan teliti. Ambil kira kesemua risiko dan kos yang terbabit.Ambil kira juga masa “downtime” dalam perancangan anda. Jika kerja itu boleh disiapkan dalam seminggu jika anda bekerja tanpa henti, mungkin masa seminggu itu tidak begitu realistik. Ambil kira juga masa untuk berehat. Tanpa rehat yang cukup prestasi anda akan menurun dan mungkin kerja itu tidak akan disiapkan dengan kualiti yang baik.
- Uji sedikit sebelum membuat sesuatu secara besar-besaran. Contohnya jika anda mahu menjual satu produk baru, uji dahulu penerimaan pasaran terhadap produk ini sebelum melantik lebih ramai jurujual dan pengedar. Mungkin ada perkara yang kita tidak nampak atau tidak jangka semasa proses perancangan. Kaedah ini akan mengurangkan kerugian jika produk itu dijual dalam pasaran yag salah.
- Jangan tunggu masa terakhir. Buat kerja tersebut sedikit demi sedikit dalam jangkamasa yang ditetapkan dan dalam keadaan relaks. Untuk jangkamasa panjang, anda boleh membina tabiat kerja yang konsisten.
- Jika anda bekerja dalam kumpulan, latih kesemua ahli kumpulan anda melakukan kerja secara berperingkat, konsisten dan dalam keadaan relaks. Lebih banyak kerja akan berjaya disiapkan jika semua ahli kumpulan anda mempunya tabiat kerja yang positif.
- Cabar diri anda untuk mencapai matlamat yang lebih tinggi setelah kerja sebelum ini siap dengan sempurna. Anda juga harus memperbaiki cara dan mutu kerja dengan membuat penilaian agar tugasan seterusnya dapat disiapkan dengan lebih baik.
Setelah membaca tulisan ini anda semua boleh menilai sendiri
apakah tahap disiplin diri anda.
Rak Buku Maya
Masuk ke blog ini anda pasti nampak rak buku di header blog ini.
Klik ke atas buku yang anda mahu baca dan buku tersebut akan terbuka di dalam skrin anda seolah-olah anda sedang membaca buku itu di atas meja.
Cuba selak buku itu dengan menekan ke atas anak panah. Siap ada bunyi lagi!
Rak Buku Penuh saya masih kosong lagi, tetapi jika anda mahu lihat, klik "Rak Buku Penuh" di menu utama.
Klik ke atas buku yang anda mahu baca dan buku tersebut akan terbuka di dalam skrin anda seolah-olah anda sedang membaca buku itu di atas meja.
Cuba selak buku itu dengan menekan ke atas anak panah. Siap ada bunyi lagi!
Rak Buku Penuh saya masih kosong lagi, tetapi jika anda mahu lihat, klik "Rak Buku Penuh" di menu utama.
Saturday, June 2, 2012
Motivasi Minggu 7 : Jangkakan Hanya Yang Terbaik, Ubat Minda Yang Sering Dilupakan
Apa yang selalu bermain di fikiran anda akan menentukan nasib anda. ..
Cuba fikir sejenak, apa yang selalu bermain di fikiran anda
hari ini? Anda kalah dalam satu pertandingan sukan dan anda banyak berfikir mengenai
kekalahan anda. Apa yang akan berlaku pada pertandingan sukan akan datang? Jika
anda banyak berfikir mengenai kekalahan, anda pasti akan kalah.
Jika anda bekerja sebagai seorang jurujual dan anda berjaya
mendapat jualan dan komisen yang banyak bulan ini? Apa yang anda banyak
fikirkan hari ini? Anda mahu berusaha keras untuk mendapat jumlah jualan yang
sama supaya anda akan mendapat jumlah komisen yang sama atau lebih lagi? Jika
ini yang selalu bermain di fikiran anda, pada bulan hadapan, anda pasti akan
mendapat jumlah komisen seperti yang anda idamkan jika anda berusaha keras.
Percayakah anda jika saya rumuskan, apa yang berlaku kepada
diri anda hari ini adalah hasil daripada pemikiran anda pada masa lampau. Cuba
lihat apa yang telah berlaku kepada anda pada hari ini dan bezakannya dengan
apa yang berlaku kepada diri anda 3 bulan lepas, 6 bulan lepas atau 1 tahun
lepas. Apa yang anda selalu fikirkan pada masa itu. Adakah ia telah berlaku
sekarang, selari dengan apa yang anda fikirkan pada masa itu?
Minda anda mempunyai keupayaan yang tinggi untuk
merealisasikan apa yang sahaja yang anda fikirkan, tidak kira baik ataupun
buruk. Jika anda belum lagi mencapai cita-cita anda, mungkin anda terlalu
banyak berfikir anda tidak akan mencapai cita-cita tersebut. Bagaimana untuk
menukar cara minda anda berfikir?
- Jangkakan Hanya Yang Terbaik
Setiap kali hati anda berdebar-debar atau mata kiri anda
bergerak-gerak, apa yang anda fikirkan?
Kebanyakan orang akan terfikir “Sesuatu yang buruk akan berlaku,” kerana
petua ini adalah turun temurun dari nenek moyang anda.
Hari ini, cuba ubah persepsi anda dan ubah juga jangkaan
anda. Jika hati berdebar-debar, katakan kepada diri anda, sesuatu yang sangat
baik akan berlaku kepada diri anda. Jika mata bergerak-gerak ada orang yang
akan memberikan rezeki kepada anda.
Mungkin tidak mudah untuk mengubah persepsi ini kerana
mungkin ia sudah sebati dengan diri anda. Tetapi jika anda cuba, anda akan
dapat merasai kesannya nanti.
- Bergaul dengan mereka yang berfikiran positif
Bergaul dengan mereka yang berfikiran posiitif akan sedikit
sebanyak mengubah diri anda menjadi lebih positif. Lihat bagaimana cara mereka
berfikir dan cara mereka menangani isu-isu kehidupan seharian.
- Kurangkan membaca berita-berita buruk
Berita-berita buruk mempunyai daya penarik sendiri. Kejadian
jenayah, cerita miskin tegar, kematian mengejut, artis bercerai-berai
,kemalangan dan berita-berita buruk lain selalunya adalah berita-berita yang
selalu mendapat banyak perhatian. Berita seperti ini juga akan diperkatakan
berkali-kali di kalangan pembaca kadangkala sehingga berbulan-bulan. Jika anda
selalu berfikir mengenai kejadian-kejadian buruk, apakah yang akan berlaku
akhirnya? Kejadian-kejadian buruk yang anda baca itu mungkin satu hari nanati
akan terjadi kepada anda.
- Bina gambaran positif dalam minda anda
Minda anda lebih senang menerima maklumat dalam
bentuk imej. Biasakan minda anda menerima maklumat positif dalam bentuk imej
yang ada kaitan dengan perkara-perkara yang ingin anda capai. Contohnya jika
anda mahu membeli rumah idaman, ambil gambar rumah idaman anda dan letakkan di
tempat yang selalu anda lihat seperti di skrin komputer anda. Secara bawah
sedar, minda and akan sentiasa berfikir mengenai rumah idaman anda dan satu
hari anda akan memilikinya.
Tuesday, May 29, 2012
Motivasi Minggu 6 : Keajaiban Sebuah Kemaafan
Seseorang telah melakukan sesuatu yang menyakitkan hati anda susah untuk dimaafkan. Kesalahan yang paling sukar untuk dimaafkan adalah sebarang bentuk pengkhianatan; khianat antara kawan, khianat cinta dan khianat perniagaan. Jika pengkhianatan berlaku, perasaan sakit amat berbekas di hati kadangkala akan menimbulkan perasaan dendam dan benci yang amat membara dalam hati seseorang.
Ramai yang memilih untuk tidak mahu memaafkan pembuat khianat walaupun perasaan
itu amat berat untuk dibawa bersama sepanjang hidup. Setiap kali nama pembuat
khianat disebut atau kelibat pembuat khianat nampak di di hujung mata orang
yang dikhianati, pengalaman perit itu akan timbul kembali. Hati yang dikhianati
itu menjadi lebih sakit.
Apakah ubat yang
terbaik untuk menghilangkan sakit, tidak puas hati dan dendam ini? Jawapannya
adalah kemaafan.
Perkara pertama yang akan muncul di minda anda sekarang
mungkin “Mengapa harus saya memaafkan dia, dia telah melakukan sesuatu yang sangat
teruk dan tidak boleh dimaafkan.”
Apa Untungnya Anda Memberi Kemaafan?
Pertama sekali anda harus memandang kemaafan dari satu sudut
yang agak berbeza. Kemaafan, jika diberikan tidak akan menguntungkan si
pengkhianat kerana tidak ada apa-apa manfaat yang akan dirasai oleh pengkhianat
jika anda memaafkan mereka. Pengkhianat tegar akan sentiasa menjadi
pengkhianat, tidak kira jika anda memaafkan mereka atau tidak.
Kemaafan sebenarnya memberikan lebih keuntungan kepada diri
anda sendiri. Ingat semula seseorang yang pernah anda maafkan dalam hidup anda.
Perkara yang dilakukan oleh orang yang telah anda maafkan tidak lagi menjadi
beban emosi anda lagi. Anda tidak lagi teringat-ingat perkara buruk yang pernah
dilakukan oleh orang itu dan hidup anda lebih gembira selepas kemaafan itu
diberikan. Hati yang gembira akan membuatkan rezeki anda bertambah sepanjang
masa. Hati yang gembira juga akan membuatkan badan anda menjadi lebih sihat.
Keuntungan sebuah kemaafan sebenarnya lebih berpihak kepada si pemaaf.
Bagaimana melatih diri anda memberi kemaafan?
- Yakin bahawa setiap kejahatan ada pembalasannya
Hampir kesemua manusia tidak mengira agama, bangsa dan
negara percaya bahawa kebaikan akan dibalas kebaikan dan kejahatan akan dibalas
kejahatan.
- Fokus kepada perkara positif
Setiap apa yang berlaku mempunyai kesan baik dan kesan buruk.
Jika teman lelaki anda jatuh cinta dengan kawan baik anda dan mereka akhirnya
berkahwin, jangan lihat perkara ini sebagai sesuatu yang negatif. Cuba lihat
daripada sudut yang lebih positif. Anda mungkin berpeluang untuk mencari teman
lelaki yang lebih baik dan lebih sesuai dengan anda. Mungkin anda kini boleh
lebih fokus kepada kerjaya yang anda impikan.
- Sibukkan diri anda dengan aktiviti baru
Halang minda anda daripada berfikir mengenai peristiwa
pengkhianatan itu dengan aktiviti-aktiviti yang anda gemari. Perasaan telah
dikhianati adalah satu perasaan yang amat berat untuk dilupuskan, perlu ada
rancangan yang baik untuk menghilangkan perasaan ini. Ia tidak akan hilang
begitu sahaja.
- Beri masa kepada diri anda
Anda perlu beri masa kepada diri anda untuk member kemaafan.
Seperti luka di tubuh, perasaan negative juga memerlukan masa untuk sembuh.
Jika anda tidak boleh memaafkan pada hari ini, cuba maafkan pada hari esok.
- Maafkan dan lupakan
Setelah anda rasa anda boleh memaafkan, lupakan kejadian
itu. Jika kawan-kawan anda masih bercerita mengenai kejadian itu, minta mereka
untuk berhenti bercerita lagi. Apabila anda sudah mula melupakan peristiwa
tersebut dan sudah memberi kemaafan, hati anda akan mula terasa tenang.
Pada waktu ini anda akan mula meihat kejadian yang pernah
berlaku itu dalam sudut yang lebih berbeza, kadangkala anda akan ketawa bila
mengenangkan peristiwa tersebut. Jika anda sudah mampu ketawa semasa mengingat
peristiwa itu, anda telah menemui keajaiban sebuah kemaafan yang sebenar.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Saturday, May 12, 2012
Helium3 - Kisah Masri dan Sarah
2 tahun kemudian
“Ceritakan semuanya Masri. Saya tak boleh tolong awak kalau
awak tidak bekerjasama,” Sarah memujuk Masri sekali lagi. Kali ini dengan nada
suara yang lebih perlahan.
Masri memandang ke arah Sarah dengan pandangan yang penuh
kebencian.
“Awak mahukan peguam lain?” Sarah bertanya tanpa
berselindung. Dia tahu sejak awal lagi mungkin Masri tidak akan bekerjasama
dengannya kerana sejarah silam mereka berdua yang tidak begitu baik.
“Mengapa awak ambil kes saya? Awak tahu saya tidak akan
bekerjasama dengan awak,” Masri tiba-tiba bersuara.
“Kerana ini adalah kes antarabangsa dan saya yang terbaik
dalam bidang ini,” Sarah menjawab.
“Tak mungkin. Saya mengenali awak semenjak sepuluh tahun
lepas. Ada sesuatu yang awak mahukan. Awak tak akan ambil kes saya kalau kes
ini tidak penting bagi awak,” Masri menjawab dengan nada tidak puas hati.
“Lupakan sahaja apa yang berlaku 10 tahun lepas Masri. Saya
tahu awak masih marahkan saya. Tetapi sekarang awak berada dalam penjara dan
saya adalah peguam awak. Tugas saya adalah untuk menyelesaikan kes ini. Lagi
cepat kita selesaikan kes ini, lebih baik. Awak tak perlu jumpa saya lagi,”
Sarah cuba memujuk sekali lagi.
Masri tetap membisu dan berpaling. Bahasa badannya jelas
menunjukkan dia tidak mahu berinteraksi lagi dengan Sarah.
“Esok saya akan minta pembantu saya untuk bertemu dengan
awak. Ada beberapa dokumen yang perlu anda tandatangan. Jumpa lagi nanti
Masri,” Sarah mengucapkan selamat tinggal dan berlalu keluar dari tempat
perbincangan.
****
“Aku kenal engkau!”
seorang lelaki yang berada bersamanya di dalam lokap polis semenjak semalam
menegurnya. Lelaki itu berpakaian comot dan berbau busuk. Badannya kurus
cengkung dan suaranya kasar. Lelaki itu berjalan menghampirinya dan mula
mendekatkan mulutnya ke telinga Masri. Terdengar hembusan nafasnya yang berbau.
“Engkau pernah bekerja dengan Mr M,” lelaki itu berbisik.
Masri terkejut dengan kenyataan lelaki itu.
“Awak salah orang. Saya tak kenal Mr M,” Masri menjawab. Dia
tidak mahu dikaitkan lagi dengan Mr M.
“Aku pun tak kenal Mr M,” lelaki itu membalas sambil ketawa.
“Tetapi aku ada pesanan dari Mr M untuk kamu. Pesanan untuk
membawa Encik Masri keluar dari lokap ini. Tetapi kalau engkau bukan Encik
Masri yang mengenali Mr M, maka tak perlulah aku sampaikan pesanan ini,” lelaki
itu menambah.
Masri terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Dia mula berasa
serba salah. Keadaan senyap seketika.
“Mungkin aku pernah mengenali Mr M, tapi mungkin aku lupa,”
Masri membalas.
“Mungkin Mr M pernah berpesan kepada aku untuk bawa kamu
keluar tepat pada pukul 2.00 pagi. Tapi mungkin juga saya terlupa,” lelaki itu
menambah. Masri melihat ke arah jam dinding yang tergantung di luar lokap itu.
Waktu menunjukkan pukul 1.50 pagi.
Masri tersenyum. Nampaknya Mr M menepati janjinya.
Friday, May 11, 2012
Motivasi Minggu 5 : Cari Kunci Motivasi Diri Anda
Terdapat banyak penulis buku motivasi yang menulis daripada sudut yang berbeza-beza. Mereka memberi penerangan melalui pengalaman dan pembacaan untuk membantu memberi motivasi kepada pembaca-pembaca mereka. Mereka menceritakan kunci kejayaan mereka dan menjadi inspirasi kepada orang di sekeliling mereka.
Berikut adalah antara kunci motivasi beberapa orang yang
saya kenali
- Peristiwa silam yang menyedihkan
Peristiwa silam yang menyedihkan seperti kematian ibu bapa
pada usia muda kadangkala menyebabkan si anak mahu berusaha bersungguh-sungguh
kerana dia tahu dia tidak mempunyai tempat untuk bergantung. Ada juga yang
pernah berada dalam keadaan miskin tegar dan tidak mahu lagi kembali ke situasi
itu, meyebabkan dia berusaha lebih keras agar tidak jatuh.
- Melihat kejayaan orang lain
Kadangkala melihat kejayaan orang lain memberikan inspirasi
kepada seseorang untuk megikut jejak langkah orang itu untuk menempa kejayaan
yang sama.
- Amanat orang tersayang
Amanat orang tersayang seperti ibu, bapa, suami, isteri atau
kekasih mampu menyuntik semangat yang membara ke dalam diri seseorang.
Kerapkali kita melihat dalam filem seorang gadis memberi sapu tangan sebagai
tanda ingatan kepada teman lelakinya ketika berjuang mendapatkan sesuatu.
- Mahu mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidup
Ada juga yang mendapat motivasi untuk melakukan sesuatu
kerana mereka mahu mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidup. Orang begini
selalunya suka mencari kemajuan dalam hidup, sentiasa mencari peluang dan
cabaran baru. Mereka juga selalunya mempunyai taraf hidup yang lebih baik daripada
orang lain.
Kunci motivasi diri saya pula adalah untuk menjadi diri saya
yang lebih baik setiap hari. Saya suka bertanding dengan diri saya sendiri.
Saya suka mencabar diri saya sendiri untuk menjadi lebih baik dalam kerja-kerja
yang saya lakukan. Untuk lebih memberikan motivasi kepada diri saya sendiri,
saya suka membaca buku-buku yang ditulis oleh orang-orang yang telah mencapai
kejayaan dan menghadiri beberapa persidangan tertentu. Setiap kali saya habis
membaca buku atau menghadiri persidangan, tahap motivasi saya menjadi lebih
tinggi dan saya boleh menangani cabaran yang lebih besar dalam hidup saya.
Bagaimana pula dengan anda? Apakah kunci motivasi anda?
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Sunday, May 6, 2012
Helium3 - Kisah Masri 1
![]() |
Generasi Pertama, Kedua dan Ketiga Tenaga Nuklear |
Masri melihat ke arah langit yang indah malam itu. Purnama bercahaya penuh diiringi berjuta-juta bintang yang berkelip-kelip. Kadangkala Masri dapat melihat warna cahaya yang berbeza-beza pada setiap bintang. Bintang yang paling hangat berwarna seakan-akan biru dan bintang yang paling sejuk berwarna kemerah-merahan. Itulah ilmu pertama yang dibacanya di perpustakaan sekolahnya dahulu.
“Minum?” Mr M mengundangnya untuk minum sambil berjalan
melewati meja kerjanya malam itu. Masri hanya membalas dengan senyuman.
Deringan telefon yang tiba-tiba menjerit membuatkan Mr M bergegas masuk ke
bilik kerjanya.
Bayangkan setiap bintang yang ada di langit itu mempunyai
sistem cakerawalanya yang tersendiri. Setiap bintang sebenarnya adalah seperti
matahari di galaksi Bima Sakti, dikelilingi oleh beberapa buah planet dan salah
satunya adalah planet bumi. Jika ada beribu-ribu bintang di langit mungkin ada
beberapa buah planet yang menyamai planet bumi di dalam galaksi-galaksi
tersebut. Mungkin kita akan menemui kehidupan yang sama seperti kehidupan di
planet bumi.
Setiap kali Masri melihat ke arah langit, dia merasakan
betapa besarnya alam semesta ini dan segala kemungkinan yang ada. Perasaan
itulah yang telah membawanya untuk mendalami bidang astronomi. Tetapi malangnya
astronomi tidak menjanjikan apa-apa pekerjaan yang bagus untuknya. Setelah
keluar dengan ijazah astronomi dari sebuah universiti, Masri tidak berjaya
menjadi angkasawan seperti yang dia idamkan. Hanya ada beberapa buah negara
sahaja yang berjaya menerokai angkasa. Kuala Lumpur tidak menjanjikan apa-apa
peluang yang baik untuknya bekerja. Kini dia berada di sebuah makmal di Russia
bersama beberapa butir batu kerikil yang dikatakan diambil dari bulan.
Batu-batu ini, menurut Mr M, lebih dikenali sebagai “Moonrocks” telah dikumpul
semula oleh beberapa orang pembantunya dari seluruh dunia.
Mr M kembali semula mendekati Masri setelah habis berbicara
melalui telefon.
“Saya banyak membaca
mengenai batu dari bulan ini. Banyak cerita mengatakan batu-batu yang dibawa
oleh angkasawan dari bulan dan dihadiahkan ke beberapa buah negara telah hilang,”
Masri mengambil sebutir batu kerikil sambil memulakan bicara.
“Ya, hampir 300 biji batu dibawa balik ke bumi dan 200 butir
telah hilang di seluruh dunia. Saya cuma berjaya mengumpul tidak sampai 100 butir, cukup untuk ujikaji
selama dua tahun.”
Masri menarik nafas panjang. Dua tahun adalah satu
jangkamasa yang agak lama.
“Saya adalah penuntut bidang astronomi, bukan geologi. Saya
tak tahu apa-apa mengenai batu-batu seperti ini,” Masri menjawab.
“Tapi batu ini datangnya dari bulan. Bukan dari bumi. Kerana
itulah saya perlukan awak. Inilah yang akan awak kaji selama dua tahun akan
datang jika awak menerima tawaran saya. Saya akan sediakan tempat tinggal dan
makan minum untuk awak. Saya juga akan sediakan permit kerja untuk awak di
sini. Jadi tak perlulah lagi awak hidup
dalam pelarian, asyik diburu pihak berkuasa kerana awak tak ada permit.”
Masri terdiam seketika. Ada benarnya kata-kata Mr M. Kontrak
dan permit kerjanya di sebuah makmal di negara itu sudah tamat enam bulan lalu.
Agak sukar untuk hidup di negara orang tanpa sebarang kerja tetap. Walaupun
kajian yang dijalankan oleh Mr M nampak agak pelik, dia terpaksa menerima
sahaja tawaran tersebut. Hidupnya dalam keadaan terdesak sekarang.
“Saya tak ada pilihan lain. Saya terpaksa terima tawaran Mr
M,” Masri akhirnya bersetuju.
“Bagus Masri, saya akan sediakan semuanya minggu ini ;
tempat tinggal, dokumen permit dan makmal untuk awak bekerja. Datang semula
hari Isnin nanti tepat pukul 9.00 pagi,” dengan senyuman lebar Mr M menepuk
bahu Masri. Masri hanya tersenyum hambar.
****
Hujung minggu itu, Masri pergi ke sebuah perpustakaan awam
untuk mencari maklumat mengenai “Moonrocks” atau batu bulan.
Seperti yang diceritakan oleh Mr M, semenjak angkasawan
Russia dan Amerika berjaya menjejaki permukaan bulan dalam tahun 70an, banyak
batu-batu kecil dari bulan telah dibawa
kembali ke bumi untuk tujuan kajian. Banyak juga batu-batu itu telah
dihadiahkan kepada ketua-ketua negara di seluruh dunia sebagai tanda
persahabatan.
Hanya satu keratan akhbar yang menarik perhatiannya pada
hari itu. Keratan akhbar itu menceritakan mengenai helium-3, bahan yang banyak
ditemui di permukaan bulan, yang dikatakan mampu menjana tenaga dengan
lebih cekap, bersih dan selamat. Penggunaan helium-3 sebagai sumber tenaga
adalah lebih baik daripada penggunaan tenaga nuklear yang banyak membawa
keburukan.
Masri berfikir sejenak. Mungkin itu yang cuba dikaji oleh Mr
M. Jika benar, kajian ini mungkin akan
menjadi antara kajian terpenting di abad ini.
- Mr M adalah salah seorang watak dalam novel K-4: Kapsul Ungu -
- Mr M adalah salah seorang watak dalam novel K-4: Kapsul Ungu -
Saturday, May 5, 2012
Motivasi Minggu 4 : Merealisasikan Cita-Cita Anda
Setiap orang mempunyai cita-cita masing-masing. Jika anda seorang pekerja, cita-cita anda mungkin mahu mendapat gaji yang lebih tinggi pada tahun hadapan. Jika anda seorang penuntut, mungkin anda mahu mendapat markah yang tertinggi dalam ujian akan datang.
Jika anda pula seorang suri rumahtangga, mungkin anda mahu membina satu perniagaan sambilan di rumah seperti perniagaan online. Setiap orang mempunyai hak untuk membina cita-cita dan berusaha untuk mencapainya.
Seperti melakukan kerja-kerja lain, mencapai cita-cita juga
mempunyai prosesnya yang tersendiri Berikut adalah panduan daripada beberapa buah
buku yang saya pernah baca.
- Ketahui apa yang benar-benar anda mahukan
Banyak kali anda melihat seseorang yang telah berjaya dan
anda mahu menjadi 100% seperti orang itu. Anda buat semua yang dia lakukan,
kadangkala berjaya dan kadangkala tidak.
Setiap manusia melalui pengalaman hidup yang berbeza-beza
yang mencorakkan motivasi dalaman mereka sendiri. Tidak ada dua manusia yang
sama di muka bumi ini daripada segi motivasi dalaman, walaupun mereka datang
daripada perut ibu yang sama.
Pertama sekali anda harus bertanya kepada diri anda sendiri
apa yang anda benar-benar mahukan dalam mengejar cita-cita anda ; Wang lebih?
Kepuasan bekerja? Tahap tertinggi dalam kerjaya anda? Mengisi masa lapang? Kenali
motivasi dalaman anda sendiri dan jangan meniru motivasi orang lain secara membuta-tuli.
Kesedaran ini akan membuatkan anda lebih fokus kepada cita-cita anda nanti.
- Yakinkan diri bahawa anda layak mencapai cita-cita ini
Jika anda mempunyai cita-cita tetapi anda rasa anda tidak
layak atau tidak mungkin akan berjaya mencapai cita-cita tersebut, itulah yang
akan terjadi akhirnya. Anda tidak akan berjaya mencapai cita-cita tersebut.
Kenali apa yang menyebabkan anda mempunyai perasaan
sedemikian. Jika ada kawan-kawan atau orang terdekat yang sentiasa membuatkan
anda mempunyai perasaan sebegitu, kurangkan sedikit masa bersama mereka. Jika
anda rasa anda tidak yakin kerana kekurangan masa, susun semula hidup anda agar
anda mempunyai masa yang cukup untuk melakukan apa yang perlu untuk mencapai
cita-cita anda.
- Hilangkan perasaan takut
Dalam mengejar cita-cita rasa takut akan sentiasa menghantui
anda. Takut kerana tidak cukup ilmu untuk bertanding, takut kerana orang di
sekeliling mungkin tidak bersetuju dengan tindakan anda, takut membat
kesilapan. Semua perasaan ini akan sentiasa bermain-main di minda anda. Katakan
tidak kepada perasaan takut ini. Lakukan apa yang perlu untuk meyakinkan diri
anda bahawa anda boleh mencapai cita-cita anda ini. Jika anda rasa anda tidak
cukup ilmu, pergi ke perpustakaan dan baca buku-buku yang perlu untuk menambah
pengetahuan anda. Jika anda taku membuat kesilapan yang akan membawa kerugian,
luangkan masa untuk membuat lebih kajian mengenai cita-cita anda itu.
- Sertai komuniti yang mempunyai cita-cita yang sama
Mempunyai kenalan yang mempunyai minat dan cita-cita yang
sama akan memudahkan anda untuk mencapai cita-cita anda itu. Maklumat dan
pengalaman boleh dikongsi bersama dan anda akan menjadi lebih yakin untuk
mencapai cita-cita anda.
- Rancang tindakan anda dengan teliti
Perancangan teliti amat penting dalam semua kerja yang kita
lakukan. Perancangan yang teliti dan jelas akan lebih meyakinkan diri anda
untuk mencapai cita-cita anda tersebut. Anda juga akan dapat mengetahui
kekangan-kekangan yang mungkin timbul lebih awal supaya anda lebih bersedia
menghadapinya nanti.
Perancangan yang teliti dan jelas juga akan membuatkan orang
lain lebih yakin dengan cita-cita anda. Ini juga akam memudahkan orang lain
untuk membantu anda untuk mencapai apa yang anda impikan.
- Disiplin
Paling penting adalah disiplin. Walau sebaik manapun
rancangan anda, jika anda tidak mempunyai disiplin untuk melakukan apa yang
perlu untuk mencapai cita-cita anda, ia akan terkubur sahaja nanti.
Kenali minyak pelincir apa yang diperlukan untuk mengekalkan
momentum kerja anda. Mungkin anda perlu membaca tulisan-tulisan motivasi.
Mungkin juga anda perlu beremu dengan orang yang anda kasihi setiap minggu
untuk mengekalkan prestasi kerja anda setiap masa.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Saturday, April 28, 2012
Motivasi Minggu 3 : Susahnya Menjadi Ketua!
Anda telah dipilih menjadi ketua; samada oleh pensyarah, kawan-kawan anda ataupun oleh majikan anda sendiri. Anda mempunyai beberapa orang pembantu dalam kumpulan anda dan anda telah ditugaskan dengan satu misi yang sangat mencabar.
Minggu pertama bersama ahli-ahli kumpulan, anda sudah mula sakit kepala. Kerja tidak berjalan dengan lancar. Ahli-ahli kumpulan anda tidak bekerja mengikut jadual yang ditetapkan. Lebih buruk lagi, anda sudah mula rasa hanya ada seorang sahaja yang bekerja.
Mengapa begitu sukar untuk membuatkan semua ahli kumpulan anda untuk bekerja seperti yang diharapkan?
- Kenali Ahli Kumpulan Anda
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh seorang ketua pada waktu ini adalah untuk mengenali semula ahli kumpulan mereka. Walaupun mungkin anda sudah mengenali seseorang selama bertahun-tahun sebagai kawan, itu tidak bermakna anda tahu bagaimana cara dia bekerja. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Adalah mudah untuk menuding jari kepada sesuatu kesalahan kepada ahli kumpulan anda tetapi anda juga harus sedar tidak mungkin ada ahli kumpulan yang sempurna untuk anda. Jika anda mencari kesempurnaan, anda akan lebih tertekan akhirnya dan misi kumpulan anda tidak akan tercapai.
- Rombak posisi jika perlu
Selalunya ahli kumpulan bukan masalah yang sebenar. Kebanyakan orang, terutamanya yang bekerja, mempunyai niat baik untuk mencapai yang terbaik dalam kerja mereka. Cuma mungkin mereka kurang pengalaman, atau tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk menjalankan tugas yang diberi.
Setelah mengenali cara setiap ahli kumpulan anda bekerja, rombak semula posisi mereka mengikut kelebihan masing-masing.
- Berikan masa
Beri masa ahli kumpulan anda untuk memepelajari kerja tersebut. Jika and bekerja, 3 bulan adalah masa yang cukup untuk mempelajari sesuatu kerja pada peringkat eksekutif dan 6 bulan adalah untuk peringkat pengurus.
- Pantau dan lihat perkembangan mereka
Untuk melihat perkembangan mereka, sediakan satu sistem pemantauan yang mudah. Perlu diingat sistem pemantauan yang dicadangkan ini bukanlah bertujuan untuk menghukum mereka, tetapi untuk mencapai misi yang telah ditetapkan. Keluarkan laporan berkala untuk memudahkan anda sebagai ketua untuk melihat perkembangan kerja ahli-ahli kumpulan anda.
- Kekalkan komunikasi positif.
Sebagai seorang ketua, anda harus mengekalkan komunikasi yang positif dengan pihak atasan. Laporan berkala yang disediakan akan lebih memudahakan anda untuk menyampaikan kepada pihak atasan dan ahli-ahli kumpulan anda sendiri mengenai penambahbaikan yang diperlukan untuk mencapai misi yang ditetapkan.
- Beri Ganjaran
Berikan ganjaran kepada ahli kumpulan anda jika misi yang ditetapkan tercapai mengikut jadual. Ganjaran ini tidak semestinya berbentuk kewangan. Tolak ansur masa bekerja dan khidmat nasihat percuma juga boleh dijadikan ganjaran kecil untuk meningkatkan motivasi bekerja di kalangan ahli kumpulan anda. Paling penting, anda sebagai ketua juga harus memberi ganjaran kepada diri anda sendiri.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Tuesday, April 24, 2012
Helium3 - Kisah Sarah 1
Latihan bola sepak petang itu berjalan dengan lancar. Badrul, Roland, Simon, Rosman dan beberapa orang pekerja Kamarudin & Co yang lain datang pada waktu yang dijanjikan. Mereka berkumpul untuk berbincang bagaimana untuk menumpaskan lawan mereka, pasukan bola sepak Singtel yang telah mengundang mereka untuk mengadakan perlawanan persahabatan dua minggu lagi.
“Wah Bard, Sarah pun ada!” Rosman menegur Badrul sambil menjeling ke arah Sarah.
“Tell me something that I don’t know,” Badrul membalas teguran Rosman.
“Dia cantik menawan. Kalau aku jadi engkau, dah lama aku kahwin dengan dia,” Rosman menyambung, kemudian menjeling sekali lagi ke arah Sarah yang masih lagi duduk di sebuah kerusi kayu di bawah teduhan sebatang pokok yang rendang.
Sarah mempunyai potongan badan yang langsing dan berketinggian hampir enam kaki. Rambutnya yang ikal nampak cantik walau dalam apa-apa gaya sekalipun. Petang itu Sarah memakai seluar pendek, baju-T berjenama Polo dan kasut sukan Nike. Dia nampak anggun dan bergaya walaupun hanya memakai pakaian sukan.
“Kenapa engkau tak layan dia? Kasihan aku tengok dia, selalu sahaja mencuba tetapi engkau tak pernah layan,” Rosman bertanya dengan nada yang serius.
“Not my type,” Badrul menjawab ringkas.
“Apa lagi yang engkau mahukan, Bard? Kita pilih perempuan kerana kecantikannya!” Rosman cuba memberi pendapat.
“Dia pernah jadi teman wanita aku tak lama dulu. Kami tak serasi,” Badrul menjawab sambil cuba menimbang bola.
“Aku tak faham, sanggup engkau lepaskan perempuan secantik itu begitu sahaja?” Rosman mengeleng-geleng.
“Kalau engkau berminat, bolehlah cuba,” Badrul menjawab lagi. Kini dia menendang bola pula.
“Bagaimana untuk mulakan? Apa yang dia suka?” tanya Rosman dengan penuh berminat sambil tersenyum. Rosman menjeling sekali lagi kepada Sarah.
“Dia suka kontrol. Engkau ikut sahaja apa yang dia mahu, pasti dia sukakan engkau,” Badrul menjawab acuh tak acuh.
“Cakaplah betul-betul, Bard. Aku betul-betul berminat ni,” ujar Rosman dengan nada tidak berpuas hati.
“Aku sudah beri nasihat, engkau tak mahu ikut pula,” Badrul mengomel.
“Aku sudah beri nasihat, engkau tak mahu ikut pula,” Badrul mengomel.
"Semua perempuan sama, Bard. Mereka memang suka kontrol. Aku nak tahu selain daripada itu. Aku mahu tahu apa yang dia suka makan, apa hobi dia, apa cita-cita dia, dia suka lelaki yang bagaimana?”
“Hai, Bard,” satu suara lembut menyapa.
“Hai, Sarah,” Badrul menjawab sambil masih lagi cuba menimbang bola.
“Nampak macam dah habis latihan. Saya ada bawakan minuman untuk awak,” Sarah menyambung sambil menunjukkan dua botol air yang dipegangnya.
“Banyaknya peluh, Bard. Ini saya ada bawakan tuala untuk awak,” Sarah menyambung lagi sambil menghulurkan sehelai tuala kecil kepada Badrul.
“Tak mengapalah, Sarah. Saya ada minuman di sana. Saya pun ada bawa tuala di dalam beg saya,” jawab Badrul sambil menunjukkan jarinya ke arah beg yang diletakkan di hujung padang.
“Rosman ni, dia tak bawa minuman. Saya rasa dia pun terlupa nak bawa tuala. Awak berikan sahaja pada dia ya.” Badrul menyambut bola yang ditimbangnya lantas memberikan senyuman kepada Rosman.
“Saya bawakan semua ini untuk awak, Bard. Ini bukan untuk Rosman,” Sarah menjawab dengan nada tidak berpuas hati.
“Saya dah sakit kaki ni, Sarah. Rosman akan layan awak,” Badrul menjawab dan terus sahaja berlari ke hujung padang.
Rosman terpinga-pinga kerana ditinggalkan bersama Sarah. “Sarah, awak jangan ambil hati ya. Saya rasa dia memang sakit kaki tu, lama sangat berlatih hari ini. Dia betul-betul mahu memenangi perlawanan ini. Kapten Bard memang macam tu,” Rosman menyapa Sarah sambil cuba menunjukkan muka yang manis.
Sarah bercekak pinggang sambil mencebik. “Kenapa dengan Bard ni, Rosman? Saya tak faham, adakah saya tak cukup cantik untuk dia?” tanya Sarah dengan nada yang marah.
“Eh, Cik Sarah memang cantik. Tak ada cacat celanya pada pandangan mata saya,” Rosman cuba memujuk.
“Habis tu, kenapa Bard selalu sahaja menolak saya?” Sarah sudah mula menghentak kaki.
“Susah macam ni, Sarah. Saya rasa lebih baik awak cari orang lain. Ramai lagi yang masih bujang di sini. Contohnya saya,” Rosman cuba mencucuk jarum.
“Tapi saya cintakan Bard. Saya tak mahu orang lain, Rosman. Badrul Hisham adalah cinta saya semenjak dahulu lagi.” Sarah semakin marah.
“Saya pun tak tahulah, Sarah. Tak mengapa, hari ini saya temankan Sarah. Kita minum bersama. Air apa yang Sarah bawa tu?” Rosman cuba mengalihkan perhatian Sarah.
“Saya belikan air kegemaran Bard ni, Diet Coke.” Sarah menyerahkan kedua-dua botol Diet Coke kepada Rosman sambil matanya menyoroti Badrul yang sudah mula duduk di hujung padang bersama rakan-rakannya yang lain.
“Tak mengapalah. Kalau Bard tak mahu minum, kita sahajalah yang minum ya,” Rosman cuba memujuk lagi. Rosman mengambil kedua-dua botol Diet Coke itu dan membuka salah satu penutup botol.
“Nah, yang ini untuk Sarah. Sarah kena cari orang yang layan Sarah dengan baik macam saya ni,” Rosman mencuba lagi.
Sarah mengambil botol itu dan meneguk dengan penuh dendam. Ketika dia menyerahkan botol itu kepada Rosman semula, air di dalam botol itu sudah pun habis separuh. Matanya masih lagi menyoroti Badrul.
“Aku akan kembali dengan rancangan yang lebih bagus nanti. Engkau tunggu sahaja, Bard. Akhirnya aku pasti akan dapat,” Sarah mengomel seorang diri. Dia kemudian menyentap botol air yang dipegang oleh Rosman dan bergegas kembali ke tempat duduknya.
“Sarah!” Rosman menjerit memanggil nama Sarah.
Sunday, April 22, 2012
Motivasi Minggu 2 : Mengapa Sukar Membuat Keputusan?
“Sukarnya untuk membuat pilihan, ditelan mati emak, diluah
mati bapak”. Pepatah ini menggambarkan kesukaran dalam membuat pilihan.
Mengapa begitu sukar
untuk membuat pilihan?
Selalunya anda sukar untuk membuat pilihan kerana kedua-dua
(atau lebih daripada dua) pilihan itu mempunyai kelebihan dan kekurangan yang
hampir sama. Pada waktu yang sama, jika anda membuat pilihan, anda juga takut tersalah pilih. Pada
waktu inilah anda mula melengah-lengah keputusan anda dengan cara yang pelbagai
; mencari lebih maklumat, mengambil masa untuk berfikir dan bertanya pendapat
orang lain. Tapi kadangkala setelah membuat semua ini, anda menjadi semakin
keliru dengan keputusan anda dan anda perlukan lebih banyak maklumat, masa
berfikir dan lebih banyak pendapat. Kadangkala, anda menjadi lebih tertekan akhirnya.
Cara Menghadapi
Pilihan
Berikut adalah panduan asas membuat pilihan.
Anda harus sedar kebanyakan keputusan, termasuk keputusan berasaskan perniagaan yang bernilai berjuta-juta ringgit, dibuat mengikut maklumat yang ada pada waktu itu. Maklumat tidak akan pernah cukup kalau dicari.
Hadkan kriteria pemilihan anda. Jika anda tidak menghadkan kriteria pemilihan, anda tidak akan berjaya membuat keputusan.
Anda harus sedar kebanyakan keputusan, termasuk keputusan berasaskan perniagaan yang bernilai berjuta-juta ringgit, dibuat mengikut maklumat yang ada pada waktu itu. Maklumat tidak akan pernah cukup kalau dicari.
Hadkan kriteria pemilihan anda. Jika anda tidak menghadkan kriteria pemilihan, anda tidak akan berjaya membuat keputusan.
- Hadkan masa untuk membuat keputusan ; sehari, seminggu, sebulan.
- Ketahui semua kelemahanan dan risiko yang ada untuk setiap pilihan. Ini boleh membantu anda bersedia untuk sebarang akibat di masa akan datang setelah membuat pilihan.
- Jangan takut membuat pilihan. Adalah lebih baik membuat keputusan daripada tidak membuat keputusan langsung.
- Jangan salahkan diri anda jika keputusan itu membawa akibat buruk akhirnya. Tidak ada manusia yang sempurna di muka bumi ini. Hadapi kesulitan dengan hati yang tabah.
- Ketahui siapa di sekeliling anda yang bersetuju dengan pilihan anda. Sokongan moral mereka boleh membantu anda mendapat keyakinan yang lebih tinggi dalam menghadapi cabaran yang datang setelah membuat pilihan.
Ditulis oleh : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'Amir dari Aamir Agency.
Monday, April 16, 2012
Book Signing - MPH Subang Parade 21 April, 2-4pm
Saya ingin menjemput semua kawan-kawan untk menghadiri "book-signing" saya di MPH Subang Parade pada 21 April 2012, 2-4 petang sempena World Book Day. Terima kasih kepada semua yang membantu saya dalam bidang penulisan selama ini.
Saturday, April 14, 2012
Motivasi Minggu 1 : Bagaimana Mengikis Sikap Suka Berlengah?
“Sekiranya saya mampu mengikis sikap berlengah-lengah dari dalam diri saya, mungkin saya sudah capai banyak perkara sekarang.” Dialog ini seringkali kita dengar dimana-mana sahaja. Kerja di pejabat masih tak siap-siap kerana terlalu banyak mesyuarat, stor di rumah masih belum dibersihkan, kekasih hati yang merajuk masih belum dipujuk.
Punca Sikap Suka Berlengah
Memang tabii manusia tidak suka berubah sehingga sesetengah syarikat besar terpaksa membuka satu unit “Change Management” untuk mengubah haluan syarikat mengikut aliran semasa. Banyak juga perceraian berlaku kerana suami atau isteri yang “masih tidak berubah” atau “tidak mahu berubah”.
Jika kita kaji semula, sikap berlengah ini datang apabila satu perubahan diperlukan. Contohnya, kerja pejabat yang bertimbun-timbun, stor rumah yang kotor dan kekasih hati yang merajuk. Kita perlu mengubah sedikit cara bekerja,mengurangkan masa rehat di rumah dan meluangkan lebih masa dengan kekasih hati. Jika semua ini dilakukan, ketiga-tiga masalah ini pasti akan selesai.
Bagaimana Untuk Membuang Sikap Berlengah-Lengah
1. Senaraikan apa yang anda mahu capai dan bila. Jika anda mahu menyiapkan kerja yang banyak di pejabat, nyatakan bila tarikh dan waktu terakhir kerja-kerja ini perlu dibuat.
2. Disiplinkan diri anda untuk menyiapkan semuanya dalam waktu yang anda telah rancang.
3. Jika semuanya siap dalam tempoh yang dirancang, berikan diri anda sedikit ganjaran seperti menonton wayang atau makan di restoran kegemaran anda. Raikan kejayaan anda walaupun sedikit. Lama-kelamaan minda anda akan mula biasa dengan corak tabiat ini dan sikap berlengah-lengah ini akan hilang secara automatik
Latih dan Disiplinkan Diri Anda Mulai Hari Ini..
Jangan berlengah lagi, kikis sikap suka berlengah-lengah itu hari ini. Mulakan dengan sesuatu yang mudah seperti basuh cawan anda sebaik anda habis minum atau kemaskan katil anda sebaik sahaja anda bangun dari tidur. Hidup anda akan lebih ceria nanti.
Penulis : Elzara Hariri dengan kerjasama Encik Mohamed A'amir dari A'amir Agency
Sunday, April 8, 2012
K-4 : Kapsul Ungu Kini di Kedai Buku MPH
Novel K-4: Kapsul Ungu sudahpun berada di kedai buku MPH di seluruh Malaysia.
Kini novel ini boleh dibeli secara online di : http://www.mphonline.com/books/nsearchdetails.aspx?&pcode=9789671065709
Ucapan terima kasih kepada semua yang membantu saya sehingga ke tahap ini.
Berikut disiarkan sedikit kandungan novel ini untuk tatapan pembaca.
Bab
5
8
bulan kemudian...
“K
|
apsul Ungu,
tugas terbaru!” Rafael menyerahkan sebuah sampul surat berwarna coklat kepada
Badrul. Badrul agak terkejut dengan sapaan Rafael pagi itu. Jarang Rafael terus
bercerita mengenai tugas terbaru KH Intelligence, selalunya dia akan berbincang
dahulu bersama Randi.
“Kapsul
Ungu?” Badrul mengambil sampul surat tersebut sambil menghirup air teh yang
masih suam-suam panas. Dia membuka sampul surat itu dengan perlahan dan
menyusun beberapa buah gambar di atas meja. Terdapat gambar seorang gadis
berambut ikal dan seorang lelaki berumur. Kedua-duanya memakai baju makmal
berwarna putih.
“Kalau
tugasan membunuh, saya tak mahu lakukan.” Dengan bersahaja, Badrul menolak
gambar-gambar itu kepada Rafael semula.
“Engkau
adalah yang terbaik dalam KH Intelligence. Aku mahu melatih engkau menjadi yang
terbaik di sini. Engkau ada potensi yang besar untuk menjadi ketua kumpulan
K-4.” Rafael cuba meyakinkan Badrul.
Rafael
terus sahaja memberitahu beberapa fakta kes tanpa menghiraukan perasaan Badrul.
Tugasan kali ini dibayar oleh seorang pelanggan bernama Mr. M. Dia mahu sejumlah
kapsul berwarna ungu diambil dari tempat persembunyian dan diserahkan kepada Mr.
M dalam masa tiga hingga enam minggu. Cuma masalah yang paling besar ialah Mr.
M tidak tahu di mana kapsul-kapsul itu disembunyikan.
“Habis
tu? Bagaimana nak ambil benda yang kita tak tahu tempatnya?” Badrul
menggeleng-geleng.
“Bard,
kalau Mr. M tahu di mana tempatnya, dia tak perlukan kita. Dia boleh ambil
sendiri,” Rafael menjawab.
“Baiklah,
kalau begitu, apa maklumat yang kita ada mengenai Kapsul Ungu?” tanya Badrul.
Menurut
Rafael, satu kajian bernama ‘Kapsul Ungu’ telah dimulakan oleh satu syarikat
farmaseutikal bernama Lombard Lab beberapa tahun lalu. Ia diketuai oleh seorang
pakar Biomedikal bernama Dr. Asri.
“Malangnya,
kajian ini telah dihentikan dan sampel terakhir kapsul ini ada bersama Dr.
Asri.” Rafael mengambil gambar yang ditunjukkan kepada Badrul tadi dan menuding
ke arah lelaki berumur yang memakai baju makmal berwarna putih.
“Jadi,
kita hanya perlu cari Dr. Asri dan dapatkan kapsul itu?” tanya Badrul.
“Tidak
semudah itu, Bard. Dr. Asri telah hilang hampir sebulan lalu selepas menghadiri
satu perbincangan yang diuruskan oleh Lombard Lab di Sweden.” Kata-kata Rafael
terhenti seketika.
“Jadi,
itulah masalahnya, Dr. Asri telah hilang. Siapa lagi yang mungkin ada menyimpan
sampel itu?” tanya Badrul.
“Maklumat
itu tidak ada buat masa sekarang. Tapi kita boleh mulakan dengan Julia,” Rafael
membalas sambil mengambil gambar gadis yang memakai baju makmal berwarna putih.
“Siapa
pula Julia?” Badrul bertanya.
“Julia
adalah pembantu kepada Dr. Asri. Dia masih lagi bekerja di Lombard Lab. Hanya
Julia dan Dr. Asri yang membuat kajian mengenai Kapsul Ungu. Mungkin dia tahu
mengenai lokasi sampel Kapsul Ungu dan mungkin dia juga boleh membina semula
Kapsul Ungu,” Rafael menjawab.
“Berapa bayarannya?” Badrul bertanya.
“500
ribu dolar Amerika,” Rafael membisikkan dengan perlahan angka yang dipersetujui
oleh Mr. M.
Badrul
ketawa kecil. Matanya mula bersinar kembali.
Mereka
mula meneliti semua bahan yang dihantar oleh Mr. M. Dengan bayaran 500 ribu dolar
Amerika, tugas ini nampak mudah. Badrul melihat gambar Julia dengan teliti.
Mukanya bujur sirih dan pandangan matanya redup. Sekali imbas Julia menyerupai
Natasha, gadis yang pernah bertakhta di hatinya suatu ketika dahulu!
Badrul
meneliti semua maklumat mengenai Julia; rumah, nombor telefon, tempat kerja,
makanan kegemaran, hobi dan semuanya. Sebagai bekas pembantu Dr. Asri,
setidak-tidaknya Julia pasti tahu serba sedikit tentang Kapsul Ungu dan
kebiasaan-kebiasaan Dr. Asri. Julia mungkin adalah satu-satunya kunci kepada
tugasan terbarunya itu.
Badrul
mula berfikir apakah cara terbaik untuk mengenali Julia.
“Bincangkan
strategi dengan Benji dan Rajan. Esok kita bincang perancangan dengan lebih
teliti,” Rafael memberi pesanan.
Subscribe to:
Posts (Atom)